Wednesday 31 October 2018

10 Sebab Mengapa Penulis Malaysia Perlu Mula Belajar/Beralih/Menggunakan Ebook


Dunia penerbitan ebook semakin berkembang setiap hari. Jika dilihat trend semasa komuniti penulis di peringkat antarabangsa, lebih ramai penulis yang memilih untuk menerbitkan karya mereka dalam format ebuku, atau ebook. 

Walau bagaimanapun, masih ramai di kalangan penulis yang masih lagi belum benar-benar mengetahui mengapa mereka perlu bersedia untuk menjadi seorang penulis ebook. 10 sebab utama yang dinyatakan di bawah akan menerangkan mengapa inilah masa yang terbaik bagi penulis-penulis Malaysia menceburkan diri dalam dunia penerbitan ebook.


1.Proses penghasilan lebih mudah



Penulis yang memilih untuk menggunakan platfom ebook  sebenarnya telah memilih kaedah penerbitan yang lebih mudah, malah boleh dilakukan sendiri. Anda hanya perlu menyediakan manuskrip dalam format seperti epub yang digunakan sebagai medium di dalam penerbitan ebook. Selain itu, anda juga hanya perlu menyediakan kulit buku atau cover bagi ebook anda, sama ada anda hasilkan sendiri atau mengupah pereka grafik untuk melakukannya. Percaya atau tidak, kedua-dua proses ini anda boleh hasilkan sendiri dan memberikan lebih kepuasan. Apa yang diperlukan adalah keinginan, azam, semangat tidak berputus asa dan usaha yang konsisten. 

Setelah anda berjaya menghasilkan manuskrip buku anda dalam format epub dan kulit buku dalam format jpeg atau pdf, anda sudah memiliki dua perkara paling penting dalam menerbitkan ebook. Kemudian, anda sudah boleh memuat naik buku anda ke dalam platform jualan ebook seperti Google Play Book, Kobo, E Sentral dan banyak lagi.  

Anda tidak perlu memikirkan soal kos cetakan, kos pengangkutan dan banyak lagi kos-kos yang terlibat dalam proses penerbitan buku secara tradisional. 
Kesemua proses dan kos yang dapat dipintas dan dilangkaui ini lebih memberikan banyak masa dan peluang untuk anda lebih fokus kepada karya anda seterusnya. 

Sudah pasti kita lebih suka memilih perkara-perkara yang lebih mudah dan mengurangkan pening dan serabut kepala apabila memikirkannya. Maka, pilihlah penerbitan ebook yang anda usahakan sendiri secara do-it-yourself



2.Penulis lebih bebas berkarya & bereksperimen 




Adakah anda adalah seorang penulis yang ingin menulis tentang banyak perkara? Anda merasakan bahawa idea-idea yang hendak anda tulis agak lain daripada yang lain? Cadangan buku yang anda hantar kepada pihak penerbit sering tidak diluluskan atas pelbagai sebab? Lebih penting, idea dan gagasan yang hendak anda hasilkan dalam ebook itu sebenarnya memang belum pernah diterbitkan di negara ini, maka anda akan menjadi pelopor idea tersebut! Suatu kerugian jika orang lain tidak membacanya!

Jangan risau, ada penyelesaiannya. Dengan menulis dan menerbitkan sendiri karya anda dalam format ebook, anda mempunyai lebih kebebasan dan ruang untuk anda berkarya dan bereksperimen. 

Adakalanya sebagai penulis, kita memiliki idea dan buah fikiran yang mungkin berbeza dan lain daripada orang lain. Idea dan buah fikiran itu pula ternyata berkualiti dan unik, maka sayang jika tidak dikongsikan. Namun, anda merasakan atau anda memang mempunyai pengalaman bahawa manuskrip karya anda tidak diluluskan oleh panel penilai syarikat penerbitan. Maka, jelasnya , kita akan kecewa. Mungkin karya itulah karya yang akan mengubah hidup anda selamanya!

Kecewa itu perasaan yang lumrah bagi kita. Namun, itu bukanlah kesudahannya. Anda mempunyai pilihan dan alternatif untuk menerbitkan karya anda. Pilih platfom penerbitan ebook, maka karya anda hampir pasti akan berjaya diterbitkan. Kenapa saya katakan hampir pasti? Sebabnya adalah dengan menerbitkan sendiri ebook anda, anda tidak perlu lagi bergantung kepada pihak-pihak lain yang barangkali tidak dapat memahami betapa pentingnya karya tersebut kepada diri anda. 

Anda hanya perlu mempelajari sedikit proses penerbitan ebook yang bukannya sains roket ( not a rocket science!) dan anda sudah boleh melebarkan sayap anda di dalam dunia penerbitan!


Friday 7 September 2018

Mencari Kewajaran Islam di Malaysia oleh Dinsman







 Penerbit : SRID

 Tahun    : 2017

 Halaman : 284

 ISBN       : 978-967-0960-84-5




Asalnya, saya mengenali nama  Dinsman atau Shamsudin Othman hanya melalui nama sahaja. Nama beliau saya temui sebagai nama penulis puisi yang kemudiannya dilagukan sebagai lagu-lagu puisi  yang dinyanyikan oleh Kopratasa. Semasa berada di sekolah menengah berasrama, lagu-lagu Kopratasa adalah menjadi peneman kesepian. Semasa  membelek-belek lirik lagu yang tertera pada kertas bungkusan kaset, di situlah saya mula mengenali nama Dinsman.

