Wednesday 24 August 2016

Lelaki Bersut - Tak Panas ke Bang?









Asal hikayat, saya mengenali penulis buku ini,  M. Hafiz Zainol Abidin sebagai seorang pelajar undang-undang @ law school UIAM. Pada ketika itu, dia dikenali sebagai salah seorang pemuzik dengan alat muzik yang unik dan tak pernah saya jumpa iaitu ‘Didjeridoo’. Alat tersebut adalah alat muzik tradisonal masyarakat pribumi Australia.



Setelah beberapa lama terpisah kerana masing-masing mencari rentak  dalam permulaan hidup bekerjaya, saya menemui sekali lagi beliau di mahkamah. Kali ini beliau sudah tampil sebagai pengamal undang-undang. Lebih hebat, beliau adalah seorang lawyer jenayah. Sekali-sekala berjumpa, beliau berkongsi sedikit-sebanyak tentang dunia undang-undang jenayah. Macam-macam kisah suka-dukanya. Macam-macam warna-warni perjalanannya. Dunia guaman jenayah bukanlah dunia yang bersifat hitam putih, walaupun undang-undang jenayah semestinya meletakkan dikotomi yang jelas antara salah dan tak bersalah.



Apabila beliau berjaya menerbitkan naskhah Lelaki Bersut : Tak Panas Ke Bang?, saya lebih teruja kerana saya berjaya mengenali satu lagi sisi penulis yang saya tak kenal.  Dan melihat posting-posting abang Hafiz di facebook yang berkaitan buku-buku serius yang sedang dibaca beliau, membuatkan saya lebih happy kerana saya berjumpa dengan seorang lagi sahabat seangkatan yang suka membaca buku.



Buku ini memuatkan catatan-catatan dan anekdot beliau sebagai seorang peguam jenayah. Dalam erti kata lain, ini merupakan rakaman perjalanan seorang peguam yang membawa pembaca ke alam guaman dan amalan undang-undang.  Banyak kisah-kisah yang hanya dapat diceritakan oleh peguam yang mengalaminya sahaja – termasuklah yang menyayat hati, yang menunjukkan dunia ni dah nak tunggang-terbalik sikit masa lagi, yang serius, yang lucu dan macam-macam lagi.



Sesiapa yang membaca buku ini akan mendapat pendedahan dan disclosure daripada seorang insider, atau orang dalam yang memang bergelumang dengan perkara-perkara yang diceritakan dalam buku tersebut. Sekaligus ini membuatkan kita dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam dunia guaman. Sangat ekslusif dan tidak semestinya glamor semata-mata macam cerita-cerita di tv.



Sebagai peguam, adakalanya beliau bertemu dengan Orang Kena Tuduh, keluarga mereka dan sebagainya. Di situlah macam-macam kisah duniawi tentang manusia yang akan berlaku.



Saya sebagai  penggemar buku, atau avid reader, telah berkesempatan membaca karya daripada pelbagai penulis. Dari situ, saya juga sudah mampu membuat penilaian tentang hasil penulisan, gaya dan stail seseorang penulis. Abang Hafiz memang mempunyai gayanya yang tersendiri. Kalau kita bersembang dan berbual-bual dengan orang Utara, kadang-kadang lawak atau punchline yang dibuat tu hanya boleh ditangkap apabila orang tu menghabiskan percakapannya, dan disulami dengan senyuman kecil. Ada lawak yang nak disampaikan, dan hanya mereka yang tajam akal saja cepat menangkap apa yang nak disampaikan. Begitulah juga dengan stail dan gaya penulisan abang Hafiz, bagi saya kekuatannya adalah dia memiliki gaya dan stail penulisan tersendiri dan sangat reflektif dengan dirinya yang seorang anak jati Perlis.  Simple tetapi padat.



Buku ini nipis sahaja, sekitar 80 muka surat dan memuatkan 30 cerita. Saya percaya semuanya berdasarkan kisah benar. Cerita kegemaran saya adalah ‘Tak gila pun’ yang menutupi buku ini.



Saya doakan abang Hafiz sahabat saya ini akan berdaya untuk menghasilkan lebih banyak karya-karya sebegini untuk membina pemikiran masyarakat Malaysia ni.  Sempoi bag hang!



p/s – sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini, boleh hubungi abang Hafiz di facebooknya iaitu Pak Sheikh Hafiz .