Thursday 26 January 2017

Ebook- ribuan karya di dalam saku!


Untuk mereka yang masih belum menyedari apakah ebook, dengan cara yang mudah, saya akan jelaskan bahawa ebook atau e-buku adalah buku yang diterbitkan secara digital. Secara digital pula, maksudnya, tidak menggunakan kertas seperti gaya penerbitan konvensional & tradisional. Jadi kalau sejak sekian lama kita membaca buku yang bercetak, maka dalam era penerbitan ebook, kita tidak lagi memerlukan kertas untuk membaca sesuatu karya. Kita boleh membaca sama ada di komputer peribadi, komputer riba @ laptop, komputer tablet dan telefon pintar @ smartphone

Kalau difikir-fikirkan, teknologi penerbitan yang melahirkan penerbitan ebook ini secara umumnya telah mengubah gaya hidup kita. Kalau suatu ketika dahulu, buku-buku mesti dibeli di kedai buku secara fizikal, atau dipinjam daripada perpustakaan, maka dengan teknologi ebook, kita kini boleh membeli judul yang diminati secara online sahaja. Tidak lagi perlu menghabiskan masa untuk ke kedai buku. Boleh menjimatkan wang, masa dan tenaga!

Di dalam smartphone atau tablet, kita juga boleh menyimpan ratusan hingga ribuan ebook yang telah dibeli, dan boleh pula dibawa ke mana-mana. Kalau kita merupakan seseorang yang suka membaca, sudah pasti kita akan menjadi lebih suka dan rajin membaca kalau di dalam smartphone kita terdapat ratusan judul karya yang akan mengikut kita ke mana-mana. Contoh paling mudah, ketika di dalam penerbangan, seseorang yang membawa komputer tablet boleh sahaja membaca ebook dengan bantuan cahaya tablet dan menukar-nukar buku yang hendak dibaca kerana semuanya tersimpan di dalam satu alat sahaja. Tidak lagi perlu membawa sejumlah buku di dalam beg!

Sepanjang saya mula membaca buku-buku dalam format ebook, saya juga pernah mendengar pelbagai pandangan orang tentang ebook. Ada yang mengatakan bahawa membaca ebook tidak sama dengan membaca buku bercetak. Ada pula yang mengatakan bahawa membaca ebook, agak susah kita mengingati apa yang dibaca. Banyak lagi maklum balas yang diberikan menggambarkan seolah-olah membaca ebook bukanlah satu pembacaan dalam erti kata sebenarnya. 

Secara peribadi, saya tidak bersetuju.

Melalui pengalaman sendiri, membaca ebook tidak banyak bezanya dengan membaca buku bercetak. Saya tetap boleh memahami dan mengingati jalan cerita novel-novel atau buku non-fiction dalam format ebook yang dibaca. Lebih melucukan, ramai di kalangan orang yang saya kenal yang memberikan maklum balas negatif tentang pembacaan ebook, sebenarnya bukan juga pembaca buku-buku bercetak secara tegar dan termasuk dalam kategori 'avid reader'!

Dengan wujud teknologi ebook ini, kini saya boleh membawa ratusan buku, sama ada yang dibeli atau dimuat turun secara percuma ke mana-mana. Saya boleh membaca di dalam LRT ketika menuju ke mana-mana destinasi, saya boleh membaca ketika menanti hidangan yang dipesan tiba di restoran, saya boleh membaca ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya dan di mana-mana sahaja. Dengan syarat, saya membawa smartphone, dan tidak pula menggunakan masa yang ada untuk terlalu ber'media sosial', menonton youtube atau bermain games!

 

No comments:

Post a Comment