Monday 14 October 2013

Junk Bookstore dan Harga Sebuah Buku




Selepas membaca buku Mindset (2006) yang ditulis oleh futuris John Naisbitt, hati saya kembali tergerak untuk kembali mendapatkan buku beliau yang bertajuk High Tech High Touch yang diterbitkan pada tahun 1999.  Secara ringkas,kandungan buku tersebut antara lain memuatkan kupasan penulis  tentang cabaran insan mempertahankan nilai kemanusiaan dan  spiritual di dalam zaman yang dipenuhi ‘kemabukan teknologi’.

Saya pernah membeli buku tersebut di sekitar tahun 2002-2003. Keinginan untuk membaca dan menghabiskan buku tersebut terbantut apabila buku tersebut dipinjam oleh seorang senior di universiti dan terus tidak dipulangkan sehingga ke hari ini. Walaupun beberapa kali saya meminta agar buku tersebut dikembalikan, teman senior saya tersebut mengatakan dia tidak meminjam buku tersebut.

Saya berpeluang untuk mengunjungi kedai buku Junk Book Store yang terletak di Jalan Tun HS Lee beberapa hari lepas kerana menemani seorang rakan sekerja yang ingin melihat-lihat di dalam kedai tersebut. Kepada sesiapa yang belum pernah mengunjungi kedai tersebut, Junk Book Store adalah sebuah kedai buku yang menjual pelbagai jenis buku terpakai dengan harga yang murah. Sekiranya anda ingin mendapatkan buku-buku yang diterbitkan sekitar 30 tahun lepas, berkemungkinan anda boleh menemui buku yang dicari di sana.

Kedai tersebut mempunyai 3 tingkat yang dipenuhi oleh pelbagai jenis buku, sama ada novel, buku bukan fiksyen, autobiografi, majalah-majalah lama, komik dan pelbagai lagi. Saya pernah dibawa masuk ke tingkat 3 kedai buku tersebut yang merupakan sebuah perpustakaan buku-buku yang sudah sukar di dapati di pasaran. Keadaannya agak suram dan dikunci. Ketika di bawa masuk ke dalam perpustakaan tersebut, terhimbau pula saya kepada filem-filem seram dan thriller Hollywood yang memaparkan bagaimana nasib malang seseorang yang memasuki sebuah  rumah asing kerana menerima pelawaan tuan rumah lantas  diperangkap, disiksa dan sebagainya  tanpa diketahui oleh orang lain!

Buku-buku di dalam perpustakaan tersebut boleh dibeli dengan  cara pembeli menawarkan harga terlebih dahulu sebelum dipersetujui oleh juru jual atau tidak. Tawar-menawarkan akan terus dilakukan sehingga harga yang dipersetujui dicapai oleh kedua-dua pihak.

Ketika berada di dalam kedai tersebut, saya langsung pada mulannya tidak menjangkakan bahawa buku John Naisbitt tersebut akan berada di sana. Sambil berjalan dan melihat-lihat buku di bahagian pengusan, ekonomi dan bisnes, akhirnya saya terpandang beberapa buah buku terbaik Naisbitt seperti Global Paradox, Megatrends, Megatrends Asia, Reinventing the Corporation dan termasuklah buku yang saya cari-cari selama ini.

Hasrat untuk tidak membeli buku dalam kunjungan saya ke kedai tersebut kali ini nampaknya ditewaskan lagi. Akhirnya saya membeli buku tersebut dengan harga RM 20.00 sahaja. Saya percaya buku tersebut dijual dengan harga sekitar RM 60-RM 70 dulu. Keadaan buku tersebut masih lagi baik walaupun mempunyai ciri-ciri terpakai.

Buku tersebut agar sukar di dapati lagi di kedai-kedai buku ternama, mungkin sudah tiada lagi di dalam stok.

Kepada sesetengah orang, mungkin harga RM 20 tersebut masih lagi tidak berpatutan. Mungkin ramai yang akan menawarkan lagi untuk membeli buku tersebut dengan harga yang lebih rendah, RM 15 misalnya?

Namun memandangkan saya berpandangan bahawa kandungan ilmu dan maklumat di dalam buku tersebut masih lagi relevan walaupun telah diterbitkan 13 tahun lalu, saya bersedia membelinya dengan harga yang lebih mahal kerana yang lebih penting adalah memiliki pengetahuan yang termuat di dalam buku tersebut. Naisbitt adalah salah seorang futuris terunggul abad ini!

Pengetahuan dan maklumat daripada buku tersebut pastinya menjadikan saya lebih baik daripada keadaan sedia ada dan boleh membantu saya menyumbang dengan lebih baik ke arah menjadikan dunia kita lebih sempurna.


( Posting asal adalah daripada www.read-dynamics.com  bertarikh 2 November 2012 )

No comments:

Post a Comment