Friday 7 September 2018

Mencari Kewajaran Islam di Malaysia oleh Dinsman







 Penerbit : SRID

 Tahun    : 2017

 Halaman : 284

 ISBN       : 978-967-0960-84-5




Asalnya, saya mengenali nama  Dinsman atau Shamsudin Othman hanya melalui nama sahaja. Nama beliau saya temui sebagai nama penulis puisi yang kemudiannya dilagukan sebagai lagu-lagu puisi  yang dinyanyikan oleh Kopratasa. Semasa berada di sekolah menengah berasrama, lagu-lagu Kopratasa adalah menjadi peneman kesepian. Semasa  membelek-belek lirik lagu yang tertera pada kertas bungkusan kaset, di situlah saya mula mengenali nama Dinsman.

   Seterusnya, sekitar 1997-1998, saya mula mendapati bahawa Dinsman juga adalah menulis makalah-makalah di dalam majalah mahupun akhbar yang menyokong gerakan Reformasi 1998. Maka, persepsi saya terhadap Dinsman juga sedikit sebanyak berubah ; beliau bukan sahaja seorang penyair dan penyajak, malah beliau juga adalah seorang pemikir yang  menulis makalah-makalah dengan tema agama,  sosiopolitik dan sosioekonomi .

      Buku Mencari Kewajaran Islam Di Malaysia ini merupakan himpunan artikel dan makalah Dinsman yang telah diterbitkan  di dalam kolum Wacana Budaya, akhbar Harakah dan juga potal The Malaysian Insider. Di dalam buku ini, terhimpun 71 artikel dan makalah yang disusun dalam 10 bab dengan tema-tema yang berbeza. Kumpulan bab-bab tersebut meliputi  Ilham dari Al Quran, Ulamak dan Kepemimpinan ,  Semacam Realiti Baru, Masalah Politik berlebih-lebih, Sikap dan Fahaman Kita, Kelantan dan Kepimpinan Niz Aziz, Persoalan Hudud, Memahami hal Ekonomi dan Persekitaran Masyarakat. Di dalam kebanyakan artikel yang ditulis beliau, penulisan beliau banyak terarah kepada memberi kritikan  terhadap isu-isu semasa umat Islam dan amalan politik umat Islam. Selain itu, beliau juga ada membuat sorotan terhadap isu-isu antarabangsa semasa. 

    Daripada kandungan buku ini juga, saya mendapati bahawa Dinsman amat mengagumi perwatakan dan   era pentadbiran almarhum Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan yang juga mantan Mursyidul Am PAS. Beliau juga ada menghasilkan satu buku yang khusus dan didedikasikan untuk menyorot era pentadbiran almarhum selaku Menteri Besar Kelantan dengan tajuk Kelantan 22 tahun;Bukti Kejayaan.

     Dengan menelusuri idea-idea dan lontaran beliau di dalam buku ini, maka saya dapat simpulkan bahawa Dinsman adalah salah seorang pemikir yang kritis. Banyak isu berkaitan sosioekonomi dan sosiopolitik serta budaya yang dibincangkan di dalam buku ini dibuat secara terus-terang  dan tanpa berselindung. Pendekatan yang digunakan oleh beliau juga adalah banyak mengajak khalayak pembaca untuk bersama-sama berfikir secara kritis dan berani supaya sesuatu permasalahan dapat dirungkai dengan benar dan adil.

          Secara peribadi, saya agak tertarik dengan satu jalur pemikiran dan gagasan idea yang beliau ketengahkan di dalam buku ini, yang pada hemat saya, bersifat sangat asli dan original. Di dalam satu artikel beliau, beliau mengetengahkan bagaimana Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang Rasul dan pemimpin umat Islam, tidak menzahirkan atau memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk membangunkan ekonomi umat Islam semasa hayat Baginda. Saya percaya, pandangan beliau ini memerlukan keberanian untuk diutarakan, dan amat wajar kajian yang mendalam berkaitan isu ini dibuat. Hasilnya pasti akan menyumbang kepada khazanah penyelidikan berkaitan tamadun Islam.

     Walaupun beliau di dalam penulisan-penulisannya Dinsman banyak mengkritik masyarakat dan amalan umat Islam, pandangan-pandangan beliau tetap mempunyai merit. Sebagai pelopor dan aktivis teater, beliau merupakan  seorang yang  memiliki latar belakang pendidikan dan pengetahuan  agama. Beliau merupakan lepasan Maahad Mahamud, Alor Setar dan kemudiannya menyambung pelajaran di Kolej Islam Petaling Jaya. Hakikat ini menunjukkan bahawa di sebalik kelantangan dan pandangan kritikal yang dilontarkan, beliau tetap mempunyai wibawa ilmu dan kredibiliti untuk memberikan pandangan dan kritikan terhadap isu-isu yang membabitkan amalan umat Islam dan amalan politik Islam di negara ini. Selayaknya pandangan-pandangan dan kritikan beliau diberi pertimbangan sewajarnya oleh aktivis-aktivis gerakan, parti politik dan badan-badan pelaksana Islam di Malaysia.
         
     Kepada mereka yang mungkin pertama kali melihat judul buku ini, pastinya timbul pelbagai persoalan berkaitan judul tersebut. Apakah maksud penulis dengan mencari kewajaran Islam di Malaysia? Tidakkah Islam merupakan ad deen yang lengkap dan syumul? Mencari Kewajaran Islam di Malaysia adalah sebuah buku yang penting dalam membolehkan kita melakukan muhasabah terhadap umat Islam. Namun, pembaca perlu bersikap terbuka, berani, tidak defensif atau apologetik dengan pandangan-pandangan beliau di dalam buku ini. Dengan sikap sebegini, pastinya kita boleh pergi dengan lebih jauh dalam era kehidupan yang serba-serbinya mencabar dewasa ini.
         


No comments:

Post a Comment