Monday 24 November 2014

Invasi oleh Raja Faisal






Alhamdulillah. Setelah beberapa lama menangguhkan niat, berjaya juga saya menghabiskan novel Invasi karya Raje Faisal.

Invasi merupakan sebuah novel fiksyen sains yang mengisahkan detik di mana Kuala Lumpur, Malaysia dan bumi diserang oleh spesis makhluk asing yang bernama ‘Penceroboh’. Protagonis dalam novel ini, Ahmad Bayani, merupakan seorang jurutera muda yang kaki perempuan dan playboy. Daripada dunianya yang hanya berlegar kepada ‘perempuan mana pulak yang akan ditiduri selepas ini’, dunianya jadi tunggang terbalik setelah bumi diserang dan menyebabkan dia terpaksa bersama-sama survivor manusia yang lain bertarung dengan bangsa alien ‘Penceroboh’ yang berhasrat untuk menjajah dan menjarah bumi.

Pertahanan negara sememangnya tak mampu untuk menghalang kemaraan ‘Penceroboh’. Aset-aset PDRM dan juga ATM semuanya dikerahkan untuk mengekang kemusnahan yang disebabkan oleh ‘Penceroboh’, namun mereka gagal.

Ahmad Bayani dan rakan karibnya Anuar terpaksa dan berusaha untuk kekal hidup di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dipenuhi makhluk asing yang datang untuk membunuh manusia. Dalam proses itu, mereka bertemu  dengan beberapa orang individu-individu lain yang merupakan survivor yang juga terpaksa bersembunyi daripada serangan Penceroboh sementara memutuskan apa yang perlu dibuat. Setelah beberapa lama melarikan diri dan bersembunyi, Ahmad Bayani dan survivor-survivor membentuk kumpulan penentang (resistance) yang berjuang untuk membebaskan bumi. Dengan menggunakan taktik gerila, kumpulan penentang yang diberi nama Briged akhirnya berpeluang untuk menamatkan peperangan ini buat selamanya.

Namun, sebagaimana yang dituntut oleh setiap perjuangan,  Ahmad Bayani terpaksa berkorban dan  membayar dengan harga yang mahal untuk menghentikan bangsa ‘Penceroboh’ daripada terus bermaharajalela di bumi.

Saya berpandangan novel ini sebuah karya yang baik kerana menampilkan idea dan tema yang jarang-jarang boleh ditemui dalam novel-novel berbahasa Melayu. Kalau selama ini kita hanya berpeluang menemui tema sebegini dalam filem Independence Day, War of the World, The Darkest Hour atau Battlefield: Los Angeles,  Invasi mengadunkan campuran elemen-elemen yang ada di dalam filem-filem tersebut  ke dalam ceritanya. Dengan menjadikan lokasi-lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya sebagai latar belakang novel ini, penulis cuba untuk menarik pembaca untuk mengikuti perjalanan kisah dalam novel ini secara dekat.

Raja Faisal mampu untuk menulis dengan baik dalam memberikan deskripsi kemusnahan dan betapa sadistiknya Penceroboh ketika menyerang Kuala Lumpur.  Pemerian yang dibuat penulis tentang bagaimana manusia dibunuh dan diperlakukan oleh Penceroboh sedikit-sebanyak dapat memberikan gambaran betapa sadistiknya bangsa Penceroboh ini terhadap manusia.

Pujian juga kepada penulis juga membuat homework yang diperlukan, khususnya dalam mengetengahkan aset-aset ketenteraan Malaysia yang digunakan untuk menentang ‘Penceroboh’. Mengetengahkan penggunaan kenderaan perisai Adnan dan kereta kebal Pendekar antara yang menjadikan novel ini berakar kepada realiti pertahanan Malaysia yang sebenarnya.

Novel ini mempunyai ‘twist’-nya yang tersendiri, pada masa yang sama juga klise-klise.

Syabas buat penulis. Mudah-mudahan beliau akan terus diberikan kekuatan dan kemampuan oleh Allah SWT untuk terus berkarya dalam genre sai-fai. Negara memerlukan novel-novel sebegini untuk mengangkat pemikiran masyarakat ke tahap yang lain.


Tuesday 4 November 2014

Parachute Infantry: David Kenyon Webster




Kalau anda pernah menonton siri drama TV Band of Brothers di saluran HBO, sebuah kisah yang menceritakan pengalaman Parachute Infantry Regiment semasa Perang Dunia Kedua di Eropah, anda mungkin pernah bertemu dengan watak David Kenyon Webster.

Buku ni merupakan sabuah memoir yang ditulis oleh David Kenyon Webster, seorang anggota pasukan Parachute Infantry Regiment semasa Perang Dunia Kedua yang berlaku di Eropah. Sebenarnya buku ni merupakan buku ketiga yang saya baca kerana terlalu terkesan menonton siri Band of Brothers di saluran HBO. Memang seronok tengok miniseries tu, sehingga saya nak tahu sendiri apa yang dicatatkan oleh askar-askar yang berjaya mengharungi perang tu. Webster menulis dan merakamkan banyak perkara yang menarik sepanjang tugasannya di Eropah, bermula ketika dia masih dalam latihan sehinggalah apabila dia tamat tugasan selepas pihak Allied berjaya mengalahkan Jerman di Eropah.  Dia menulis dalam pelbagai rentak, adakalanya lucu, marah, menyampah dan penuh dengan emosi.  Kalau tengok dalam siri Band of Brothers tu, pelakon yang melakonkan watak Webster agak handsome, tapi kalau tengok gambar sebenarnya dia ni takdelah handsome sangat, tetapi dalam ratusan ribu tentera AS yang pergi perang, dia antara yang mampu merakamkan pengalamannya untuk kita hayati pada hari ini. 

Webster merakamkan banyak perkara yang menarik, termasuklah ketika membuat penerjunan di Normandy hingga ke Belanda. Ceritanya merakamkan kisah keberanian dan kebaculan, saat-saat diaorang menjadi bosan, ketakutan dan sebagainya. Webster sebagai seorang penulis berjaya memberi gambaran kepada pembaca macamana keadaan hidup dalam perang pada ketika itu. Walaupun saya akui kadang-kadang memang mengantuk baca buku ni, tapi Webster merupakan seorang pengamat suasana yang baik dan sensitif, bersesuaian dengan dirinya yang merupakan seorang penulis.

Di bahagian akhir, buku ni turut memuatkan surat-surat Webster yang dia tulis kepada ibubapa dan ahli-ahli keluarganya yang lain...menarik untuk dibaca dengan gaya penulisannya yang bersahaja.  Lagi satu, saya suka cara Webster menamatkan memoir dia ni, kalau nak tahu kena baca dari awal hingga akhir...

Kalau mengikut catatan penerbit pada buku ni, sebelum buku ni dapat dibaca dalam bentuknya pada hari ni, Webster ada cuba hantar manuskrip buku ni pada banyak penerbit. Surat khabar The Saturday Evening Post ada menyiarkan sebahagian daripada memoir ni, tapi rata-ratanya menolak untuk menerbitkan buku ni sebab mereka lebih gemar mencari manuskrip-manuskrip yang bersifat sensasi daripada karya Webster yang mempunyai fakta yang lebih tepat.  Webster maut pada 1961 ketika dia di lautan berseorangan untuk memancing ikan jerung      (shark fishing) .....saya rasa mungkin dia bunuh diri kot.......wallahua’lam.....