Tuesday 14 April 2015

Infeksi oleh Ehsan El Bakri





Novel-novel berkaitan 'apokalips zombi'  kini semakin banyak berada di pasaran. Sejak filem Night of the Living Dead mula ditayangkan pada 1968, konsep zombi kini terus diteroka dan dikembang. Lebih penting, kehidupan manusia dalam era 'apokalips zombi', atau period kehidupan di mana zombie bermaharajalela terus menjadi subjek penulis-penulis tempatan mahupun antarabangsa. Di dalam suasana huru-hara dan kacau-bilau, novelis-novelis cuba mempamerkan perilaku dan tingkahlaku manusia terhadap satu sama lain. Persoalan yang senantiasa cuba dijawab adalah adakah di dalam kacau-bilau, huru-hara dan kesengsaraan, manusia akan hilang nilai-nilai insaninya?



Novel  Infeksi karya Ehsan El Bakri ini merupakan satu lagi percubaan penulis-penulis Malaysia dalam menghasilkan fiksyen zombi di dalam latarbelakang Malaysia.  Novel ini menceritakan kisah lapan orang individu  yang masing-masing mempunyai kisah mereka sendiri dan akhirnya bertemu setelah kota diserang zombi-zombi.



Faris, Farah, Korperal Hafiz, Margaret, Razak dan Nina, Nash dan Anas adalah individu-individu yang bertemu di usaha untuk meneruskan hidup dalam malapetaka zombi yang melanda. Masing-masing dengan kisah hidup masing-masing, berusaha untuk selamat daripada juga menjadi zombi.



Penulis memilih untuk menggunakan jalan cerita yang mudah dan plot yang tidak terlalu kompleks. Watak-watak dalam novel ini bertemu dan kenal antara satu sama lain dalam usaha mereka melarikan diri ke kawasan-kawasan yang lebih selamat. Penulis juga memberi tumpuan kepada komunikasi dan interaksi antara watak-watak berbanding dengan peristiwa dan kejadian.



Daripada segi gaya bahasa, ada tempat-tempat tertentu stail penulisan penulis adalah begitu kompleks dan ‘pekat’  sehingga saya secara peribadi perlu membaca  perenggan tertentu  lebih daripada sekali untuk memahami pemerian penulis terhadap sesuatu perkara.



Jalan cerita novel ini bermula dengan flow normal di bahagian permulaan dan  di pertengahannya menjadi agak mendatar dan kurang excitement. Namun nasib watak-watak ini berubah dengan pantas di bahagian akhir cerita.  Daripada ketidak tentuan, nasib mereka ditimpa malang satu demi satu. Ini satu pengajaran penting kepada pembaca: tak semestinya novel akan berakhir dengan happy ending. Sebaliknya, kita perlu belajar untuk meneruskan hidup dan menjadi dewasa dengan suratan hidup yang ditetapkan. Belajarlah hikmahnya.



Novel ini mempunyai elemen-elemen 18 PL, jadi lebih sesuai dibaca oleh golongan-golongan berfikiran matang, dewasa dan berfikiran terbuka.