Thursday, 26 January 2017

Ebook- ribuan karya di dalam saku!


Untuk mereka yang masih belum menyedari apakah ebook, dengan cara yang mudah, saya akan jelaskan bahawa ebook atau e-buku adalah buku yang diterbitkan secara digital. Secara digital pula, maksudnya, tidak menggunakan kertas seperti gaya penerbitan konvensional & tradisional. Jadi kalau sejak sekian lama kita membaca buku yang bercetak, maka dalam era penerbitan ebook, kita tidak lagi memerlukan kertas untuk membaca sesuatu karya. Kita boleh membaca sama ada di komputer peribadi, komputer riba @ laptop, komputer tablet dan telefon pintar @ smartphone

Kalau difikir-fikirkan, teknologi penerbitan yang melahirkan penerbitan ebook ini secara umumnya telah mengubah gaya hidup kita. Kalau suatu ketika dahulu, buku-buku mesti dibeli di kedai buku secara fizikal, atau dipinjam daripada perpustakaan, maka dengan teknologi ebook, kita kini boleh membeli judul yang diminati secara online sahaja. Tidak lagi perlu menghabiskan masa untuk ke kedai buku. Boleh menjimatkan wang, masa dan tenaga!

Di dalam smartphone atau tablet, kita juga boleh menyimpan ratusan hingga ribuan ebook yang telah dibeli, dan boleh pula dibawa ke mana-mana. Kalau kita merupakan seseorang yang suka membaca, sudah pasti kita akan menjadi lebih suka dan rajin membaca kalau di dalam smartphone kita terdapat ratusan judul karya yang akan mengikut kita ke mana-mana. Contoh paling mudah, ketika di dalam penerbangan, seseorang yang membawa komputer tablet boleh sahaja membaca ebook dengan bantuan cahaya tablet dan menukar-nukar buku yang hendak dibaca kerana semuanya tersimpan di dalam satu alat sahaja. Tidak lagi perlu membawa sejumlah buku di dalam beg!

Sepanjang saya mula membaca buku-buku dalam format ebook, saya juga pernah mendengar pelbagai pandangan orang tentang ebook. Ada yang mengatakan bahawa membaca ebook tidak sama dengan membaca buku bercetak. Ada pula yang mengatakan bahawa membaca ebook, agak susah kita mengingati apa yang dibaca. Banyak lagi maklum balas yang diberikan menggambarkan seolah-olah membaca ebook bukanlah satu pembacaan dalam erti kata sebenarnya. 

Secara peribadi, saya tidak bersetuju.

Melalui pengalaman sendiri, membaca ebook tidak banyak bezanya dengan membaca buku bercetak. Saya tetap boleh memahami dan mengingati jalan cerita novel-novel atau buku non-fiction dalam format ebook yang dibaca. Lebih melucukan, ramai di kalangan orang yang saya kenal yang memberikan maklum balas negatif tentang pembacaan ebook, sebenarnya bukan juga pembaca buku-buku bercetak secara tegar dan termasuk dalam kategori 'avid reader'!

Dengan wujud teknologi ebook ini, kini saya boleh membawa ratusan buku, sama ada yang dibeli atau dimuat turun secara percuma ke mana-mana. Saya boleh membaca di dalam LRT ketika menuju ke mana-mana destinasi, saya boleh membaca ketika menanti hidangan yang dipesan tiba di restoran, saya boleh membaca ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya dan di mana-mana sahaja. Dengan syarat, saya membawa smartphone, dan tidak pula menggunakan masa yang ada untuk terlalu ber'media sosial', menonton youtube atau bermain games!

 

Friday, 6 January 2017

Bengkel dan Latihan Kemahiran Membaca di Pusat Matrikulasi UIAM (27.3.2016)



Pada 27.3.2016 lalu, saya dan rakan-rakan di team  Leaders Are Readers telah telah dijemput untuk menganjurkan bengkel dan latihan kemahiran membaca di Pusat Matrikulasi UIAM. Program tersebut adalah anjuran Majlis Perwakilan Pelajar .










