Tuesday 11 February 2014

Kucing Misteri oleh Mohamad Firdaus Aris








Adakah anda seorang peminat kucing? Sekiranya ya, pastikan anda membaca novel grafik ‘Kucing Misteri’  oleh Mohamad Firdaus Aris.



'Kucing Misteri' mengisahkan perihal seekor kucing yang mengembara dan memberikan pertolongan bukan sahaja kepada kucing lain, malah juga kepada manusia. Tiada siapa menduga, menerusi ragam dan perangai manja yang biasa dilihat pada seekor kucing, sang kucing misteri tampil untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada ramai yang memerlukan, termasuklah menyelamatkan nyawa seorang pensyarah muda, ahli silap mata yang diserang sakit jantung malah menyelamatkan bumi daripada serangan makhluk asing!



Mohamad Firdaus berjaya menghasilkan sebuah novel grafik yang lucu dan menghiburkan serta  sarat dengan pelbagai pengajaran yang berguna kepada pembaca. Pengajaran penting yang boleh diambil menerusi karya ini adalah kita hendaklah sentiasa membantu mereka yang memerlukan, hormat-menghormati antara satu sama lain, usah sombong dan takbur dan jangan menzalimi dan menyakiti binatang.



Gaya lukisan Firdaus adalah ringkas namun mempamerkan ketekunan dan kesungguhan. Beliau menggunakan pelbagai ekspresi muka kepada watak-watak yang terdapat di dalam novel grafik ini dalam menghidupkan jalan penceritaannya.



Dapatkan novel grafik dalam format e-book ini dan hayatilah kisah ‘Kucing Misteri’  ini sama ada di computer, computer riba, telefon pintar mahupun computer tablet anda.


Untuk mendapatkan novel grafik ini, klik :

Wednesday 5 February 2014

Program Motivasi Membaca di Sek Keb Batu Masjid, Temoh, Perak. ( 29 Jan 2014 )










29 Januari 2014 lalu saya telah diundang untuk bersama-sama memeriahkan program motivasi membaca yang telah diadakan di Sek Keb Batu Masjid, Temoh, Perak.  Terhimbau pula kenangan ketika berada di sekolah rendah kira-kira 22 tahun dulu. 










Berhadapan dengan anak-anak yang berada di sekolah rendah, memang satu cabaran untuk bercerita tentang kepentingan membaca , namun saya optimis dan yakin in sha Allah ada ilmu dan maklumat yang dapat diterima dan diserap oleh anak-anak untuk untuk dijadikan panduan hidup di masa hadapan.







Mudah-mudahan juga ilmu dan maklumat tersebut akan digunakan dan dijadikan pedoman hidup untuk mereka menempuh masa hadapan dan berjaya di dalam pelajaran.

Kepentingan membaca memang sewajarnya diserapkan di kalangan anak-anak semenjak di bangku persekolahan rendah lagi agar fikiran mereka dapat berkembang dengan ilmu dan maklumat bermanfaat. 






Terima kasih juga buat individu-individu yang telah sudi dengan ikhlas menaja 10 buku Iqra’: Membangunkan Potensi Diri Melalui Amalan dan Disiplin Membaca yang disumbangkan kepada perpustakaan sekolah.





Sunday 2 February 2014

Virtually You - The Dangerous Powers of the E- Personality oleh Elias Aboujaoude

 
 
 
 
Buku ini ditulis oleh seorang ahli psikologi yang membuat kajian tentang kesan-kesan yang berlaku akibat penggunaan internet secara berlebihan. Dia mengupas tentang bagaimana watak dan perilaku sebenar kita berubah menerusi e-personality atau watak yang kita wujudkan untuk berinteraksi dengan individu lain menerusi internet. Antara yang menarik untuk difikirkan adalah bagaimana penggunaan internet khususnya laman sosial facebook mungkin boleh meningkatkan unsur-unsur narsisisme atau terlalu memuja diri sendiri apabila kita mungkin akan sentiasa update kan gambar-gambar diri kita untuk kelihatan hebat di kalangan orang lain atau sentisa memberi komen dalam setiap hal . 
 
Menurut Elias juga, budaya berinternet ini juga akan menghakis keinginan kita untuk membaca dan menekuni ilmu secara mendalam kerana kita lebih banyak membaca secara sekali lalu sahaja atau skim, di samping kecenderungan untuk pelajar-pelajar membuat tugasan mereka secara cut & paste sahaja. Melihat rakaman-rakaman video yang dimuat naik di youtube , khususnya video-video yang mengandungi paparan-paparan ganas mungkin juga menyebabkan kita mati rasa dan tidak merasa sensitif lagi pada perkara-perkara yang sepatutnya . Dalam kajian-kajian yang dilakukan, terdapat juga individu-individu yang mengalami ketagihan internet, seperti berjudi dan membeli belah secara online dan tidak mampu mengawal ketagihan mereka sehingga menanggung hutang berjuta-juta ringgit. 

Banyak lagi gejala-gejala negatif akibat penggunaan internet yang keterlaluan yang dipaparkan dalam buku ini. Pada pandangan aku, walaupun kesan-kesan negatif yang dimuatkan di dalam buku ni mungkin belum terkena pada kita, tapi mungkin bagus juga kita beringat dan berhati-hati. Buku ni antara buku yang bagus untuk dibaca dan aku cadangkan sesiapa yang berminat, sila lah beli buku ni. Harganya RM 89.90 sahaja.