Wednesday 27 September 2017

Dunia Hanyalah Pentas oleh Muhtadi Mahsun




Novel ini merupakan salah satu pemenang bagi hadiah di dalam  Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.

Secara ringkas, karya ini mengisahkan Aliff, seorang remaja pintar namun mempunyai kisah hitamnya sendiri. Beliau sebagai protagonis  yang sedang menjalani hukuman penjara  telah dipanggil untuk membantu PDRM di dalam menyiasat kematian beberapa orang pelajar sekolah yang ditemui mati di makmal komputer SMK Gunung Rapat. Ketiga-tiga pelajar tersebut didapati mati di dalam keadaan memakai alat eletronik yang disambungkan dengan komputer.

Misteri kematian ketiga-tiga pelajar ini ditambah lagi dengan kehilangan seorang rakan mereka, Ain yang merupakan adik kepada Aliff.

Penulis mengetengahkan  genre cyberpunk, atau secara mudah difahami sebagai tema kehidupan manusia yang ditandai oleh latarbelakang kemajuan sains dan teknologi, namun menampilkan kualiti kehidupan manusia yang merudum sebagai latar belakang novel ini. 

Saya percaya, negara masih kekurangan penulis-penulis yang ingin meneroka kreativiti dan imaginasi mereka untuk menghasilkan novel-novel dalam genre ini. Di Barat, mereka sudah ada Philip K Dick ( Do Androids Dream of Electric Sheep  - 1968) dan William Gibson (Neuromancer – 1984) yang menjadi rujukan atau standard bagi karya-karya cyberpunk. Jelasnya, karya  Muhtadi telah membina satu  jambatan untuk merapatkan jurang bagi rakyat Malaysia untuk mendekati genre ini sebagaimana pembaca di dunia Barat.

Pandangan saya, idea sains yang diutarakan oleh penulis di dalam novel ini iaitu 'keupayaan untuk memindahkan kesedaran manusia ke alam maya' adalah satu konsep besar yang dibawa oleh penulis untuk digarap oleh pembaca di Malaysia. Bagaimana manusia, menerusi kemampuan pengatucaraan dan peralatan komputer mampu untuk memindahkan kesedaran ke alam maya. Ini merupakan satu tema berat, mencabar minda dan pastinya sarat dengan persoalan moral dan agama yang akan mencetuskan lebih banyak perbincangan. Lebih penting, tema seberat ini akan menganjakkan pemikiran, kreativiti dan imaginasi pembaca Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi, meninggalkan tema-tema cliche yang mencandui  masyarakat seperti cinta dan seram murahan yang terlampau banyak di pasaran. 

Selain itu, beberapa soal falsafah juga dimasukkan di dalam novel ini menerusi idea-idea Shakespeare dan beberapa penulis/sasterawan Barat.

Dalam segi gaya persembahan dan penulisan, Muhtadi menggunakan beberapa pendekatan dan stail di dalam menghasilkan novel ini, seperti gaya penulisan  drama . Hasilnya, karya ini agak unik. 


Syabas buat  Muhtadi Mahsun atas karya anda ini!

No comments:

Post a Comment