Showing posts with label Catatan. Show all posts
Showing posts with label Catatan. Show all posts

Thursday, 26 January 2017

Ebook- ribuan karya di dalam saku!


Untuk mereka yang masih belum menyedari apakah ebook, dengan cara yang mudah, saya akan jelaskan bahawa ebook atau e-buku adalah buku yang diterbitkan secara digital. Secara digital pula, maksudnya, tidak menggunakan kertas seperti gaya penerbitan konvensional & tradisional. Jadi kalau sejak sekian lama kita membaca buku yang bercetak, maka dalam era penerbitan ebook, kita tidak lagi memerlukan kertas untuk membaca sesuatu karya. Kita boleh membaca sama ada di komputer peribadi, komputer riba @ laptop, komputer tablet dan telefon pintar @ smartphone

Kalau difikir-fikirkan, teknologi penerbitan yang melahirkan penerbitan ebook ini secara umumnya telah mengubah gaya hidup kita. Kalau suatu ketika dahulu, buku-buku mesti dibeli di kedai buku secara fizikal, atau dipinjam daripada perpustakaan, maka dengan teknologi ebook, kita kini boleh membeli judul yang diminati secara online sahaja. Tidak lagi perlu menghabiskan masa untuk ke kedai buku. Boleh menjimatkan wang, masa dan tenaga!

Di dalam smartphone atau tablet, kita juga boleh menyimpan ratusan hingga ribuan ebook yang telah dibeli, dan boleh pula dibawa ke mana-mana. Kalau kita merupakan seseorang yang suka membaca, sudah pasti kita akan menjadi lebih suka dan rajin membaca kalau di dalam smartphone kita terdapat ratusan judul karya yang akan mengikut kita ke mana-mana. Contoh paling mudah, ketika di dalam penerbangan, seseorang yang membawa komputer tablet boleh sahaja membaca ebook dengan bantuan cahaya tablet dan menukar-nukar buku yang hendak dibaca kerana semuanya tersimpan di dalam satu alat sahaja. Tidak lagi perlu membawa sejumlah buku di dalam beg!

Sepanjang saya mula membaca buku-buku dalam format ebook, saya juga pernah mendengar pelbagai pandangan orang tentang ebook. Ada yang mengatakan bahawa membaca ebook tidak sama dengan membaca buku bercetak. Ada pula yang mengatakan bahawa membaca ebook, agak susah kita mengingati apa yang dibaca. Banyak lagi maklum balas yang diberikan menggambarkan seolah-olah membaca ebook bukanlah satu pembacaan dalam erti kata sebenarnya. 

Secara peribadi, saya tidak bersetuju.

Melalui pengalaman sendiri, membaca ebook tidak banyak bezanya dengan membaca buku bercetak. Saya tetap boleh memahami dan mengingati jalan cerita novel-novel atau buku non-fiction dalam format ebook yang dibaca. Lebih melucukan, ramai di kalangan orang yang saya kenal yang memberikan maklum balas negatif tentang pembacaan ebook, sebenarnya bukan juga pembaca buku-buku bercetak secara tegar dan termasuk dalam kategori 'avid reader'!

Dengan wujud teknologi ebook ini, kini saya boleh membawa ratusan buku, sama ada yang dibeli atau dimuat turun secara percuma ke mana-mana. Saya boleh membaca di dalam LRT ketika menuju ke mana-mana destinasi, saya boleh membaca ketika menanti hidangan yang dipesan tiba di restoran, saya boleh membaca ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya dan di mana-mana sahaja. Dengan syarat, saya membawa smartphone, dan tidak pula menggunakan masa yang ada untuk terlalu ber'media sosial', menonton youtube atau bermain games!

 

Thursday, 21 November 2013

SN Dato’ A Samad Said: Antara Susuk Karyawan dan Aktivis






 
Sebahagian daripada karya-karya Pak Samad yang disimpan di rumah, pastinya untuk diwariskan kepada generasi muda keluarga saya, temasuk anak-anak!


