Wednesday, 5 October 2016

11/22/63 oleh Stephen King




 
Kulit novel 11/22/63


Siri tv







740 mukasurat yang saya  habiskan membaca dalam masa lebih kurang 2 bulan sekitar Jun-Ogos 2012.  Memang letih, tetapi gaya penulisan Stephen King memang menyebabkan kita terus ingin membaca walaupun didera jalan cerita setebal hampir 800 muka surat.


11/22/63  merupakan novel fiksyen yang mengisahkan Jake Epping, seorang guru bahasa Inggeris yang menemui terowong masa untuk kembali ke zaman silam dan menggunakan peluang ini untuk menghalang pembunuhan Presiden Amerika, John F Kennedy. Menerusi kenalannya, Al yang merupakan seorang pengusaha diner ( kedai makan ), Jake dimaklumkan tentang rahsia bagaimana Al dapat meraih keuntungan apabila ia dapat pulang ke zaman silam  dan mengambil kesempatan daripada kelebihan ini. Terowong masa yang ajaib ini terletak di dalam diner atau gerabak makan minum yang diusahakannya.


Sesiapa yang memasuki terowong ini, ia akan dihantar kembali ke masa silam, namun tertakluk kepada keadaan-keadaan ini :

a)    Setiap kali memasuki portal atau terowong tersebut, orang itu akan kembali ke 9 September 1958, pada jam 11.58 a.m;

b)    Walau berapa lama sekalipun orang tersebut berada di masa silam menerusi terowong tersebut, sama ada minggu, bulan mahupun tahun, apabila ia kembali ke zaman sebenar, hanya 2 minit sahaja yang telah berlalu pada zaman kini;

c)    Peristiwa-peristiwa silam boleh diubah, namun sekiranya orang tersebut mengubah atau mempengaruhi sesuatu peristiwa, sebaik sahaja ia kembali ke zaman kini, segalanya kembali semula seperti sediakala;

d)    ‘Masa silam’ juga mewujudkan halangan-halangan untuk menentang seseorang untuk mengubah peristiwa



Setiap kali seseorang melalui terowong masa tersebut, walau berapa lama sekalipun orang tersebut hidup di zaman silam, apabila ia kembali ke zaman sebenar, ia hanya meninggalkan zaman sebenar selama 2 minit sahaja. Namun, setiap tindakan, walau sekecil mana sekalipun yang dilakukan di zaman silam, akan mengubah apa yang berlaku pada masa hadapan.


Jake menggunakan terowong ini untuk kembali ke zaman silam dan menyelamatkan keluarga seorang kenalannya, Harry Dunning yang dibunuh kejam oleh ayahnya sendiri. Dan cubaannya membuahkan hasil, namun menghasilkan realiti yang berbeza pada masa hadapan.


Jake juga mengambil keputusan untuk menyelamatkan Presiden Amerika, John F Kennedy yang ditembak oleh Lee Harvey Oswald pada tanggal 22 November 1963 yang dikatakan seorang pendukung fahaman Komunis. Namun, Jake terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum ia dapat tiba ke tahun 1963, dan sementara itu Jake terpaksa menjalani kehidupan seperti biasa sambil memerhatikan gerak geri Oswald .


Ketika menjalani kehidupannya di period yang berbeza dengan dunianya yang sebenar, Jake juga terpaksa melalui lumrah kehidupan biasa. Bertemu dengan  kenalan-kenalan yang baik, terpaksa bekerja untuk mencari sara hidup dan menemui apa yang dirasakannya sebagai cinta sejati dalam kehidupannya.


Usaha Jake berhasil. JFK akhirnya terselamat daripada pembunuhan tersebut, namun perubahan pada peristiwa silam membuatkan kehidupan pada masa hadapan berubah. Dunia turut mengalami perubahan ketara.


Jake juga terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk memastikan JFK terus hidup.


Segala yang ditempuhi Jake menerusi terowong masa tersebut akhirnya membuatkan dia mengambil satu-satunya keputusan yang penting.


Penulis menggunakan novel ini untuk meneroka fenomena yang disebut-sebut sebagai The Butterfly Effect, iaitu tindakan-tindakan kecil yang dibuat oleh seseorang namun boleh menghasilkan kesan yang besar. Selain daripada plot yang sarat dengan kreativiti dan imaginasi, Stephen King merupakan seorang penulis yang 'genius' dalam mewujudkan elemen misteri yang tidak terjawab di dalam karya ini. Elemen-elemen misteri yang diwujudkan di dalam novel ini menyebabkan kita berfikir, mungkinkah wujud pelbagai rahsia alam yang tidak kita ketahui di dalam kehidupan kita?


