![]() |
Siri tv |
740 mukasurat yang saya habiskan membaca dalam masa lebih kurang 2
bulan sekitar Jun-Ogos 2012. Memang
letih, tetapi gaya penulisan Stephen King memang menyebabkan kita terus ingin
membaca walaupun didera jalan cerita setebal hampir 800 muka surat.
11/22/63 merupakan novel
fiksyen yang mengisahkan Jake Epping, seorang guru bahasa Inggeris yang menemui
terowong masa untuk kembali ke zaman silam dan menggunakan peluang ini untuk
menghalang pembunuhan Presiden Amerika, John F Kennedy. Menerusi kenalannya, Al
yang merupakan seorang pengusaha diner ( kedai makan ), Jake dimaklumkan
tentang rahsia bagaimana Al dapat meraih keuntungan apabila ia dapat pulang ke
zaman silam dan mengambil kesempatan
daripada kelebihan ini. Terowong masa yang ajaib ini terletak di dalam diner
atau gerabak makan minum yang diusahakannya.
Sesiapa yang memasuki terowong
ini, ia akan dihantar kembali ke masa silam, namun tertakluk kepada
keadaan-keadaan ini :
a)
Setiap kali memasuki portal atau terowong tersebut, orang
itu akan kembali ke 9 September 1958, pada jam 11.58 a.m;
b)
Walau berapa lama sekalipun orang tersebut berada di masa
silam menerusi terowong tersebut, sama ada minggu, bulan mahupun tahun, apabila
ia kembali ke zaman sebenar, hanya 2 minit sahaja yang telah berlalu pada zaman
kini;
c)
Peristiwa-peristiwa silam boleh diubah, namun sekiranya
orang tersebut mengubah atau mempengaruhi sesuatu peristiwa, sebaik sahaja ia
kembali ke zaman kini, segalanya kembali semula seperti sediakala;
d)
‘Masa silam’ juga mewujudkan halangan-halangan untuk menentang
seseorang untuk mengubah peristiwa
Setiap kali seseorang melalui
terowong masa tersebut, walau berapa lama sekalipun orang tersebut hidup di
zaman silam, apabila ia kembali ke zaman sebenar, ia hanya meninggalkan zaman
sebenar selama 2 minit sahaja. Namun, setiap tindakan, walau sekecil mana
sekalipun yang dilakukan di zaman silam, akan mengubah apa yang berlaku pada
masa hadapan.
Jake menggunakan terowong ini
untuk kembali ke zaman silam dan menyelamatkan keluarga seorang kenalannya,
Harry Dunning yang dibunuh kejam oleh ayahnya sendiri. Dan cubaannya membuahkan
hasil, namun menghasilkan realiti yang berbeza pada masa hadapan.
Jake juga mengambil keputusan
untuk menyelamatkan Presiden Amerika, John F Kennedy yang ditembak oleh Lee
Harvey Oswald pada tanggal 22 November 1963 yang dikatakan seorang pendukung
fahaman Komunis. Namun, Jake terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum ia dapat
tiba ke tahun 1963, dan sementara itu Jake terpaksa menjalani kehidupan seperti
biasa sambil memerhatikan gerak geri Oswald .
Ketika menjalani kehidupannya
di period yang berbeza dengan dunianya yang sebenar, Jake juga terpaksa melalui
lumrah kehidupan biasa. Bertemu dengan
kenalan-kenalan yang baik, terpaksa bekerja untuk mencari sara hidup dan
menemui apa yang dirasakannya sebagai cinta sejati dalam kehidupannya.
Usaha Jake berhasil. JFK
akhirnya terselamat daripada pembunuhan tersebut, namun perubahan pada
peristiwa silam membuatkan kehidupan pada masa hadapan berubah. Dunia turut
mengalami perubahan ketara.
Jake juga terpaksa membayar
dengan harga yang mahal untuk memastikan JFK terus hidup.
Segala yang ditempuhi Jake
menerusi terowong masa tersebut akhirnya membuatkan dia mengambil satu-satunya
keputusan yang penting.
Penulis menggunakan novel ini
untuk meneroka fenomena yang disebut-sebut sebagai The Butterfly Effect, iaitu tindakan-tindakan kecil yang dibuat
oleh seseorang namun boleh menghasilkan kesan yang besar. Selain daripada plot
yang sarat dengan kreativiti dan imaginasi, Stephen King merupakan seorang
penulis yang 'genius' dalam mewujudkan elemen misteri yang tidak terjawab di
dalam karya ini. Elemen-elemen misteri yang diwujudkan di dalam novel ini
menyebabkan kita berfikir, mungkinkah wujud pelbagai rahsia alam yang tidak
kita ketahui di dalam kehidupan kita?
Saya suka berfikir, sekiranya
keluasan imaginasi manusia ini begitu luas dan mencapah, adakah realiti-realiti
tersembunyi dan misteri sebagaimana yang difikirkan oleh Stephen King ini
benar-benar wujud, namun tidak diketahui oleh ramai orang?
Lebih menarik, novel ini juga
telah diadaptasikan ke siri tv dengan judul yang sama.