Wednesday, 24 August 2016

Lelaki Bersut - Tak Panas ke Bang?









Asal hikayat, saya mengenali penulis buku ini,  M. Hafiz Zainol Abidin sebagai seorang pelajar undang-undang @ law school UIAM. Pada ketika itu, dia dikenali sebagai salah seorang pemuzik dengan alat muzik yang unik dan tak pernah saya jumpa iaitu ‘Didjeridoo’. Alat tersebut adalah alat muzik tradisonal masyarakat pribumi Australia.



Setelah beberapa lama terpisah kerana masing-masing mencari rentak  dalam permulaan hidup bekerjaya, saya menemui sekali lagi beliau di mahkamah. Kali ini beliau sudah tampil sebagai pengamal undang-undang. Lebih hebat, beliau adalah seorang lawyer jenayah. Sekali-sekala berjumpa, beliau berkongsi sedikit-sebanyak tentang dunia undang-undang jenayah. Macam-macam kisah suka-dukanya. Macam-macam warna-warni perjalanannya. Dunia guaman jenayah bukanlah dunia yang bersifat hitam putih, walaupun undang-undang jenayah semestinya meletakkan dikotomi yang jelas antara salah dan tak bersalah.



Apabila beliau berjaya menerbitkan naskhah Lelaki Bersut : Tak Panas Ke Bang?, saya lebih teruja kerana saya berjaya mengenali satu lagi sisi penulis yang saya tak kenal.  Dan melihat posting-posting abang Hafiz di facebook yang berkaitan buku-buku serius yang sedang dibaca beliau, membuatkan saya lebih happy kerana saya berjumpa dengan seorang lagi sahabat seangkatan yang suka membaca buku.



Buku ini memuatkan catatan-catatan dan anekdot beliau sebagai seorang peguam jenayah. Dalam erti kata lain, ini merupakan rakaman perjalanan seorang peguam yang membawa pembaca ke alam guaman dan amalan undang-undang.  Banyak kisah-kisah yang hanya dapat diceritakan oleh peguam yang mengalaminya sahaja – termasuklah yang menyayat hati, yang menunjukkan dunia ni dah nak tunggang-terbalik sikit masa lagi, yang serius, yang lucu dan macam-macam lagi.



Sesiapa yang membaca buku ini akan mendapat pendedahan dan disclosure daripada seorang insider, atau orang dalam yang memang bergelumang dengan perkara-perkara yang diceritakan dalam buku tersebut. Sekaligus ini membuatkan kita dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam dunia guaman. Sangat ekslusif dan tidak semestinya glamor semata-mata macam cerita-cerita di tv.



Sebagai peguam, adakalanya beliau bertemu dengan Orang Kena Tuduh, keluarga mereka dan sebagainya. Di situlah macam-macam kisah duniawi tentang manusia yang akan berlaku.



Saya sebagai  penggemar buku, atau avid reader, telah berkesempatan membaca karya daripada pelbagai penulis. Dari situ, saya juga sudah mampu membuat penilaian tentang hasil penulisan, gaya dan stail seseorang penulis. Abang Hafiz memang mempunyai gayanya yang tersendiri. Kalau kita bersembang dan berbual-bual dengan orang Utara, kadang-kadang lawak atau punchline yang dibuat tu hanya boleh ditangkap apabila orang tu menghabiskan percakapannya, dan disulami dengan senyuman kecil. Ada lawak yang nak disampaikan, dan hanya mereka yang tajam akal saja cepat menangkap apa yang nak disampaikan. Begitulah juga dengan stail dan gaya penulisan abang Hafiz, bagi saya kekuatannya adalah dia memiliki gaya dan stail penulisan tersendiri dan sangat reflektif dengan dirinya yang seorang anak jati Perlis.  Simple tetapi padat.



Buku ini nipis sahaja, sekitar 80 muka surat dan memuatkan 30 cerita. Saya percaya semuanya berdasarkan kisah benar. Cerita kegemaran saya adalah ‘Tak gila pun’ yang menutupi buku ini.



Saya doakan abang Hafiz sahabat saya ini akan berdaya untuk menghasilkan lebih banyak karya-karya sebegini untuk membina pemikiran masyarakat Malaysia ni.  Sempoi bag hang!



p/s – sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini, boleh hubungi abang Hafiz di facebooknya iaitu Pak Sheikh Hafiz .

