Tuesday 7 January 2014

47 Ronin Story oleh John Allyn












Syukur Alhamdulillah. Tahun 2014 telah tiba bersama pelbagai azam yang ingin dicapai.

Buku pertama yang berjaya saya habiskan pada tahun ini adalah buku 47 Ronin Story, karya John Allyn.  Saya berjaya menghabiskan pembacaan kira-kira dalam masa 2 hari secara santai. Terus-terang dinyatakan, minat saya terhadap kisah 47 Ronin atau samurai tidak bertuan  ini kembali dihidupkan setelah menonton filem 47 Ronin yang dilakonkan oleh Keanu Reavees.

Buku ini memuatkan kisah ronin-ronin atau samurai-samurai tidak bertuan yang merancang usaha menuntut bela atas kematian tuan mereka, Lord Asano yang terpaksa melakukan seppuku ( ritual bunuh diri ) di atas perancangan dan muslihat Lord Kira. Lord Kira adalah seorang pegawai adat yang mengamalkan korupsi dan rasuah. Tindak tanduknya mengundang rasa marah dan tidak bersetuju  oleh Lord Asano yang tidak mahu terbabit dalam amalan korupsi. Apabila Lord Asano hilang kesabaran terhadap Lord Kira dan telah mencederakannya, Lord Asano telah melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh Shogun atau pemerintah tentera tertinggi Jepun.

Setelah kematian Lord Asano, Oishi ketua samurai yang dimiliki oleh Lord Asano telah mengatur perancangan untuk membalas dendam terhadap Lord Kira yang perlu dipertanggung jawabkan atas kematian Lord Asano. Namun begitu, usaha mereka tidak mudah, kerana wilayah Ako yang ditadbir oleh Lord Asano terpaksa diserahkan. Samurai-samurai Lord Asano juga telah diberi amaran agar tidak membalas dendam terhadap kematian ketua mereka.

Oishi, selaku ketua samurai-samurai yang dimiliki Lord Asano terpaksa membuat satu perancangan jangka masa panjang bagi menuntut bela kematian ketua mereka. Perancangan mereka terpaksa dilakukan dengan penuh teliti, memandangkan perisik-perisik Lord Kira juga membuat pengintipan dan perisikan kepada gerak-gerak ronin-ronin ini. Oishi dan rakan-rakannya bukan sahaja terpaksa berpura-pura menjadi gelandangan dan tidak lagi kelihatan sebagai samurai untuk meyakinkan Lord Kira bahawa mereka tidak akan membuat serangan balas.

Daripada jumlah yang besar yang bersetuju pada mulanya, bilangan ronin yang tinggal dan bersumpah setia untuk membalas dendam hanya tinggal 47 orang. Mereka menyedari bahawa jalan yang ditempuh  hanya akan berakhir dengan maut , namun kematian mereka akan bermaruah.

Selepas lebih setahun dan setelah perancangan rapi dilakukan, ronin-ronin yang dipimpin oleh Oishi akhirnya mengepung dan menyerang istana milik Lord Kira tanpa disangka-sangka. Mereka berjaya dalam menumpaskan Lord Kira dan mengembalikan maruah wilayah Ako mengikut prinsip-prinsip Bushido.

No comments:

Post a Comment