Novel-novel berkaitan 'apokalips zombi' kini
semakin banyak berada di pasaran. Sejak filem Night of the Living Dead mula
ditayangkan pada 1968, konsep zombi kini terus diteroka dan dikembang. Lebih
penting, kehidupan manusia dalam era 'apokalips zombi', atau period kehidupan di
mana zombie bermaharajalela terus menjadi subjek penulis-penulis tempatan mahupun antarabangsa. Di dalam suasana huru-hara dan kacau-bilau, novelis-novelis cuba mempamerkan perilaku dan tingkahlaku manusia terhadap satu sama lain. Persoalan yang senantiasa cuba dijawab adalah adakah di dalam kacau-bilau, huru-hara dan kesengsaraan, manusia akan hilang nilai-nilai insaninya?
Novel Infeksi karya Ehsan El Bakri
ini merupakan satu lagi percubaan penulis-penulis Malaysia dalam menghasilkan
fiksyen zombi di dalam latarbelakang Malaysia.
Novel ini menceritakan kisah lapan orang individu yang masing-masing mempunyai kisah mereka
sendiri dan akhirnya bertemu setelah kota diserang zombi-zombi.
Faris, Farah, Korperal Hafiz, Margaret, Razak dan Nina, Nash dan Anas
adalah individu-individu yang bertemu di usaha untuk meneruskan hidup dalam
malapetaka zombi yang melanda. Masing-masing dengan kisah hidup masing-masing,
berusaha untuk selamat daripada juga menjadi zombi.
Penulis memilih untuk menggunakan jalan cerita yang mudah dan plot yang
tidak terlalu kompleks. Watak-watak dalam novel ini bertemu dan kenal antara
satu sama lain dalam usaha mereka melarikan diri ke kawasan-kawasan yang lebih
selamat. Penulis juga memberi tumpuan kepada komunikasi dan interaksi antara
watak-watak berbanding dengan peristiwa dan kejadian.
Daripada segi gaya bahasa, ada tempat-tempat tertentu stail penulisan
penulis adalah begitu kompleks dan ‘pekat’ sehingga saya secara peribadi perlu membaca perenggan tertentu lebih daripada sekali untuk memahami pemerian
penulis terhadap sesuatu perkara.
Jalan cerita novel ini bermula dengan flow normal di bahagian permulaan dan di pertengahannya menjadi agak mendatar dan kurang excitement. Namun nasib watak-watak ini berubah dengan pantas di bahagian akhir
cerita. Daripada ketidak tentuan, nasib
mereka ditimpa malang satu demi satu. Ini satu pengajaran penting kepada
pembaca: tak semestinya novel akan berakhir dengan happy ending. Sebaliknya,
kita perlu belajar untuk meneruskan hidup dan menjadi dewasa dengan suratan
hidup yang ditetapkan. Belajarlah hikmahnya.
Novel ini mempunyai elemen-elemen 18 PL, jadi lebih sesuai dibaca oleh
golongan-golongan berfikiran matang, dewasa dan berfikiran terbuka.
No comments:
Post a Comment