Friday, 29 January 2016

The Revenge of Geography oleh Robert D Kaplan











Buku ini merupakan sebuah buku  yang membincangkan isu geopolitik yang serius. Keunikan buku ini adalah penulis membincangkan  bagaimana faktor geografi sebenarnya memainkan peranan dalam membentuk situasi geopolitik dunia dari dahulu hingga sekarang. Ertinya, cara sesebuah negara bertindak dan memposisikan dirinya di pentas dunia adalah berkait rapat dengan iklim, keadaan bentuk muka bumi dan lain-lain faktor geografi yang wujud. Sebagai contoh, Rusia dikaitkan dengan pendekatan yang keras  memandangkan iklim sejuk dan bentuk muka bumi negara tersebut. Manakala Amerika Syarikat pula sering melaungkan kebebasan kerana dari segi geografi, Amerika Syarikat dikelilingi lautan yang menjadi penampan negara tersebut dengan kuasa-kuasa dunia lain lantas memberikan keyakinan yang tinggi dan rasa lebih selamat kepada negara tersebut.
Penulis merujuk kepada hasil pemikiran dan idea-idea yang pernah diketengahkan dan masih lagi dibincangkan oleh ahli-ahli akademik seperti Marshall Hodgson, Alfred Mahan, Nicholas J Spykman, Hans Morgenthau, Karl Haushofer dan banyak lain. Fokus diberikan kepada negara-negara kuasa dunia termasuk China, Rusia, Amerika Syarikat, India dan juga negara-negara yang mempunyai pengarauh dan boleh mendatangkan kesan kepada iklim geopolitik dunia seperti Turki, Iran dan Mexico.
Dengan membaca buku ini, kita akan dapat lebih memahami dan menghargai situasi geopolitik dunia dan keunikan yang ditampilkan oleh setiap negara. Malah, faktor-faktor geografi yanng diketengahkan juga boleh membantu kita untuk ’meramal’ apakah percaturan politik yang akan dibuat oleh sesebuah negara tersebut dan apakah had serta batasan yang akan mengekang sesebuah negara dalam usaha negara tersebut meletakkan dirinya di pentas geopolitik sejagat. 


Saturday, 5 December 2015

The 48 Laws of Power oleh Robert Greene






This is a very interesting book.

Untuk mereka yang berada di posisi yang menggunakan 'kuasa' dan untuk mereka yang ingin menyelamatkan diri masing-masing daripada kesan & pengaruh mereka yang memiliki 'kuasa', buku ini memberikan  48 hukum yang boleh diguna pakai.

Hukum pertama yang diletakkan di dalam buku ini sememangnya akan membuka mata kita. ; ‘ Never Outshine the Master ‘ - Jangan melampaui & membayangi Ketua anda! Inilah hukum yang paling benar yang selalu menyebabkan mereka yang memegang jawatan 'Timbalan' akhirnya dijatuhkan oleh ketuanya sendiri.

Tips-tips yang dicatatkan dalam buku ni memang praktikal, dan kadang-kadang bersifat immoral, penuh muslihat, licik, tanpa perikemanusian dan bersifat cunning serta shrewd....tapi bagi saya secara peribadi, itulah yang sebenarnya membayangkan tingkah laku dan perangai manusia apabila berada di puncak kekuasaan. Manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa dan mempertahankan kuasanya.

Penulis dalam membuktikan hujah-hujah beliau di dalam buku ini turut memberikan kisah-kisah sebenar yang telah berlaku di dalam lembaran sejarah tentang bagaimana 48 hukum-hakam kuasa ini diaplikasikan. Jadi, hukum-hakam yang dibentangkan di dalam buku ini sememangnya bersandar kepada fakta dan kejadian sebenar yang telah dikaji oleh penulis. 48 hukum-hakam ini ternyata proven and tested !


Sekiranya anda pernah terasa dianiaya dan menjadi mangsa kepada mereka yang berkuasa, pasti anda dapat mengaitkan pengalaman anda itu dengan salah satu daripada 48 hukum-hakam yang dimasukkan ke dalam buku ini. Maka, janganlah menjadi naif dan belajarlah daripada pengalaman.

Jika anda ingin menjadikan diri anda sebagai seorang yang berkuasa, bacalah buku ini. Jika anda ingin menyelamatkan daripada bahaya 'kuasa' yang dimiliki seseorang, bacalah buku ini. Jika anda ingin sekadar mengambil tahu sahaja pun, bacalah buku ini.

Monday, 9 November 2015

Kekuatan SPECTRE







Ahad malam 8/11/2015 saya berpeluang menonton filem James Bond ke-24 iaitu SPECTRE. 

