Wednesday 31 October 2018

10 Sebab Mengapa Penulis Malaysia Perlu Mula Belajar/Beralih/Menggunakan Ebook


Dunia penerbitan ebook semakin berkembang setiap hari. Jika dilihat trend semasa komuniti penulis di peringkat antarabangsa, lebih ramai penulis yang memilih untuk menerbitkan karya mereka dalam format ebuku, atau ebook. 

Walau bagaimanapun, masih ramai di kalangan penulis yang masih lagi belum benar-benar mengetahui mengapa mereka perlu bersedia untuk menjadi seorang penulis ebook. 10 sebab utama yang dinyatakan di bawah akan menerangkan mengapa inilah masa yang terbaik bagi penulis-penulis Malaysia menceburkan diri dalam dunia penerbitan ebook.


1.Proses penghasilan lebih mudah



Penulis yang memilih untuk menggunakan platfom ebook  sebenarnya telah memilih kaedah penerbitan yang lebih mudah, malah boleh dilakukan sendiri. Anda hanya perlu menyediakan manuskrip dalam format seperti epub yang digunakan sebagai medium di dalam penerbitan ebook. Selain itu, anda juga hanya perlu menyediakan kulit buku atau cover bagi ebook anda, sama ada anda hasilkan sendiri atau mengupah pereka grafik untuk melakukannya. Percaya atau tidak, kedua-dua proses ini anda boleh hasilkan sendiri dan memberikan lebih kepuasan. Apa yang diperlukan adalah keinginan, azam, semangat tidak berputus asa dan usaha yang konsisten. 

Setelah anda berjaya menghasilkan manuskrip buku anda dalam format epub dan kulit buku dalam format jpeg atau pdf, anda sudah memiliki dua perkara paling penting dalam menerbitkan ebook. Kemudian, anda sudah boleh memuat naik buku anda ke dalam platform jualan ebook seperti Google Play Book, Kobo, E Sentral dan banyak lagi.  

Anda tidak perlu memikirkan soal kos cetakan, kos pengangkutan dan banyak lagi kos-kos yang terlibat dalam proses penerbitan buku secara tradisional. 
Kesemua proses dan kos yang dapat dipintas dan dilangkaui ini lebih memberikan banyak masa dan peluang untuk anda lebih fokus kepada karya anda seterusnya. 

Sudah pasti kita lebih suka memilih perkara-perkara yang lebih mudah dan mengurangkan pening dan serabut kepala apabila memikirkannya. Maka, pilihlah penerbitan ebook yang anda usahakan sendiri secara do-it-yourself



2.Penulis lebih bebas berkarya & bereksperimen 




Adakah anda adalah seorang penulis yang ingin menulis tentang banyak perkara? Anda merasakan bahawa idea-idea yang hendak anda tulis agak lain daripada yang lain? Cadangan buku yang anda hantar kepada pihak penerbit sering tidak diluluskan atas pelbagai sebab? Lebih penting, idea dan gagasan yang hendak anda hasilkan dalam ebook itu sebenarnya memang belum pernah diterbitkan di negara ini, maka anda akan menjadi pelopor idea tersebut! Suatu kerugian jika orang lain tidak membacanya!

Jangan risau, ada penyelesaiannya. Dengan menulis dan menerbitkan sendiri karya anda dalam format ebook, anda mempunyai lebih kebebasan dan ruang untuk anda berkarya dan bereksperimen. 

Adakalanya sebagai penulis, kita memiliki idea dan buah fikiran yang mungkin berbeza dan lain daripada orang lain. Idea dan buah fikiran itu pula ternyata berkualiti dan unik, maka sayang jika tidak dikongsikan. Namun, anda merasakan atau anda memang mempunyai pengalaman bahawa manuskrip karya anda tidak diluluskan oleh panel penilai syarikat penerbitan. Maka, jelasnya , kita akan kecewa. Mungkin karya itulah karya yang akan mengubah hidup anda selamanya!

Kecewa itu perasaan yang lumrah bagi kita. Namun, itu bukanlah kesudahannya. Anda mempunyai pilihan dan alternatif untuk menerbitkan karya anda. Pilih platfom penerbitan ebook, maka karya anda hampir pasti akan berjaya diterbitkan. Kenapa saya katakan hampir pasti? Sebabnya adalah dengan menerbitkan sendiri ebook anda, anda tidak perlu lagi bergantung kepada pihak-pihak lain yang barangkali tidak dapat memahami betapa pentingnya karya tersebut kepada diri anda. 