Nama Sasterawan Negara (SN)  Dato’ A. Samad Said bukanlah suatu nama yang asing lagi di negara. Sebagai seorang tokoh sastera dan karyawan negara, karya-karya beliau sememangnya dibaca oleh segenap lapisan masyarakat,  sama ada oleh generasi muda dan tua.



Saya kurang pasti sejak bilakah saya benar-benar mengenali beliau secara sedar di dalam kehidupan saya. Apa yang boleh saya ingat, berkemungkinan saya mula mengenali beliau menerusi lagu Tetamu Senja nyanyian Kopratasa yang mula tersiar di corong-corong radio pada sekitar pertengahan tahun-tahun 1980-an. Lirik lagu tersebut merupakan sajak yang dihasilkan beliau.  Selanjutnya, saya juga masih ingat beliau pernah dijemput ke program Hiburan Minggu Ini yang dipengacarakan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad  juga pada sekitar waktu yang sama. Allahyarham secara berjenaka  melukis gambar karikatur A. Samad Said sedang bermain gitar di dalam rancangan tersebut. Seterusnya, saya juga pernah membaca novel kanak-kanak beliau, Yang Berat Sama Dipikul yang dibeli oleh abang pada sekitar period yang sama.



Ketika berusia 17 tahun ( ketika menanti keputusan SPM ) di rumah, barulah buat pertama kalinya saya berkesempatan membaca masterpiece Pak Samad yang pertama, Salina. Itupun buku novel tersebut dihadiahkan  oleh rakan sekolah, Azhar Ayob yang kini merupakan seorang doktor di luar negara. Buat pertama kali ketika membaca karya tersebut, saya benar-benar terpikat dengan jalan ceritanya. Jujur, tidak berpura-pura  dan mengisahkan sikap manusia yang sebenarnya. Memang novel tersebut merupakan novel bahasa Melayu yang bertaraf antarabangsa. Pastikan anda membaca novel tersebut sekurang-kurangnya sekali dalam hayat ini.



Saya juga merasakan novel Hujan Pagi karya beliau sebagai salah satu novel terbaik yang pernah ditulis oleh anak watan. Berkisar tentang kekusutan jiwa seorang wartawan  generasi sebelum perang              ( Lokman ) yang tidak lagi memahami dan menyesuaikan  dirinya dengan perubahan  arah dan perkembangan akhbar masa kini.  Novel ini punya kekuatannya tersendiri.



Selepas Salina dan Hujan Pagi, saya sentiasa mencari-cari hasil karya Pak Samad. Setiap kali terdapat jualan gudang DBP, saya akan bersegera ke sana untuk membeli karya-karya beliau dengan harga yang lebih murah.



Selain daripada novel, drama-drama yang dihasilkan Pak Samad turun mengesankan. Saya berkesempatan membaca Di Mana Bulan Selalu Retak dan Wira Bukit.  Catatan saya, karya-karya tersebut memaparkan secara jujur tentang perilaku manusia. 


Pak Samad merakamkan dengan baik gambaran kehidupan masyarakat sekitar era Perang Dunia Kedua. Perkara ini banyak dilihat di dalam cerpen-cerpen  dan novel-novel seperti Salina, Di Hadapan Pulau dan juga Sungai Mengalir Lesu. Tentang Sungai Mengalir Lesu, saya menghabiskan masa beberapa jam membaca novel tersebut di Perpustakaan Awam Islam di Kuala Lumpur, barangkali ketika menanti panggilan masuk ke universiti sekitar 1998-2000.



Selain daripada karya-karya tersebut, Pak Samad turut menghasilkan sebuah lagi karya hebat tentang kembara fizikal-spiritual-emosional-mental beliau ke nagara-negara Eropah menerusi Warkah Eropah. Karya ini bagi saya begitu menginspirasikan dan Pak Samad berjaya membawa kita mengembara bersama-sama beliau.



