Monday 9 November 2015

Kekuatan SPECTRE







Ahad malam 8/11/2015 saya berpeluang menonton filem James Bond ke-24 iaitu SPECTRE. 

Pertamanya, sebelum menonton, saya sempat membaca komen-komen ringkas di FB tentang mereka yang telah menontonnya. Kebanyakannya memberi komentar yang tidak positif. Selepas menontonnya malam tadi, pandangan saya SPECTRE adalah filem Daniel Craig sebagai James Bond yang paling mantap dan bertenaga.

Sebab-sebabnya:

Penuh aksi dari awal hingga akhir, bukan mindless action tetapi aksi yang bersebab dan munasabah. Daripada  (1) pertarungan 2 lawan 1 dalam helikopter yang sedang terbang, (2) kejar-mengejar dengan kereta berkelajuan tinggi, (3) pergaduhan satu lawan satu dalam keretapi hinggalah (4) menyelamatkan damsel in distress di hujung-hujung filem daripada diletupkan bom.



Filem ini menghidupkan semula naratif filem Bond yang menentang entiti jenayah paling terancang dan licik iaitu SPECTRE atau Special Executive for Counter Intelligence, Terrorism, Revenge and Extorition. SPECTRE dalam abad ke -21 ternyata lebih berbahaya daripada sebelum ini.

Watak Bond juga semakin matang dan kuat, menjadi seorang yang lebih kompleks dengan segala peristiwa yang menghantuinya semenjak Casino Royale, Quantum of Solace dan Skyfall. Bond menahan dan ‘menyimpan dalam’ segala impak dan kesan daripada kisah-kisah terdahulu sehingga dia kelihatan seperti tidak lagi peduli tentang perasaan dan jiwa.



Watak M yang diteruskan pula oleh Ralph Fiennes juga memberikan sedikit kelainan daripada Judi Dench. ‘M’ yang  baru walaupun penuh sedar dia perlu mengikut peraturan dan birokrasi dalam menguruskan sebuah organisasi penting seperti M16, namun tetap memberikan ruang untuk tindakan-tindakan luar jangka dan necessary evils  yang perlu dilakukan oleh Bond kerana ancaman musuh tidak mengenal peraturan dan etika.

Kehadiran dua elemen musuh, iaitu Blofeld yang menggunakan akal-kelicikan-kepintaran dan Hinx yang menggunakan kudrat untuk memusnahkan Bond ternyata memaksa Bond untuk bekerja keras sepanjang masa untuk menumpaskan musuh. 




Lokasi-lokasi eksotik yang digunakan dalam latar belakang adventure Bond kali ini termasuklah Austria, Morocco, Mexico, Rome dan sebagainya benar-benar memberikan kepuasan kembara minda kepada sesiapa yang tak berkesempatan    untuk melawat negara-negara tersebut.

Namun, SPECTRE juga tetap mempunyai kelemahan. Saya secara peribadi tidak bersetuju tentang bagaimana Blofeld dan Bond mempunyai titik pertemuan di dalam sejarah kehidupan mereka. Terlalu kebetulan. 

Di akhir filem, saya tertanya-tanya .....kekuatan dan apa yang dipersembahkan di dalam SPECTRE lebih mewajarkan filem ini menjadi filem terakhir Daniel Craig sebagai Bond kerana di dalam filem ini  sepertinya dia telah mencapai kemuncak dan klimaks di dalam pengembaraannya meliputi 3 filem sebelum ini. Dia telah menemui jawapan kepada semua persoalan. Dia juga telah berjaya menumpaskan musuh yang selama ini mengheretnya ke lembah kedukaan dan penyiksaan mental dan emosi.

No comments:

Post a Comment