Saya suka berfikir, sekiranya keluasan imaginasi manusia ini begitu luas dan mencapah, adakah realiti-realiti tersembunyi dan misteri sebagaimana yang difikirkan oleh Stephen King ini benar-benar wujud, namun tidak diketahui oleh ramai orang?


Lebih menarik, novel ini juga telah diadaptasikan ke siri tv dengan judul yang sama.

Wednesday, 24 August 2016

Lelaki Bersut - Tak Panas ke Bang?









Asal hikayat, saya mengenali penulis buku ini,  M. Hafiz Zainol Abidin sebagai seorang pelajar undang-undang @ law school UIAM. Pada ketika itu, dia dikenali sebagai salah seorang pemuzik dengan alat muzik yang unik dan tak pernah saya jumpa iaitu ‘Didjeridoo’. Alat tersebut adalah alat muzik tradisonal masyarakat pribumi Australia.



Setelah beberapa lama terpisah kerana masing-masing mencari rentak  dalam permulaan hidup bekerjaya, saya menemui sekali lagi beliau di mahkamah. Kali ini beliau sudah tampil sebagai pengamal undang-undang. Lebih hebat, beliau adalah seorang lawyer jenayah. Sekali-sekala berjumpa, beliau berkongsi sedikit-sebanyak tentang dunia undang-undang jenayah. Macam-macam kisah suka-dukanya. Macam-macam warna-warni perjalanannya. Dunia guaman jenayah bukanlah dunia yang bersifat hitam putih, walaupun undang-undang jenayah semestinya meletakkan dikotomi yang jelas antara salah dan tak bersalah.



Apabila beliau berjaya menerbitkan naskhah Lelaki Bersut : Tak Panas Ke Bang?, saya lebih teruja kerana saya berjaya mengenali satu lagi sisi penulis yang saya tak kenal.  Dan melihat posting-posting abang Hafiz di facebook yang berkaitan buku-buku serius yang sedang dibaca beliau, membuatkan saya lebih happy kerana saya berjumpa dengan seorang lagi sahabat seangkatan yang suka membaca buku.



Buku ini memuatkan catatan-catatan dan anekdot beliau sebagai seorang peguam jenayah. Dalam erti kata lain, ini merupakan rakaman perjalanan seorang peguam yang membawa pembaca ke alam guaman dan amalan undang-undang.  Banyak kisah-kisah yang hanya dapat diceritakan oleh peguam yang mengalaminya sahaja – termasuklah yang menyayat hati, yang menunjukkan dunia ni dah nak tunggang-terbalik sikit masa lagi, yang serius, yang lucu dan macam-macam lagi.



Sesiapa yang membaca buku ini akan mendapat pendedahan dan disclosure daripada seorang insider, atau orang dalam yang memang bergelumang dengan perkara-perkara yang diceritakan dalam buku tersebut. Sekaligus ini membuatkan kita dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam dunia guaman. Sangat ekslusif dan tidak semestinya glamor semata-mata macam cerita-cerita di tv.



Sebagai peguam, adakalanya beliau bertemu dengan Orang Kena Tuduh, keluarga mereka dan sebagainya. Di situlah macam-macam kisah duniawi tentang manusia yang akan berlaku.



Saya sebagai  penggemar buku, atau avid reader, telah berkesempatan membaca karya daripada pelbagai penulis. Dari situ, saya juga sudah mampu membuat penilaian tentang hasil penulisan, gaya dan stail seseorang penulis. Abang Hafiz memang mempunyai gayanya yang tersendiri. Kalau kita bersembang dan berbual-bual dengan orang Utara, kadang-kadang lawak atau punchline yang dibuat tu hanya boleh ditangkap apabila orang tu menghabiskan percakapannya, dan disulami dengan senyuman kecil. Ada lawak yang nak disampaikan, dan hanya mereka yang tajam akal saja cepat menangkap apa yang nak disampaikan. Begitulah juga dengan stail dan gaya penulisan abang Hafiz, bagi saya kekuatannya adalah dia memiliki gaya dan stail penulisan tersendiri dan sangat reflektif dengan dirinya yang seorang anak jati Perlis.  Simple tetapi padat.



Buku ini nipis sahaja, sekitar 80 muka surat dan memuatkan 30 cerita. Saya percaya semuanya berdasarkan kisah benar. Cerita kegemaran saya adalah ‘Tak gila pun’ yang menutupi buku ini.



Saya doakan abang Hafiz sahabat saya ini akan berdaya untuk menghasilkan lebih banyak karya-karya sebegini untuk membina pemikiran masyarakat Malaysia ni.  Sempoi bag hang!



p/s – sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini, boleh hubungi abang Hafiz di facebooknya iaitu Pak Sheikh Hafiz .