Pertamanya, sebelum menonton, saya sempat membaca komen-komen ringkas di FB tentang mereka yang telah menontonnya. Kebanyakannya memberi komentar yang tidak positif. Selepas menontonnya malam tadi, pandangan saya SPECTRE adalah filem Daniel Craig sebagai James Bond yang paling mantap dan bertenaga.

Sebab-sebabnya:

Penuh aksi dari awal hingga akhir, bukan mindless action tetapi aksi yang bersebab dan munasabah. Daripada  (1) pertarungan 2 lawan 1 dalam helikopter yang sedang terbang, (2) kejar-mengejar dengan kereta berkelajuan tinggi, (3) pergaduhan satu lawan satu dalam keretapi hinggalah (4) menyelamatkan damsel in distress di hujung-hujung filem daripada diletupkan bom.



Filem ini menghidupkan semula naratif filem Bond yang menentang entiti jenayah paling terancang dan licik iaitu SPECTRE atau Special Executive for Counter Intelligence, Terrorism, Revenge and Extorition. SPECTRE dalam abad ke -21 ternyata lebih berbahaya daripada sebelum ini.

Watak Bond juga semakin matang dan kuat, menjadi seorang yang lebih kompleks dengan segala peristiwa yang menghantuinya semenjak Casino Royale, Quantum of Solace dan Skyfall. Bond menahan dan ‘menyimpan dalam’ segala impak dan kesan daripada kisah-kisah terdahulu sehingga dia kelihatan seperti tidak lagi peduli tentang perasaan dan jiwa.



Watak M yang diteruskan pula oleh Ralph Fiennes juga memberikan sedikit kelainan daripada Judi Dench. ‘M’ yang  baru walaupun penuh sedar dia perlu mengikut peraturan dan birokrasi dalam menguruskan sebuah organisasi penting seperti M16, namun tetap memberikan ruang untuk tindakan-tindakan luar jangka dan necessary evils  yang perlu dilakukan oleh Bond kerana ancaman musuh tidak mengenal peraturan dan etika.

Kehadiran dua elemen musuh, iaitu Blofeld yang menggunakan akal-kelicikan-kepintaran dan Hinx yang menggunakan kudrat untuk memusnahkan Bond ternyata memaksa Bond untuk bekerja keras sepanjang masa untuk menumpaskan musuh. 




Lokasi-lokasi eksotik yang digunakan dalam latar belakang adventure Bond kali ini termasuklah Austria, Morocco, Mexico, Rome dan sebagainya benar-benar memberikan kepuasan kembara minda kepada sesiapa yang tak berkesempatan    untuk melawat negara-negara tersebut.

Namun, SPECTRE juga tetap mempunyai kelemahan. Saya secara peribadi tidak bersetuju tentang bagaimana Blofeld dan Bond mempunyai titik pertemuan di dalam sejarah kehidupan mereka. Terlalu kebetulan. 

Di akhir filem, saya tertanya-tanya .....kekuatan dan apa yang dipersembahkan di dalam SPECTRE lebih mewajarkan filem ini menjadi filem terakhir Daniel Craig sebagai Bond kerana di dalam filem ini  sepertinya dia telah mencapai kemuncak dan klimaks di dalam pengembaraannya meliputi 3 filem sebelum ini. Dia telah menemui jawapan kepada semua persoalan. Dia juga telah berjaya menumpaskan musuh yang selama ini mengheretnya ke lembah kedukaan dan penyiksaan mental dan emosi.

Sunday, 16 August 2015

Menziarahi karya klasik ' The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order'



Ketika buku ni mula-mula diterbitkan dulu dalam era awal dekad 1990-an, satu dunia mengalami  polemik kesan daripada hujah-hujah yang diketengahkan oleh penulisnya.  Samuel P Huntington berhujah bahawa selepas tamatnya era Perang Dingin, bentuk model konflik lama yang berpaksi pertembungan Komunis Kapitalisme akan digantikan dengan model Clash of Civilizations, iaitu pertembungan tamadun.

Mengapa dia berhujah begitu? Huntington berhujah mengatakan bahawa agama merupakan satu elemen yang mula bangkit kerana manusia mula mencari identiti dan tujuan hidup yang makin hilang dengan perkembangan modenisasi dan kemajuan hidup di barat. Selain itu, kebangkitan ekonomi negara-negara di Asia juga menyuntik keyakinan mereka untuk maju dan moden dengan cara sendiri tapa menjadi Barat. Apabila faktor-faktor ini berkumpul, maka risiko pertembungan antara tamadun Barat, Islam dan Konfusianisme  diramal akan berlaku.