Monday 5 June 2017

Pirates of the Caribbean 5 - Yang Timbul dan Yang Tenggelam














Pirates of the Caribbean : Dead Men Tell No Tales atau juga dikenali sebagai  Pirates of the Caribbean : Salazar’s Revenge merupakan sekuel kepada siri-siri filem Pirates of the Caribbean. Filem ini kembali membawa tumpuan peminat-peminat francais filem ini kepada pengembaraan Kapten Jack Sparrow, ketua lanun .



Menerusi filem ini, penonton dibawa mengikuti satu lagi  pengembaraan hebat Jack Sparrow untuk mencari trisula Poseidon, satu senjata agung yang membawa mitos bahawa trisula tersebut mampu menghapuskan segala bentuk sumpahan yang membelenggu sesiapa sahaja di samudera nan terbentang luas. Henry Turner, anak kepada Will Turner yang kini disumpah untuk mengemudi kapal Flying Dutchman telah meminta bantuan Jack untuk mencari trisula tersebut bagi menamatkan sumpahan yang telah membelenggu ayahnya sekian lama.



Pada masa yang sama, Jack juga kini diburu oleh ‘hantu dari masa silamnya’ – Kapten Armando Salazar ,  pemburu lanun  daripada Tentera Laut Sepanyol  yang ingin membalas dendam terhadap Jack. Rupa-rupanya Jack dan Salazar pernah bertarung di lautan menerusi kapal laut masing-masing suatu ketika dahulu , dan kelicikan Jack telah berjaya menumpaskan kapal Salazar. Akhirnya, Salazar dan pelayar-pelayarnya terperangkap di dalam ‘Devil’s Triangle’, gua di lautan yang mengandungi sumpahan kejam!



Perjalanan & pelayaran Jack pula hanya dapat dilakukan dengan bantuan Carina Smyth, seoarang wanita yang meminati pelbagai ilmu sains termasuk ilmu falak yang disangka merupakan ahli sihir. Di sebalik semua yang berlaku. Carina rupanya mempunyai pertaliannya tersendiri dengan Kapten Barbarossa, musuh ketat kepada Jack.



Memang siri-siri Pirates of the Caribbeans tidak menghampakan, termasuk filem ini. Walaupun dipenuhi penggunaan CGI, penonton pasti terhibur dengan aksi-adventure-pengkhianatan-kompromi yang merupakan amalan para lanun terhadap satu sama lain. Babak yang unik dalam filem ini adalah ketika  di mana lautan terbelah, membolehkan Jack, Henry dan Carina turun ke dasar laut dengan segala isinya untuk mendapatkan trisula yang dihajatkan .



Pada pandangan saya, filem ini mempunayi plot dan jalan cerita yang menghiburkan, tidak meleret dan straight forward. Lakonan Javier Bardem sebagai Kapten Salazar yang menyimpan kesumat terhadap Jack Sparrow sememangnya hidup dan menggerunkan, malah karismanya ketara. 


Sebaliknya, watak Jack Sparrow agak tenggelam dengan dialog-dialog atau one liner yang membosankan. Namun seperti biasa, Jack sebagai seorang oportunis, sentiasa berjaya mencuri peluang dan kesempatan untuk mendapat sesuatu untuk dirinya sendiri, namun ironinya apa yang diperolehi juga mendatangkan manfaat kepada orang lain. 


Babak ketika Salazar menghimbau kenangan ditewaskan oleh Jack Sparrow ketika muda menerusi kecerdasan,  muslihat dan ketinggian kemahiran ilmu lautan Jack adalah satu-satu penyelamat kepada reputasi Jack dalam filem ini. Menerusi babak ini, ternyata Jack Sparrow, walaupun sering kelihatan seperti pemabuk, tidak serius, cuai dan oportunis, membuktikan sebenarnya dia adalah seorang pelaut yang hebat semenjak di usia muda.  


Skor dan muzik latar di dalam filem oleh Geoff Zanelli  ini semamangnya berjaya menghidupkan emosi semangat, kegilaan, ketangkasan, kelicikan dan debaran  yang dialami sepanjang adventure para lanun di lautan.  

No comments:

Post a Comment