Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada Muhammad Suhail Ahmad
kerana berjaya menghasilkan travelog Menumpang
Teduh Pohon Akasia: Somaliland Bukan Somalia. Syabas kerana travelog ini
merupakan travelog interaktif pertama seumpamanya di Malaysia. Menerusi
travelog ini, di samping membaca, anda juga boleh mengikuti rakaman video yang
dbuat oleh penulis semasa berada di Somaliland dengan mengimbas kod QR.
Berbalik kepada travelog ini, saya kagum dengan keberanian Suhail dan
Akhmal (kedua-duanya teman saya!) yang berani menjadi perintis dari Malaysia
yang meneroka bumi Somaliland. Tanpa apa-apa jaminan keselamatan, mereka berdua
menggagahkan diri ke sebuah wilayah untuk mengenali secara dekat budaya
kehidupan masyarakat Somaliland.
Suhail berjaya merakamkan banyak pengalaman beliau dengan merasa sendiri budaya
kehidupan masyarakat setempat dan denyut nadi kehidupan rakyat Somaliland.
Antara fakta menarik yang dikongsi beliau menerusi karya ini:
i.
Masyarakat
Somaliland berurusniaga menggunakan kaedah Zaad (cashless transaction)
ii.
Budaya
majlis Shallad atau qasidah selepas waktu solat Zohor
iii.
Ketagihan
mengunyah daun Qat
iv.
Penduduk
Somaliland sebagai masyarakat paling gembira di dunia;
v.
Diaspora
masyarakat Somaliland di serata pelusuk dunia menyumbang wang ke keluarga
masing-masing sehingg sukar menemui keluarga yang miskin di sana
vi.
Di
Somaliland, sama ada di gurun atau bandar, terdapat liputan 4G tanpa gagal!
Pada hemat saya, Suhail dan Akhmal telah membuat sumbangan besar kepada
umat dengan menjadi perintis dan
seterusnya membina jambatan budaya antara masyarakat di Malaysia dengan
penduduk Somaliland. Menerusi travelog ini, kita didedah dan diperkenalkan
kepada budaya kehidupan Somaliland menerusi aneka makanannya, ragam
penduduknya, kelainannya, budaya setempat, kegiatan ekonomi dan banyak lain
yang menjadikan Somaliland unik.
Menelusuri catatan beliau, Suhail menceritakan pengalaman kembara beliau yang dipenuhi keterujaan, kegusaran dan ketidaktentuan dengan gaya bahasa yang mudah sambil mengadunkannya dengan lintasan fikiran yang bersifat spontan dan juga pemerhatian beliau terhadap apa yang berlaku. Ini membuatkan pembaca seperti berada di samping Suhail ketika perkara-perkara yang diceritakan berlaku.
Daripada segi persembahan yang dibuat di dalam karya ini, Suhail berjaya membuat catatan yang baik dan memperkuatkan penerangan dan
cerita yang disampaikan dengan gambar-gambar bersifat story telling. Ini membuatkan minda pembaca dibawa terbang terus ke
Somaliland dan dapat merasa sendiri apa yang diceritakan.
Saya percaya travelog ini akan menjadi satu catatan penting dan monumental
dalam mencatatkan hubungan masyarakat Malaysia dengan penduduk Somaliland pada
suatu masa nanti. Sekaligus, travelog ini adalah satu sumbangan besar kepada
khazanah ilmu karya berbahasa Melayu.
Sudah didapatkan. Ditandatangan dengan sendiri oleh penulis, Muhammad Suhail Ahmad. Dibeli melalui internet setelah terjumpa iklannya dalam satu blog, tapi sudah lupa dari laman blog yang mana.
ReplyDeleteMohon jasa baik sampaikan Terima Kasih buat penulis kerana sudi tandatangan buku itu sendiri termasuk cebisan kata-kata motivasi yang membina. Semua bab di dalamnya tidak sedikit pun saya tinggalkan, menarik dari kalimat pertama lagi hingga penutup terakhir. Dan yang sangat menarik perhatian saya dari kesemua bab yang menarik, adalah bab 32 yang isinya khusus tentang kecintaan penulis pada Bahasa Melayu. Sangat saya setuju, dan sangat selari dengan pendirian saya. Terima kasih untuk itu.
Mohd Fazli bin Abdullah
Ukay Perdana, Ampang