Anda hanya perlu mempelajari sedikit proses penerbitan ebook yang bukannya sains roket ( not a rocket science!) dan anda sudah boleh melebarkan sayap anda di dalam dunia penerbitan!



3.Mudah dijual & dibeli


Sebagai penulis, sudah pasti ini mengharapkan agar karya yang anda tulis akan dibeli oleh pembaca. Kalau boleh, anda mahu buku anda berada di setiap kedai buku yang wujud di dunia. Namun, realitinya mungkin tidak seindah harapan anda. Banyak faktor yang mungkin menyebabkan buku anda mungkin tidak berada di rak-rak kedai buku. 

Namun, sekiranya anda menerbitkan karya anda dalam format ebook dan menjualnya secara dalam talian (online), maka banyak masalah akan dapat di atasi. Hal  ini demikian memandangkan portal-portal yang menjual ebook lazimnya dapat diakses oleh pembaca dari serata pelusuk dunia. Karya anda boleh dibeli dan dibaca oleh masyarakat seluruh dunia yang boleh membeli ebook anda dengan mudah menggunakan kad kredit, kad debit dan banyak lagi saluran pembelian eletronik yang selamat. Mereka juga boleh membeli ebook anda pada setiap masa tanpa perlu ke kedai buku. Pembelian boleh dilakukan ketika anda menunggu LRT tiba,  menunggu pesanan minuman di restoran/cafe ataupun ketika anda sedang berbaring di atas katil sebelum anda melelapkan mata!



4.Ebook diiktiraf kerajaan dan masyarakat sedunia!


Tahukah anda, agensi-agensi kerajaan juga telah mengiktiraf dan menyediakan  infrastruktur bagi menyokong perkembangan ebook? Ya, sebagai contoh, Perpustakaan Negara Malaysia telah mewujudkan Perpustakaan Digital atau elib yang membolehkan ahli-ahli meminjam ebook untuk dibaca. Selain itu, Perbadanan Kota Buku juga telah menyediakan saluran jualan untuk penerbit-penerbit ebook menjual karya-karya terbitan mereka. Selain itu, sebuah syarikat tempatan juga telah menyediakan platform jualan ebook iaitu E-Sentral yang setaraf dengan syarikat-syarikat penerbitan ebook seperti Google Play Book, Kobo, Kindle dan Nook. 

Kesemua ini menunjukkan bahawa kerajaan telah menyokong dan membuka jalan kepada penulis-penulis dan penerbit-penerbit tempatan untuk bersama-sama memasuki pasaran ebook yang menguntungkan. Maka, anda perlu mengambil peluang ini. 




5. Mengurangkan masa menunggu untuk diterbitkan



Dalam dunia penerbitan konvensional, seseorang penulis itu mungkin perlu berhadapan dengan situasi ‘menunggu giliran’ untuk diterbitkan. Ini kerana sesebuah syarikat penerbitan buku memiliki ramai barisan penulis yang juga memiliki karya-karya mereka sendiri untuk diterbitkan. 

Namun, dalam dunia penerbitan ebook, seseorang penulis yang mampu menerbitkan sendiri ebooknya  boleh mengelakkan situasi ni. Sebaik sahaja karyanya berjaya dihasilkan, diedit dan proses baca pruf dijalankan, penulis tersebut sudah boleh memasarkan ebooknya di dalam talian. 

Rasa kecewa dan letih menunggu giliran karya untuk diterbitkan mungkin boleh melemahkan semangat seseorang penulis. Sebaliknya, seseorang penulis yang boleh menerbitkan sendiri ebooknya, akan sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk berkarya!



6. Ini adalah era teknologi & ekonomi digital – jangan kepupusan dan ketinggalan, ambillah peluang!


Dunia penulisan dan penerbitan telah berubah dengan begitu drastik. Dengan perkembangan dunia digital pada hari ini, di mana-mana sahaja penulisan boleh diterbitkan ; sama ada di dalam Facebook, blog, laman web dan banyak lagi. Karya-karya penulis di seluruh dunia dapat di baca dengan percuma seperti di Wattpad

Selain itu, telah wujud pelbagai saluran untuk menjual dan membeli ebook yang turut disertai oleh gergasi-gergasi penerbitan dunia seperti Amazon melalui Kindle Ebooks atau Barnes & Noble melalui Nook books. Mereka turut serta dalam perubahan ini bagi memastikan produk terbitan mereka kekal relevan dengan perubahan zaman. 

