Thursday 21 November 2013

SN Dato’ A Samad Said: Antara Susuk Karyawan dan Aktivis






 
Sebahagian daripada karya-karya Pak Samad yang disimpan di rumah, pastinya untuk diwariskan kepada generasi muda keluarga saya, temasuk anak-anak!


Nama Sasterawan Negara (SN)  Dato’ A. Samad Said bukanlah suatu nama yang asing lagi di negara. Sebagai seorang tokoh sastera dan karyawan negara, karya-karya beliau sememangnya dibaca oleh segenap lapisan masyarakat,  sama ada oleh generasi muda dan tua.



Saya kurang pasti sejak bilakah saya benar-benar mengenali beliau secara sedar di dalam kehidupan saya. Apa yang boleh saya ingat, berkemungkinan saya mula mengenali beliau menerusi lagu Tetamu Senja nyanyian Kopratasa yang mula tersiar di corong-corong radio pada sekitar pertengahan tahun-tahun 1980-an. Lirik lagu tersebut merupakan sajak yang dihasilkan beliau.  Selanjutnya, saya juga masih ingat beliau pernah dijemput ke program Hiburan Minggu Ini yang dipengacarakan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad  juga pada sekitar waktu yang sama. Allahyarham secara berjenaka  melukis gambar karikatur A. Samad Said sedang bermain gitar di dalam rancangan tersebut. Seterusnya, saya juga pernah membaca novel kanak-kanak beliau, Yang Berat Sama Dipikul yang dibeli oleh abang pada sekitar period yang sama.



Ketika berusia 17 tahun ( ketika menanti keputusan SPM ) di rumah, barulah buat pertama kalinya saya berkesempatan membaca masterpiece Pak Samad yang pertama, Salina. Itupun buku novel tersebut dihadiahkan  oleh rakan sekolah, Azhar Ayob yang kini merupakan seorang doktor di luar negara. Buat pertama kali ketika membaca karya tersebut, saya benar-benar terpikat dengan jalan ceritanya. Jujur, tidak berpura-pura  dan mengisahkan sikap manusia yang sebenarnya. Memang novel tersebut merupakan novel bahasa Melayu yang bertaraf antarabangsa. Pastikan anda membaca novel tersebut sekurang-kurangnya sekali dalam hayat ini.



Saya juga merasakan novel Hujan Pagi karya beliau sebagai salah satu novel terbaik yang pernah ditulis oleh anak watan. Berkisar tentang kekusutan jiwa seorang wartawan  generasi sebelum perang              ( Lokman ) yang tidak lagi memahami dan menyesuaikan  dirinya dengan perubahan  arah dan perkembangan akhbar masa kini.  Novel ini punya kekuatannya tersendiri.



Selepas Salina dan Hujan Pagi, saya sentiasa mencari-cari hasil karya Pak Samad. Setiap kali terdapat jualan gudang DBP, saya akan bersegera ke sana untuk membeli karya-karya beliau dengan harga yang lebih murah.



Selain daripada novel, drama-drama yang dihasilkan Pak Samad turun mengesankan. Saya berkesempatan membaca Di Mana Bulan Selalu Retak dan Wira Bukit.  Catatan saya, karya-karya tersebut memaparkan secara jujur tentang perilaku manusia. 


Pak Samad merakamkan dengan baik gambaran kehidupan masyarakat sekitar era Perang Dunia Kedua. Perkara ini banyak dilihat di dalam cerpen-cerpen  dan novel-novel seperti Salina, Di Hadapan Pulau dan juga Sungai Mengalir Lesu. Tentang Sungai Mengalir Lesu, saya menghabiskan masa beberapa jam membaca novel tersebut di Perpustakaan Awam Islam di Kuala Lumpur, barangkali ketika menanti panggilan masuk ke universiti sekitar 1998-2000.



Selain daripada karya-karya tersebut, Pak Samad turut menghasilkan sebuah lagi karya hebat tentang kembara fizikal-spiritual-emosional-mental beliau ke nagara-negara Eropah menerusi Warkah Eropah. Karya ini bagi saya begitu menginspirasikan dan Pak Samad berjaya membawa kita mengembara bersama-sama beliau.



Sebuah lagi karya hebat Pak Samad, Al Amin juga bakal menjadi khazanah karya agung negara, In Sha Allah. Karya tersebut merupakan puisi panjang Pak Samad yang memerikan perjalanan hidup Baginda Rasullullah SAW. Memang jarang kita dapat menemui karyawan-karyawan tempatan yang mampu menghasilkan karya Islami sebegini untuk bacaan umat.



Namun saya akui, beberapa karya terkenal Pak Samad tidak sempat saya baca seperti Daerah Zeni dan  Lantai T Pinkie. Lebih malang, secara jujur saya akui bahawa Cinta Fansuri merupakan satu-satunya karya Pak Samad yang langsung tidak saya fahami-saya ulangi LANGSUNG SAYA TAK FAHAM! Mungkin saya perlu kembali membaca novel tersebut yang pertama kali saya baca sekitar 5-6 tahun dahulu.



Mengapa saya menulis semua ini? Saya sekadar ini berkongsi dengan semua bahawa saya lebih mengenali sosok Pak Samad sebagai seorang karyawan dan penulis yang hebat berbanding susuk aktivisme beliau. Semenjak saya dilabelkan sebagai pseudo sufi oleh seorang teman aktivis gerakan Islam,  saya semakin sedar yang saya tidak berminat lagi untuk mengikuti gerakan-gerakan masa.



Saya sekadar ingin menyarankan anak-anak muda yang lebih dekat dengan aktivisme beliau, mungkin anda perlu membaca karya-karya hebat beliau. Selepas membaca tulisan Uthaya Sankar SB bertajuk Alahai Salina dan Pak Samadhttp://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/10/22/alahai-salina-dan-pak-samad/   )   di portal Free Malaysian Today, Saya khuatir dan bersetuju dengan pandangan Uthaya Sankar SB  bahawa sebenarnya ramai  yang hanya berpura-pura menyokong perjuangan Sasterawan Negara ini!



Sebagaimana yang lazim diucapkan orang dewasa ini, that’s my two cent-lah! Lol!

No comments:

Post a Comment