Monday 24 November 2014

Invasi oleh Raja Faisal






Alhamdulillah. Setelah beberapa lama menangguhkan niat, berjaya juga saya menghabiskan novel Invasi karya Raje Faisal.

Invasi merupakan sebuah novel fiksyen sains yang mengisahkan detik di mana Kuala Lumpur, Malaysia dan bumi diserang oleh spesis makhluk asing yang bernama ‘Penceroboh’. Protagonis dalam novel ini, Ahmad Bayani, merupakan seorang jurutera muda yang kaki perempuan dan playboy. Daripada dunianya yang hanya berlegar kepada ‘perempuan mana pulak yang akan ditiduri selepas ini’, dunianya jadi tunggang terbalik setelah bumi diserang dan menyebabkan dia terpaksa bersama-sama survivor manusia yang lain bertarung dengan bangsa alien ‘Penceroboh’ yang berhasrat untuk menjajah dan menjarah bumi.

Pertahanan negara sememangnya tak mampu untuk menghalang kemaraan ‘Penceroboh’. Aset-aset PDRM dan juga ATM semuanya dikerahkan untuk mengekang kemusnahan yang disebabkan oleh ‘Penceroboh’, namun mereka gagal.

Ahmad Bayani dan rakan karibnya Anuar terpaksa dan berusaha untuk kekal hidup di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dipenuhi makhluk asing yang datang untuk membunuh manusia. Dalam proses itu, mereka bertemu  dengan beberapa orang individu-individu lain yang merupakan survivor yang juga terpaksa bersembunyi daripada serangan Penceroboh sementara memutuskan apa yang perlu dibuat. Setelah beberapa lama melarikan diri dan bersembunyi, Ahmad Bayani dan survivor-survivor membentuk kumpulan penentang (resistance) yang berjuang untuk membebaskan bumi. Dengan menggunakan taktik gerila, kumpulan penentang yang diberi nama Briged akhirnya berpeluang untuk menamatkan peperangan ini buat selamanya.

Namun, sebagaimana yang dituntut oleh setiap perjuangan,  Ahmad Bayani terpaksa berkorban dan  membayar dengan harga yang mahal untuk menghentikan bangsa ‘Penceroboh’ daripada terus bermaharajalela di bumi.

Saya berpandangan novel ini sebuah karya yang baik kerana menampilkan idea dan tema yang jarang-jarang boleh ditemui dalam novel-novel berbahasa Melayu. Kalau selama ini kita hanya berpeluang menemui tema sebegini dalam filem Independence Day, War of the World, The Darkest Hour atau Battlefield: Los Angeles,  Invasi mengadunkan campuran elemen-elemen yang ada di dalam filem-filem tersebut  ke dalam ceritanya. Dengan menjadikan lokasi-lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya sebagai latar belakang novel ini, penulis cuba untuk menarik pembaca untuk mengikuti perjalanan kisah dalam novel ini secara dekat.

Raja Faisal mampu untuk menulis dengan baik dalam memberikan deskripsi kemusnahan dan betapa sadistiknya Penceroboh ketika menyerang Kuala Lumpur.  Pemerian yang dibuat penulis tentang bagaimana manusia dibunuh dan diperlakukan oleh Penceroboh sedikit-sebanyak dapat memberikan gambaran betapa sadistiknya bangsa Penceroboh ini terhadap manusia.

Pujian juga kepada penulis juga membuat homework yang diperlukan, khususnya dalam mengetengahkan aset-aset ketenteraan Malaysia yang digunakan untuk menentang ‘Penceroboh’. Mengetengahkan penggunaan kenderaan perisai Adnan dan kereta kebal Pendekar antara yang menjadikan novel ini berakar kepada realiti pertahanan Malaysia yang sebenarnya.

Novel ini mempunyai ‘twist’-nya yang tersendiri, pada masa yang sama juga klise-klise.

Syabas buat penulis. Mudah-mudahan beliau akan terus diberikan kekuatan dan kemampuan oleh Allah SWT untuk terus berkarya dalam genre sai-fai. Negara memerlukan novel-novel sebegini untuk mengangkat pemikiran masyarakat ke tahap yang lain.


No comments:

Post a Comment