Showing posts with label Penerbitan Ebook. Show all posts
Showing posts with label Penerbitan Ebook. Show all posts

Wednesday, 31 October 2018

10 Sebab Mengapa Penulis Malaysia Perlu Mula Belajar/Beralih/Menggunakan Ebook


Dunia penerbitan ebook semakin berkembang setiap hari. Jika dilihat trend semasa komuniti penulis di peringkat antarabangsa, lebih ramai penulis yang memilih untuk menerbitkan karya mereka dalam format ebuku, atau ebook. 

Walau bagaimanapun, masih ramai di kalangan penulis yang masih lagi belum benar-benar mengetahui mengapa mereka perlu bersedia untuk menjadi seorang penulis ebook. 10 sebab utama yang dinyatakan di bawah akan menerangkan mengapa inilah masa yang terbaik bagi penulis-penulis Malaysia menceburkan diri dalam dunia penerbitan ebook.


1.Proses penghasilan lebih mudah



Penulis yang memilih untuk menggunakan platfom ebook  sebenarnya telah memilih kaedah penerbitan yang lebih mudah, malah boleh dilakukan sendiri. Anda hanya perlu menyediakan manuskrip dalam format seperti epub yang digunakan sebagai medium di dalam penerbitan ebook. Selain itu, anda juga hanya perlu menyediakan kulit buku atau cover bagi ebook anda, sama ada anda hasilkan sendiri atau mengupah pereka grafik untuk melakukannya. Percaya atau tidak, kedua-dua proses ini anda boleh hasilkan sendiri dan memberikan lebih kepuasan. Apa yang diperlukan adalah keinginan, azam, semangat tidak berputus asa dan usaha yang konsisten. 

Setelah anda berjaya menghasilkan manuskrip buku anda dalam format epub dan kulit buku dalam format jpeg atau pdf, anda sudah memiliki dua perkara paling penting dalam menerbitkan ebook. Kemudian, anda sudah boleh memuat naik buku anda ke dalam platform jualan ebook seperti Google Play Book, Kobo, E Sentral dan banyak lagi.  

Anda tidak perlu memikirkan soal kos cetakan, kos pengangkutan dan banyak lagi kos-kos yang terlibat dalam proses penerbitan buku secara tradisional. 
Kesemua proses dan kos yang dapat dipintas dan dilangkaui ini lebih memberikan banyak masa dan peluang untuk anda lebih fokus kepada karya anda seterusnya. 

Sudah pasti kita lebih suka memilih perkara-perkara yang lebih mudah dan mengurangkan pening dan serabut kepala apabila memikirkannya. Maka, pilihlah penerbitan ebook yang anda usahakan sendiri secara do-it-yourself



2.Penulis lebih bebas berkarya & bereksperimen 




Adakah anda adalah seorang penulis yang ingin menulis tentang banyak perkara? Anda merasakan bahawa idea-idea yang hendak anda tulis agak lain daripada yang lain? Cadangan buku yang anda hantar kepada pihak penerbit sering tidak diluluskan atas pelbagai sebab? Lebih penting, idea dan gagasan yang hendak anda hasilkan dalam ebook itu sebenarnya memang belum pernah diterbitkan di negara ini, maka anda akan menjadi pelopor idea tersebut! Suatu kerugian jika orang lain tidak membacanya!

Jangan risau, ada penyelesaiannya. Dengan menulis dan menerbitkan sendiri karya anda dalam format ebook, anda mempunyai lebih kebebasan dan ruang untuk anda berkarya dan bereksperimen. 

Adakalanya sebagai penulis, kita memiliki idea dan buah fikiran yang mungkin berbeza dan lain daripada orang lain. Idea dan buah fikiran itu pula ternyata berkualiti dan unik, maka sayang jika tidak dikongsikan. Namun, anda merasakan atau anda memang mempunyai pengalaman bahawa manuskrip karya anda tidak diluluskan oleh panel penilai syarikat penerbitan. Maka, jelasnya , kita akan kecewa. Mungkin karya itulah karya yang akan mengubah hidup anda selamanya!

Kecewa itu perasaan yang lumrah bagi kita. Namun, itu bukanlah kesudahannya. Anda mempunyai pilihan dan alternatif untuk menerbitkan karya anda. Pilih platfom penerbitan ebook, maka karya anda hampir pasti akan berjaya diterbitkan. Kenapa saya katakan hampir pasti? Sebabnya adalah dengan menerbitkan sendiri ebook anda, anda tidak perlu lagi bergantung kepada pihak-pihak lain yang barangkali tidak dapat memahami betapa pentingnya karya tersebut kepada diri anda. 

Anda hanya perlu mempelajari sedikit proses penerbitan ebook yang bukannya sains roket ( not a rocket science!) dan anda sudah boleh melebarkan sayap anda di dalam dunia penerbitan!


Sunday, 21 May 2017

12 Sebab Mengapa Ebook Lebih Menguntungkan


 1.Kos penerbitan ebook yang rendah - penerbitan ebook tidak menggunakan kertas dan percetakan, jadi kos-kos seperti harga kertas, kos cetak, kos jilid, kos potong kertas dll semuanya dapat dikurangkan.

2. Penulis ebook yang menerbitkan ebook secara terbit sendiri (self -published ) dapat menjadi royalti dan pulangan daripada jualan ebook yang lebih tinggi daripada penerbitan buku bercetak!

