Friday 4 April 2014

Supergods oleh Grant Morrison







Seingat saya, saya mula membaca komik seawal usia 9 tahun lagi, dan sehingga kini , saya masih lagi meminati komik-komik yang ada di pasaran.  25 tahun telah berlalu, namun sehingga kini jika berkesempatan, saya akan membeli, meminjam atau sekadar membelek-belek pelbagai judul komik yang di jual di gedung-gedung buku ternama.

Apabila terpandang sahaja buku Supergods yang dihasilkan oleh penulis komik tersohor, Grant Morrison, saya tidak berfikir panjang untuk membeli. Grant Morrison bukanlah nama asing di dalam dunia penerbitan komik. Saya mula mengenali secara sedar karya-karya Grant Morrison setelah mengikuti siri New X-Men sepanjang tahun-tahun 2002-2005, di mana beliau telah menampilkan jalan cerita yang segar dan mencabar  elemen-elemen status quo  di dalam  perjalanan kisah X-Men .

Supergods merupakan nukilan Morrison yang menampilkan satu analisis yang  menyeluruh tentang apa yang boleh dipelajari oleh kita sepanjang berkembangnya industri penerbitan komik di Barat, khususnya menerusi watak watak adiwira dan superhero yang penuh rencahnya. Menurut Morrison, watak-watak komik yang dicipta adalah jelmaan kepada realiti sosiopolitik dan sosioekonomi yang wujud di dalam masyarakat Barat. Penulis dan pelukis komik secara umumnya menampilkan pelbagai tema dan plot yang dipengaruhi oleh lingkungan situasi zaman. Berdasarkan keadaan ini, jalan penceritaan dan karekter-karekter hero yang diwujudkan juga mengalami evolusinya sendiri seiring dengan perubahan yang berlaku di dunia.

Grant membuat sorotan daripada watak-watak gergasi seperti Superman dan Batman yang dihasilkan pada dekad-dekad 1940-an sehinggalah watak-watak seperti Apollo dan Midnighter yang muncul ketika dunia mula melangkah ke alaf yang baru. Ternyata terdapat pelbagai perbezaan yang tercetus akibat penciptaan watak-watak yang dipengaruhi oleh lingkungan zaman masing-masing. Menerusi karya ini, beliau cuba mengetengahkan analisis bagaimana watak-watak ini  merupakan satu bentuk refleksi dan prediksi tentang manusia dan ke mana hala tuju manusia pada masa hadapan.

Bermula dari dekad-dekad awal penerbitan komik pada pertengahan kurun ke 20, tema-tema komik juga semakin berubah dan matang. Jika pada suatu ketika dahulu tema-tema komik bermula dengan unsur-unsur yang bersesuian dengan pembaca muda, lama kelamaan tema-tema komik menjadi semakin berubah dengan penerapan unsur-unsur keganasan, sensitif dan dekonstriksi.

Grant juga membincangkan pelbagai pendekatan  yang digunakan oleh karyawan-karyawan komik / novel grafik untuk menampilkan tema-tema yang segar dan tidak tidak cliché, sambil memberi tumpuan kepada karya-karya penting yang memberi impak kuat seperti Watchmen oleh Alan Moore dan The Dark Knight Returns oleh Frank Miller. 

Pada hemat saya, Supergods perlu dijadikan bahan bacaan wajib oleh penggiat-penggiat komik , khususnya penggiat komik tempatan untuk mempelajari jatuh-bangun, evolusi dan perkembangan industri komik dan novel grafik di Barat. Banyak yang boleh dipelajari untuk dijadikan teladan dan sempadan.

No comments:

Post a Comment