Kepada seorang penulis yang ingin kekal relevan di dalam perubahan ini, mereka perlu belajar untuk ikut serta di dalam perubahan ini. Kalau karya-karya penulis yang ternama dan mapan pun turut diterbitkan dalam format ebook, maka mengapa pula kita tidak mahu turut serta dalam perkembangan ini?  



7. Penulis dapat menikmati hasil yang lebih lumayan


Bagi penulis yang boleh menerbitkan sendiri ebook mereka, kelebihan penting yang turut boleh dinikmati oleh penulis adalah mereka boleh mendapat hasil jualan yang lebih tinggi. Dalam proses penerbitan biasa, lazimnya penulis akan mendapat royalti daripada penerbitan buku mereka sekitar 20-30% sahaja. Hal ini kerana syarikat penerbitan perlu menanggung kos-kos penerbitan seperti membayar gaji editor, pereka grafik, jurujual, kos percetakan dan sebagainya. Maka, hasil jualan buku tersebut perlu mampu untuk menghasilkan keuntungan, malah untuk mengatasi kos asas proses penerbitan dan percetakan sendiri. 

Berbeza dengan penulis ebook yang menerbitkan sendiri ebook mereka, hasil jualan boleh dinikmati dengan kadar yang lebih besar , iaitu sehingga 70%. 



8. Peluang pemasaran dan jangkauan lebih luas


Berbeza dengan buku bercetak, era ekonomi digital membuka lebih banyak peluang kepada penulis yang menghasilkan ebook untuk meneroka potensi pasaran yang luas. Memandangkan penjualan & pembelian ebook dilakukan menerusi proses dalam talian (online), maka saluran pemasaran ebook juga lebih luas capahannya. Dengan menggunakan kreativiti, anda boleh memanfaatkan blog, laman web, Facebook, emel, Instagram dan lain-lain lagi aplikasi untuk memasarkan ebook anda. Platform jualan ebook yang beroperasi 24/7 juga membolehkan pembaca sasaran anda membeli ebook anda pada bila-bila masa sahaja. 



9. Buku digital tidak akan kehabisan stok


Salah satu kelebihan utama penerbitan ebook adalah   karya-karya yang dijual secara ebook tidak perlu menjalani proses ulang cetak kerana secara pastinya tidak akan kehabisan stok di dalam pasaran. Dalam proses penerbitan & penjualan buku konvensional, penerbit perlu mengeluarkan kos setiap kali apabila ingin mengulang cetak naskhah buku yang sudah terjual di pasaran. Karya-karya penulis tertentu yang laris juga mungkin sudah sukar untuk ditemui di dalam pasaran setelah 10-20 tahun mula-mula diterbitkan. 

Namun, masalah ini tidak dihadapi oleh penulis mahupun penerbit yang menerbitkan ebook untuk tujuan komersial. Ebook yang diterbitkan dan dijual di platform-platform jualan ebook akan kekal di dalam pasaran selagi mana platform jualan masih beroperasi dan selagi mana penerbit/penulis tidak menarik balik jualan ebook tersebut dari pasaran. 



10. Tak salah ada platfom yang melengkapi penjualan buku biasa!


Dalam era ekonomi dan teknologi digital, para penulis, sama ada yang sudah mapan mahupun yang baru ingin mencipta nama mereka boleh menjadikan ebook sebagai satu pelengkap kepada karya-karya bercetak mereka. Berdasarkan statistik-statistik jualan ebook yang dikeluarkan oleh badan-badan antarabangsa, kira-kira 25-30 %  daripada jumlah buku yang dijual di dunia adalah dalam format ebook. Ini menunjukkan bahawa jumlah pembaca yang memilih untuk membeli buku dalam format ebook masih signifikan. 

Jumlah ini masih akan kekal atau semakin meningkat memandangkan gaya hidup masyarakat hari ini yang sangat bergantung kepada telefon pintar mahupun komputer tablet di dalam kehidupan. 




No comments:

Post a Comment