Friday, 18 November 2016

Menumpang Teduh Pohon Akasia: Somaliland Bukan Somalia









Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada Muhammad Suhail Ahmad kerana berjaya menghasilkan travelog Menumpang Teduh Pohon Akasia: Somaliland Bukan Somalia. Syabas kerana travelog ini merupakan travelog interaktif pertama seumpamanya di Malaysia. Menerusi travelog ini, di samping membaca, anda juga boleh mengikuti rakaman video yang dbuat oleh penulis semasa berada di Somaliland dengan mengimbas kod QR.



Berbalik kepada travelog ini, saya kagum dengan keberanian Suhail dan Akhmal (kedua-duanya teman saya!) yang berani menjadi perintis dari Malaysia yang meneroka bumi Somaliland. Tanpa apa-apa jaminan keselamatan, mereka berdua menggagahkan diri ke sebuah wilayah untuk mengenali secara dekat budaya kehidupan masyarakat Somaliland.



Suhail berjaya merakamkan banyak pengalaman beliau dengan merasa sendiri budaya kehidupan masyarakat setempat dan denyut nadi kehidupan rakyat Somaliland.

Antara fakta menarik yang dikongsi beliau menerusi karya ini:


i.     Masyarakat Somaliland berurusniaga menggunakan kaedah Zaad (cashless transaction)

ii.   Budaya majlis Shallad atau qasidah selepas waktu solat Zohor

iii.  Ketagihan mengunyah daun Qat

iv.  Penduduk Somaliland sebagai masyarakat paling gembira di dunia;

v.    Diaspora masyarakat Somaliland di serata pelusuk dunia menyumbang wang ke keluarga masing-masing sehingg sukar menemui keluarga yang miskin di sana

vi.  Di Somaliland, sama ada di gurun atau bandar, terdapat liputan 4G tanpa gagal!



Pada hemat saya, Suhail dan Akhmal telah membuat sumbangan besar kepada umat dengan menjadi perintis  dan seterusnya membina jambatan budaya antara masyarakat di Malaysia dengan penduduk Somaliland. Menerusi travelog ini, kita didedah dan diperkenalkan kepada budaya kehidupan Somaliland menerusi aneka makanannya, ragam penduduknya, kelainannya, budaya setempat, kegiatan ekonomi dan banyak lain yang menjadikan Somaliland unik.



Menelusuri catatan beliau, Suhail menceritakan pengalaman kembara beliau yang dipenuhi keterujaan, kegusaran dan ketidaktentuan dengan gaya bahasa yang mudah sambil mengadunkannya dengan lintasan fikiran yang bersifat spontan dan juga pemerhatian beliau terhadap apa yang berlaku. Ini membuatkan pembaca seperti berada di samping Suhail ketika perkara-perkara yang diceritakan berlaku. 


Daripada segi persembahan yang dibuat di dalam karya ini, Suhail berjaya membuat catatan yang baik dan memperkuatkan penerangan dan cerita yang disampaikan dengan gambar-gambar bersifat story telling. Ini membuatkan minda pembaca dibawa terbang terus ke Somaliland dan dapat merasa sendiri apa yang diceritakan. 


Saya percaya travelog ini akan menjadi satu catatan penting dan monumental dalam mencatatkan hubungan masyarakat Malaysia dengan penduduk Somaliland pada suatu masa nanti. Sekaligus, travelog ini adalah satu sumbangan besar kepada khazanah ilmu karya berbahasa Melayu.





Wednesday, 5 October 2016

11/22/63 oleh Stephen King




 
Kulit novel 11/22/63


Siri tv







740 mukasurat yang saya  habiskan membaca dalam masa lebih kurang 2 bulan sekitar Jun-Ogos 2012.  Memang letih, tetapi gaya penulisan Stephen King memang menyebabkan kita terus ingin membaca walaupun didera jalan cerita setebal hampir 800 muka surat.


11/22/63  merupakan novel fiksyen yang mengisahkan Jake Epping, seorang guru bahasa Inggeris yang menemui terowong masa untuk kembali ke zaman silam dan menggunakan peluang ini untuk menghalang pembunuhan Presiden Amerika, John F Kennedy. Menerusi kenalannya, Al yang merupakan seorang pengusaha diner ( kedai makan ), Jake dimaklumkan tentang rahsia bagaimana Al dapat meraih keuntungan apabila ia dapat pulang ke zaman silam  dan mengambil kesempatan daripada kelebihan ini. Terowong masa yang ajaib ini terletak di dalam diner atau gerabak makan minum yang diusahakannya.