 3.Peminat dan bakal pembeli  dari seluruh dunia dapat melihat ebook  anda - pasaran yang luas!

4.Anda dapat meningkat jangkauan dan capaian pembeli-pembeli ebook anda - seluruh dunia!

5.Ebook  anda akan dapat terus dimuat turun ke telefon pintar, komputer tablet, komputer riba dan komputer desktop yang menjadi trend kehidupan dan gaya hidup masa kini tanpa perlu ke kedai buku lagi.

6.Harga ebook lebih murah daripada buku bercetak. 

7.Selepas membeli dan membuat turun ebook anda, pembeli dan pembaca boleh membaca ebook anda di mana-mana tanpa perlu wifi/internet.

8.Anda tidak perlu risau tentang kehabisan stok ebook dan cetak semula (reprint) ebook.

9. Pembeli-pembeli boleh menggunakan kad kredit, kad debit, Pay Pal dan banyak lagi aplikasi pembayaran dalam talian.

10.Kebanyakan penyedia perkhidmatan jualan ebook seperti E-sentral, Google, Kobo dan lain-lain memastikan ebook anda dilindungi menerusi  DRM atau Digital Rights Management -  karya digital  anda dilindungi daripada di'copy', di'download' secara tak sah dan diedarkan secara salah.

 11. User interface dan aplikasi untuk membaca ebook  sangat mesra pembaca dan memberikan pengalaman membaca yang menyenangkan pembaca. Pembaca boleh menyesuaikan pembacaan dengan mengubah saiz font, dan menanda halaman buku, mencari maksud perkataan  dan banyak lagi!

12. Penerbitan ebook secara digital akan menjimatkan penggunaan kertas - mengurangkan penebangan pokok untuk menghasilkan kertas  dan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

Thursday, 26 January 2017

Ebook- ribuan karya di dalam saku!


Untuk mereka yang masih belum menyedari apakah ebook, dengan cara yang mudah, saya akan jelaskan bahawa ebook atau e-buku adalah buku yang diterbitkan secara digital. Secara digital pula, maksudnya, tidak menggunakan kertas seperti gaya penerbitan konvensional & tradisional. Jadi kalau sejak sekian lama kita membaca buku yang bercetak, maka dalam era penerbitan ebook, kita tidak lagi memerlukan kertas untuk membaca sesuatu karya. Kita boleh membaca sama ada di komputer peribadi, komputer riba @ laptop, komputer tablet dan telefon pintar @ smartphone

Kalau difikir-fikirkan, teknologi penerbitan yang melahirkan penerbitan ebook ini secara umumnya telah mengubah gaya hidup kita. Kalau suatu ketika dahulu, buku-buku mesti dibeli di kedai buku secara fizikal, atau dipinjam daripada perpustakaan, maka dengan teknologi ebook, kita kini boleh membeli judul yang diminati secara online sahaja. Tidak lagi perlu menghabiskan masa untuk ke kedai buku. Boleh menjimatkan wang, masa dan tenaga!

Di dalam smartphone atau tablet, kita juga boleh menyimpan ratusan hingga ribuan ebook yang telah dibeli, dan boleh pula dibawa ke mana-mana. Kalau kita merupakan seseorang yang suka membaca, sudah pasti kita akan menjadi lebih suka dan rajin membaca kalau di dalam smartphone kita terdapat ratusan judul karya yang akan mengikut kita ke mana-mana. Contoh paling mudah, ketika di dalam penerbangan, seseorang yang membawa komputer tablet boleh sahaja membaca ebook dengan bantuan cahaya tablet dan menukar-nukar buku yang hendak dibaca kerana semuanya tersimpan di dalam satu alat sahaja. Tidak lagi perlu membawa sejumlah buku di dalam beg!

Sepanjang saya mula membaca buku-buku dalam format ebook, saya juga pernah mendengar pelbagai pandangan orang tentang ebook. Ada yang mengatakan bahawa membaca ebook tidak sama dengan membaca buku bercetak. Ada pula yang mengatakan bahawa membaca ebook, agak susah kita mengingati apa yang dibaca. Banyak lagi maklum balas yang diberikan menggambarkan seolah-olah membaca ebook bukanlah satu pembacaan dalam erti kata sebenarnya. 

Secara peribadi, saya tidak bersetuju.

Melalui pengalaman sendiri, membaca ebook tidak banyak bezanya dengan membaca buku bercetak. Saya tetap boleh memahami dan mengingati jalan cerita novel-novel atau buku non-fiction dalam format ebook yang dibaca. Lebih melucukan, ramai di kalangan orang yang saya kenal yang memberikan maklum balas negatif tentang pembacaan ebook, sebenarnya bukan juga pembaca buku-buku bercetak secara tegar dan termasuk dalam kategori 'avid reader'!

Dengan wujud teknologi ebook ini, kini saya boleh membawa ratusan buku, sama ada yang dibeli atau dimuat turun secara percuma ke mana-mana. Saya boleh membaca di dalam LRT ketika menuju ke mana-mana destinasi, saya boleh membaca ketika menanti hidangan yang dipesan tiba di restoran, saya boleh membaca ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya dan di mana-mana sahaja. Dengan syarat, saya membawa smartphone, dan tidak pula menggunakan masa yang ada untuk terlalu ber'media sosial', menonton youtube atau bermain games!