Friday 16 May 2014

Liga Pendekar Perikatan Adiwira oleh Azhar Abdullah






Novel grafik  ini memaparkan kisah sekumpulan pahlawan dari period Kesultanan Melayu Melaka yang bergabung tenaga bagi menghadapi ancaman kuasa jahat Kerajaan Jin Hitam.  Apabila Sultan Melaka disihir oleh Toyol Berapi, pembesar-pembesar Istana segera mengarahkan satu misi untuk mendapatkan darah jantung Jum Ba Lang, Raja Jin daripada Kerajaan Jin Hitam sebagai penawarnya. 

Untuk mencapai tujuan tersebut, adiwira-adiwira seperti Malim Deman, Hang Tuah, Badang, Kebayan, Awang Kenit, Orang Minyak, Si Tanggang dan Sang Kelembai telah membentuk satu perikatan adiwira bagi berhadapan dengan ancaman Kerajaan Jin Hitam.

Novel grafik ini menggunakan pendekatan yang sama sebagaimana pendekatan Alan Moore menerusi The League of Extraordinary Gentlemen, di mana watak-watak daripada fikyen dan kesusasteraan telah digabungkan di dalam sebuah kisah yang sama. Pendekatan sebegini sememangnya menarik kerana kita dapat melihat watak-watak adiwira/dongeng  daripada Alam Melayu dengan sejarah dan legasinya  berinteraksi bersama dan berpadu tenaga untuk menentang kuasa jahat. 

Secara peribadi, saya suka apabila penulis/pelukis, Azhar Abdullah menggunakan watak-watak Kebayan, Orang Minyak, Si Tanggang  dan Sang Kelembai yang secara tradisinya dikaitkan dengan sifat-sifat negatif dan jahat kepada watak baik. Orang Minyak yang dikenali sebagai penjahat  mahupun Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya telah bertaubat dan menjadi watak yang baik. Wujud kesinambungan yang positif bagi watak-watak ini, yang menjelmakan pemikiran positif pengkaryanya. 

Berdasarkan lukisan-lukisan yang dihasilkan, Azhar merupakan seorang yang teliti, sanggup berkarya ke peringkat details dan pastinya mempunyai daya kesabaran yang tinggi dalam menghasilkan novel grafik ini. Novel grafik ini juga mempunyai tempo penceritaan yang fast paced dan padat dengan aksi dan adventure

Tidak menghairankan apabila novel grafik ini memenangi 5  anugerah dalam Anugerah Pekomik 2009 termasuklah Penulis Terbaik, Lukisan Kulit Muka Terbaik, Komik Baru Terbaik, Pelukis Komik Terbaik dan Komik Terbaik.