Monday 17 April 2017

Ghost in the Shell – idea-idea penting daripada komik tentang manusia di alam sibernatik, Artificial Intelligence, robotik dan android






  
Tahun 2017 menyaksikan filem Ghost in the Shell – karya yang berasal daripada komik, kemudiannya di adaptasi kepada filem animasi, akhirnya diangkat menjadi filem. Filem bergenre cyberpunk  ini secara ringkas mengisahkan perihal Major             (berdasarkan komik , dikenali sebagai Major Motoko Kusanagi) , seorang ahli pasukan keselamatan Section 9 bersama-sama rakannya yang lain terutamanya Batou yang ditugaskan untuk menangkap penjenayah-penjenayah di dalam dunia di mana alam sibernatik dan teknologi kecerdasan buatan (AI) merupakan ciri utama kehidupan manusia. 
 
Selain daripada jalan cerita yang menggabungkan elemen aksi, sai-fai, thriller dan drama, apa yang perlu dilihat adalah konsep dan idea teras yang mendokongi filem ini. Filem ini menggambarkan period di dalam era kehidupan manusia, ketinggian teknologi telah membolehkan manusia mempertingkat kemampuan fizikal masing-masing, melalui proses enhancement iaitu bahagian-bahagian tubuh badan manusia boleh digantikan dengan komponen-komponen robotik yang membolehkan manusia menjadi lebih berkuasa dan perkasa.

Namun, itu bukanlah persoalan utama. Persoalan yang lebih penting adalah apabila manusia mampu berbuat sedemikian, maka apakah batasan dan mampukan manusia mengawal dirinya sendiri daripada menyalahgunakan kemajuan teknologi untuk kepentingannya sendiri. Persoalan klasik dan cliche tentang sains yang diibaratkan seperti sebilah pisau – boleh digunakan untuk manfaat kehidupan manusia namun juga boleh digunakan untuk mendatang mudarat kepada orang lain terus menjadi teras filem ini. 

Tahap pencapaian teknologi yang dipaparkan di dalam filem ini,  pastinya berteraskan idea yang dipaparkan di dalam siri komiknya, pada hemat saya agak mengkagumkan dan tidaklah terlalu far fetch atau sukar dicapai dalam jangkamasa terdekat. Mungkin pada suatu hari nanti, tidak lama lagi, kita akan mampu melihat  kepintaran buatan, robot, android dan  lain-lain lagi sebagaimana yang dipaparkan di dalam filem ini menjadi kenyataan.

Sekali lagi saya tekankan, Ghost in the Shell- bermula dari komik/mangga, kemudian menjadi filem animasi, lalu diangkat ke layar perak. Hakikat bahawa karya ini diangkat dari satu medium ke medium yang lain membuktikan  terdapat mesej, falsafah dan idea-idea besar yang menjadi pendorong karya ini bertahan di dalam perjalanan masa.