Ahad malam 8/11/2015 saya berpeluang menonton filem James
Bond ke-24 iaitu SPECTRE.
Pertamanya, sebelum menonton, saya sempat membaca
komen-komen ringkas di FB tentang mereka yang telah menontonnya. Kebanyakannya
memberi komentar yang tidak positif. Selepas menontonnya malam tadi, pandangan
saya SPECTRE adalah filem Daniel Craig sebagai James Bond yang paling mantap
dan bertenaga.
Sebab-sebabnya:
Penuh aksi dari awal hingga akhir, bukan mindless action tetapi aksi yang
bersebab dan munasabah. Daripada (1) pertarungan
2 lawan 1 dalam helikopter yang sedang terbang, (2) kejar-mengejar dengan
kereta berkelajuan tinggi, (3) pergaduhan satu lawan satu dalam keretapi
hinggalah (4) menyelamatkan damsel in
distress di hujung-hujung filem daripada diletupkan bom.
Filem ini menghidupkan semula naratif filem Bond yang
menentang entiti jenayah paling terancang dan licik iaitu SPECTRE atau Special Executive for Counter Intelligence,
Terrorism, Revenge and Extorition. SPECTRE dalam abad ke -21 ternyata lebih
berbahaya daripada sebelum ini.
Watak Bond juga semakin matang dan kuat, menjadi seorang
yang lebih kompleks dengan segala peristiwa yang menghantuinya semenjak Casino Royale, Quantum of Solace dan Skyfall.
Bond menahan dan ‘menyimpan dalam’ segala impak dan kesan daripada kisah-kisah
terdahulu sehingga dia kelihatan seperti tidak lagi peduli tentang perasaan dan
jiwa.
Watak M yang diteruskan pula oleh Ralph Fiennes juga
memberikan sedikit kelainan daripada Judi Dench. ‘M’ yang baru walaupun penuh sedar dia perlu mengikut
peraturan dan birokrasi dalam menguruskan sebuah organisasi penting seperti M16,
namun tetap memberikan ruang untuk tindakan-tindakan luar jangka dan necessary evils yang perlu dilakukan oleh Bond kerana ancaman
musuh tidak mengenal peraturan dan etika.
Kehadiran dua elemen musuh, iaitu Blofeld yang
menggunakan akal-kelicikan-kepintaran dan Hinx yang menggunakan kudrat untuk
memusnahkan Bond ternyata memaksa Bond untuk bekerja keras sepanjang masa untuk
menumpaskan musuh.
Lokasi-lokasi eksotik yang digunakan dalam latar belakang
adventure Bond kali ini termasuklah Austria, Morocco, Mexico, Rome dan
sebagainya benar-benar memberikan kepuasan kembara minda kepada sesiapa yang
tak berkesempatan untuk melawat
negara-negara tersebut.
Namun, SPECTRE juga tetap mempunyai kelemahan. Saya
secara peribadi tidak bersetuju tentang bagaimana Blofeld dan Bond mempunyai titik
pertemuan di dalam sejarah kehidupan mereka. Terlalu kebetulan.
Di akhir filem, saya tertanya-tanya .....kekuatan dan apa
yang dipersembahkan di dalam SPECTRE lebih mewajarkan filem ini menjadi filem
terakhir Daniel Craig sebagai Bond kerana di dalam filem ini sepertinya dia telah mencapai kemuncak dan
klimaks di dalam pengembaraannya meliputi 3 filem sebelum ini. Dia telah
menemui jawapan kepada semua persoalan. Dia juga telah berjaya menumpaskan
musuh yang selama ini mengheretnya ke lembah kedukaan dan penyiksaan mental dan
emosi.