   Seterusnya, sekitar 1997-1998, saya mula mendapati bahawa Dinsman juga adalah menulis makalah-makalah di dalam majalah mahupun akhbar yang menyokong gerakan Reformasi 1998. Maka, persepsi saya terhadap Dinsman juga sedikit sebanyak berubah ; beliau bukan sahaja seorang penyair dan penyajak, malah beliau juga adalah seorang pemikir yang  menulis makalah-makalah dengan tema agama,  sosiopolitik dan sosioekonomi .

      Buku Mencari Kewajaran Islam Di Malaysia ini merupakan himpunan artikel dan makalah Dinsman yang telah diterbitkan  di dalam kolum Wacana Budaya, akhbar Harakah dan juga potal The Malaysian Insider. Di dalam buku ini, terhimpun 71 artikel dan makalah yang disusun dalam 10 bab dengan tema-tema yang berbeza. Kumpulan bab-bab tersebut meliputi  Ilham dari Al Quran, Ulamak dan Kepemimpinan ,  Semacam Realiti Baru, Masalah Politik berlebih-lebih, Sikap dan Fahaman Kita, Kelantan dan Kepimpinan Niz Aziz, Persoalan Hudud, Memahami hal Ekonomi dan Persekitaran Masyarakat. Di dalam kebanyakan artikel yang ditulis beliau, penulisan beliau banyak terarah kepada memberi kritikan  terhadap isu-isu semasa umat Islam dan amalan politik umat Islam. Selain itu, beliau juga ada membuat sorotan terhadap isu-isu antarabangsa semasa. 

    Daripada kandungan buku ini juga, saya mendapati bahawa Dinsman amat mengagumi perwatakan dan   era pentadbiran almarhum Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan yang juga mantan Mursyidul Am PAS. Beliau juga ada menghasilkan satu buku yang khusus dan didedikasikan untuk menyorot era pentadbiran almarhum selaku Menteri Besar Kelantan dengan tajuk Kelantan 22 tahun;Bukti Kejayaan.

     Dengan menelusuri idea-idea dan lontaran beliau di dalam buku ini, maka saya dapat simpulkan bahawa Dinsman adalah salah seorang pemikir yang kritis. Banyak isu berkaitan sosioekonomi dan sosiopolitik serta budaya yang dibincangkan di dalam buku ini dibuat secara terus-terang  dan tanpa berselindung. Pendekatan yang digunakan oleh beliau juga adalah banyak mengajak khalayak pembaca untuk bersama-sama berfikir secara kritis dan berani supaya sesuatu permasalahan dapat dirungkai dengan benar dan adil.

          Secara peribadi, saya agak tertarik dengan satu jalur pemikiran dan gagasan idea yang beliau ketengahkan di dalam buku ini, yang pada hemat saya, bersifat sangat asli dan original. Di dalam satu artikel beliau, beliau mengetengahkan bagaimana Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang Rasul dan pemimpin umat Islam, tidak menzahirkan atau memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk membangunkan ekonomi umat Islam semasa hayat Baginda. Saya percaya, pandangan beliau ini memerlukan keberanian untuk diutarakan, dan amat wajar kajian yang mendalam berkaitan isu ini dibuat. Hasilnya pasti akan menyumbang kepada khazanah penyelidikan berkaitan tamadun Islam.

     Walaupun beliau di dalam penulisan-penulisannya Dinsman banyak mengkritik masyarakat dan amalan umat Islam, pandangan-pandangan beliau tetap mempunyai merit. Sebagai pelopor dan aktivis teater, beliau merupakan  seorang yang  memiliki latar belakang pendidikan dan pengetahuan  agama. Beliau merupakan lepasan Maahad Mahamud, Alor Setar dan kemudiannya menyambung pelajaran di Kolej Islam Petaling Jaya. Hakikat ini menunjukkan bahawa di sebalik kelantangan dan pandangan kritikal yang dilontarkan, beliau tetap mempunyai wibawa ilmu dan kredibiliti untuk memberikan pandangan dan kritikan terhadap isu-isu yang membabitkan amalan umat Islam dan amalan politik Islam di negara ini. Selayaknya pandangan-pandangan dan kritikan beliau diberi pertimbangan sewajarnya oleh aktivis-aktivis gerakan, parti politik dan badan-badan pelaksana Islam di Malaysia.
         
     Kepada mereka yang mungkin pertama kali melihat judul buku ini, pastinya timbul pelbagai persoalan berkaitan judul tersebut. Apakah maksud penulis dengan mencari kewajaran Islam di Malaysia? Tidakkah Islam merupakan ad deen yang lengkap dan syumul? Mencari Kewajaran Islam di Malaysia adalah sebuah buku yang penting dalam membolehkan kita melakukan muhasabah terhadap umat Islam. Namun, pembaca perlu bersikap terbuka, berani, tidak defensif atau apologetik dengan pandangan-pandangan beliau di dalam buku ini. Dengan sikap sebegini, pastinya kita boleh pergi dengan lebih jauh dalam era kehidupan yang serba-serbinya mencabar dewasa ini.