Sesiapa yang memasuki terowong ini, ia akan dihantar kembali ke masa silam, namun tertakluk kepada keadaan-keadaan ini :

a)    Setiap kali memasuki portal atau terowong tersebut, orang itu akan kembali ke 9 September 1958, pada jam 11.58 a.m;

b)    Walau berapa lama sekalipun orang tersebut berada di masa silam menerusi terowong tersebut, sama ada minggu, bulan mahupun tahun, apabila ia kembali ke zaman sebenar, hanya 2 minit sahaja yang telah berlalu pada zaman kini;

c)    Peristiwa-peristiwa silam boleh diubah, namun sekiranya orang tersebut mengubah atau mempengaruhi sesuatu peristiwa, sebaik sahaja ia kembali ke zaman kini, segalanya kembali semula seperti sediakala;

d)    ‘Masa silam’ juga mewujudkan halangan-halangan untuk menentang seseorang untuk mengubah peristiwa



Setiap kali seseorang melalui terowong masa tersebut, walau berapa lama sekalipun orang tersebut hidup di zaman silam, apabila ia kembali ke zaman sebenar, ia hanya meninggalkan zaman sebenar selama 2 minit sahaja. Namun, setiap tindakan, walau sekecil mana sekalipun yang dilakukan di zaman silam, akan mengubah apa yang berlaku pada masa hadapan.


Jake menggunakan terowong ini untuk kembali ke zaman silam dan menyelamatkan keluarga seorang kenalannya, Harry Dunning yang dibunuh kejam oleh ayahnya sendiri. Dan cubaannya membuahkan hasil, namun menghasilkan realiti yang berbeza pada masa hadapan.


Jake juga mengambil keputusan untuk menyelamatkan Presiden Amerika, John F Kennedy yang ditembak oleh Lee Harvey Oswald pada tanggal 22 November 1963 yang dikatakan seorang pendukung fahaman Komunis. Namun, Jake terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum ia dapat tiba ke tahun 1963, dan sementara itu Jake terpaksa menjalani kehidupan seperti biasa sambil memerhatikan gerak geri Oswald .


Ketika menjalani kehidupannya di period yang berbeza dengan dunianya yang sebenar, Jake juga terpaksa melalui lumrah kehidupan biasa. Bertemu dengan  kenalan-kenalan yang baik, terpaksa bekerja untuk mencari sara hidup dan menemui apa yang dirasakannya sebagai cinta sejati dalam kehidupannya.


Usaha Jake berhasil. JFK akhirnya terselamat daripada pembunuhan tersebut, namun perubahan pada peristiwa silam membuatkan kehidupan pada masa hadapan berubah. Dunia turut mengalami perubahan ketara.


Jake juga terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk memastikan JFK terus hidup.


Segala yang ditempuhi Jake menerusi terowong masa tersebut akhirnya membuatkan dia mengambil satu-satunya keputusan yang penting.


Penulis menggunakan novel ini untuk meneroka fenomena yang disebut-sebut sebagai The Butterfly Effect, iaitu tindakan-tindakan kecil yang dibuat oleh seseorang namun boleh menghasilkan kesan yang besar. Selain daripada plot yang sarat dengan kreativiti dan imaginasi, Stephen King merupakan seorang penulis yang 'genius' dalam mewujudkan elemen misteri yang tidak terjawab di dalam karya ini. Elemen-elemen misteri yang diwujudkan di dalam novel ini menyebabkan kita berfikir, mungkinkah wujud pelbagai rahsia alam yang tidak kita ketahui di dalam kehidupan kita?


Saya suka berfikir, sekiranya keluasan imaginasi manusia ini begitu luas dan mencapah, adakah realiti-realiti tersembunyi dan misteri sebagaimana yang difikirkan oleh Stephen King ini benar-benar wujud, namun tidak diketahui oleh ramai orang?


Lebih menarik, novel ini juga telah diadaptasikan ke siri tv dengan judul yang sama.