Sebuah lagi karya hebat Pak Samad, Al Amin juga bakal menjadi khazanah karya agung negara, In Sha Allah. Karya tersebut merupakan puisi panjang Pak Samad yang memerikan perjalanan hidup Baginda Rasullullah SAW. Memang jarang kita dapat menemui karyawan-karyawan tempatan yang mampu menghasilkan karya Islami sebegini untuk bacaan umat.



Namun saya akui, beberapa karya terkenal Pak Samad tidak sempat saya baca seperti Daerah Zeni dan  Lantai T Pinkie. Lebih malang, secara jujur saya akui bahawa Cinta Fansuri merupakan satu-satunya karya Pak Samad yang langsung tidak saya fahami-saya ulangi LANGSUNG SAYA TAK FAHAM! Mungkin saya perlu kembali membaca novel tersebut yang pertama kali saya baca sekitar 5-6 tahun dahulu.



Mengapa saya menulis semua ini? Saya sekadar ini berkongsi dengan semua bahawa saya lebih mengenali sosok Pak Samad sebagai seorang karyawan dan penulis yang hebat berbanding susuk aktivisme beliau. Semenjak saya dilabelkan sebagai pseudo sufi oleh seorang teman aktivis gerakan Islam,  saya semakin sedar yang saya tidak berminat lagi untuk mengikuti gerakan-gerakan masa.



Saya sekadar ingin menyarankan anak-anak muda yang lebih dekat dengan aktivisme beliau, mungkin anda perlu membaca karya-karya hebat beliau. Selepas membaca tulisan Uthaya Sankar SB bertajuk Alahai Salina dan Pak Samadhttp://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/10/22/alahai-salina-dan-pak-samad/   )   di portal Free Malaysian Today, Saya khuatir dan bersetuju dengan pandangan Uthaya Sankar SB  bahawa sebenarnya ramai  yang hanya berpura-pura menyokong perjuangan Sasterawan Negara ini!



Sebagaimana yang lazim diucapkan orang dewasa ini, that’s my two cent-lah! Lol!

Tuesday, 12 November 2013

Komputer Tablet dan e-buku - Sepatutnya kita lebih rajin membaca!

Sekiranya dilihat pada realiti kehidupan pada hari ini, kebanyakan daripada kita telahpun memiliki komputer tablet. Malah, ada ibu bapa yang membelikan komputer tablet buat anak-anak yang masih kecil. Kita menggunakan komputer tablet untuk pelbagai tujuan, termasuklah menyemak emel, membuat catatan, mengunjungi laman sosial, menonton Youtube dan sebagainya.

Namun begitu, masih kurang rakyat Malaysia yang memanfaatkan komputer tablet untuk membaca e-buku. Pada hari ini, banyak portal jualan e-buku, seperti Kobo dan I-Book yang menyediakan ribuan e-buku percuma yang boleh dimuat turun dan dibaca di tablet masing-masing. Membaca e-buku menerusi komputer tablet sememangnya menarik, memandangkan banyak aplikasi dan kemudahan yang boleh ditetapkan untuk mendatangkan keselesaan kepada pembaca, seperti membesarkan font tulisan, menanda  ( book mark), membuat nota  dan sebagainya.

Suatu ketika dahulu, jika kita hendak ke mana-mana, kita perlu membawa beg yang berat sekiranya kita ingin membaca buku-buku bersama. Namun dengan wujudnya e-buku, kita boleh membawa ratusan e-buku di dalam tanlet masing-masing untuk dibaca di mana-mana.

Ramai yang mengatakan bahawa mereka sukar mengubah tabiat membaca buku-buku versi fizikal kepada e-buku. Realitinya, industri e-buku semakin berkembang dan kita perlu bersedia berubah  untuk memastikan kita tidak ketinggalan zaman. Harga e-buku yang dibeli juga adalah lebih murah daripada buku fizikal, mungkin membolehkan kita membeli lebih buku dengan jumlah wang yang sama.