Wednesday 16 April 2014

Steve Jobs oleh Walter Isaacson







Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Laa hawla wala quwwata illa biLlah.

Setelah hampir berusaha membacanya sepanjang 2 tahun lalu, maka hari ini saya berjaya menyelesaikan  buku biografi Steve Jobs oleh Walter Isaacson. Buku setebal 627 halaman ini merupakan kisah hidup Steve Jobs, seorang manusia eksentrik  yang telah memberikan makna dan membuktikan bagaimanakah hendak melakukan inovasi di dalam kehidupan.

Saya sememangnya tidak pernah mengikuti sejarah hidup Steve Jobs secara dekat, ataupun mengikuti perkembangan Steve Jobs dan Apple. Cuma sesekali apabila membaca majalah, akhbar atau menonton tv, terlihat juga kelibat Steve dan berita-berita yang berkaitan. Saya juga sejak sekian lama tidak pernah bermimpi untuk memiliki Mac, kerana mungkin harganya yang lebih mahal berbanding komputer-komputer lain. Namun syukur saya memiliki Ipad, setidak-tidaknya memberikan legitimasi dan sebab untuk saya membaca karya biografi ini.

Di dalam karya ini, kisah hidup Steve yang menarik diceritakan semenjak dari awal lagi. Namun, tumpuan saya bermula dengan pengalaman beliau sebagai school droput kerana tidak berminat dengan pengajian yang ditawarkan. Detik-detik perkenalan beliau dengan Steve Wozniak yang seterusnya membawa kepada penubuhan syarikat Apple. Seterusnya, perjalanan hidup Steve Jobs di dalam Apple sehingga kepada hari-hari akhir kehidupannya yang meninggal dunia akibat barah.

Terlampau banyak yang boleh dipelajari daripada kisah jatuh bangun Steve Jobs. Kedegilan, keazaman dan visi nya. Kecekalan, tidak mudah mengalah dan kemampuannya untuk bangkit. Namun Steve Jobs juga memiliki banyak kelemahan, namun seolah-olahnya kelemahan itu yang membolehkan banyak inovasi menjadi realiti.  Kalau mengikut pengarang karya ini, Steve Jobs digambarkan sebagai :

His passion, perfectionism, demons, desires, artistry, devilry, and obsession for control were integrally connected to his approach to business and the products that resulted.

Dalam erti kata lain, sifat-sifat di atas-lah yang mempengaruhi penghasilan dan penciptaan produk-produk Apple.  Setelah membaca karya ini, bagi saya, Steve Jobs dan Apple telah berjaya membentuk satu empayar teknologi yang sangat berkuasa di dunia pada hari ini. Hampir semua orang mengimpikan memiliki Mac, Ipad, Ipod mahupun Iphone. Di situlah credit dan merit yang ada pada Steve Jobs.

Beliau sangat mementingkan daya kreativiti dan simplicity, lantas menjadikan keuntungan sebagai perkara kedua. Malah, kemampuan teknologi juga terpaksa akur dengan kreativiti. Sungguhpun begitu, Apple tetap mencatat keuntungan dengan produk-produknya.

Apabila mengenang Steve Jobs, maka kita perlu melihat pencapaian-pencapaian ini:
        I.    

        Komputer Macintosh, mencetuskan revolusi bagi home computer dan mempopularkan graphical user interfaces

     II.            Filem animasi Toy Story, yang mencetuskan keajaiban bagi imaginasi digital

   III.            Apple stores, gedung jualan yang mencipta semula peranan gedung untuk mewujudkan kekuatan jenama

  IV.            Ipod, mengubah cara kita mendengar muzik

    V.            iTunes Store, menyelamatkan industri muzik

  VI.            Iphone, mengubah telefon  kepada alat yang memberikan fungsi muzik, fotografi, video, emel  dan internet,

VII.            App Store, yang seterusnya melahirkan industri penghasilan content,

VIII.            Ipad, mencetuskan revolusi komputer tablet,

  IX.            iCloud, yang mengubah peranan komputer

     X.            Syarikat Apple, yang merupakan hasil ciptaan terbaik Steve Jobs di mana menjadi tempat  imaginasi disuburkan, digunapakai dan dilaksanakan sehingga menjadikan syarikat ini sebagai salah sebuah syarikat paling bernilai di dunia.

Salute saya pada Steve Jobs, kerana beliau tidak mengawal kandungan karya ini,  tetapi membenarkan pengarang untuk menulis mengikut daya kepengarangannya sendiri. Walaupun Steve dikenali sebagai seorang individu yang suka mengawal orang lain, beliau rela kisah hidupnya ditulis dengan seadanya untuk membolehkan masyarakat menilai siapakah  Steve Jobs yang sebenarnya.

Banyak yang boleh dipelajari daripada Steve Jobs, antaranya bagaimana  pentingnya mengejar impian, pentingnya menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, menghasilkan produk atau perkhidmatan yang mudah digunakan dan memudahkan kehidupan orang lain,  bagaimana untuk  bangkit daripada kejatuhan ( khususnya apabila Steve Jobs disingkirkan daripada Apple pada 1985), jangan putus asa dan cari peluang lain apabila terkandas serta banyak lagi.

Sesiapa yang membaca karya ini pastinya akan bersetuju dengan saya bahawa karya ini akan menyuntik tenaga kepada minda, keazaman dan tekad untuk berjaya. Belajarlah daripada watak Steve Jobs dan pengalaman jatuh bangun hidupnya, semoga ada ‘guru’ yang akan memberikan panduan kepada anda untuk berjaya dalam apa jua yang diusahakan.

The reasonable man adapts himself to the world; the unreasonable one persists in trying to adapt the world to himself. Therefore all progress depends on the unreasonable man.
-George Bernard Shaw-

Jelas, Steve Jobs adalah salah seorang daripada unreasonable man yang pernah hidup di dunia. Lihat dan nilai-lah apa sumbangan dan impak Steve Jobs kepada dunia.

No comments:

Post a Comment