Monday 14 October 2013

Stephen R Covey, 1932-2012 ; Belasungkawa yang terlewat







Saya hanya mengetahui bahawa penulis buku The 7 Habits of Highly Effective People, Stephen R Covey telahpun meninggal dunia sekitar Julai tahun ini akibat komplikasi kecederaan ekoran kemalangan ketika beliau berbasikal . Ternyata saya terlewat, mungkin kerana kurang membaca akhbar mahupun berhubung menerusi laman media sosial . Namun saya ingin tetap menulis sesuatu tentang beliau yang turut dikenali sebagai Management Guru kerana buku-buku beliau tetap mempunyai pengaruh dalam kehidupan saya.

Saya hanya mula mengenali Covey  sekitar 1994/1995 ketika masih belajar di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Seingat saya, mungkin nama beliau diperkenalkan oleh guru-guru saya, Encik Zainal Rashid dan Cik Anisah Abdullah yang ada menyentuh berkaitan buku beliau secara tidak langsung di dalam kelas.


Ketika itu, buku tersebut sering diperkatakan. Hakikatnya memang kandungan buku tersebut menjadi penemuan penting dalam dunia ilmu self-help yang sentiasa berkembang. Lebih 20 juta naskhah buku tersebut telah terjual di serata dunia dan terus dibaca sehingga ke hari ini. Saya masih ingat pada ketika betapa saya begitu terpesona dengan buku tersebut lantas menyebabkan saya meminjam buku tersebut dan memperbaharui pinjaman daripada perpustakaan sekolah beberapa kali.

Memang secara sedar saya tahu bahawa tindakan tersebut akan menyebabkan orang lain tidak berpeluang untuk membacanya, namun saya tetap lakukan kerana berasa selesa berdampingan dengan buku tersebut.

Malangnya, saya tidak memahami sepenuhnya kandungan buku tersebut yang rata-rata dibaca oleh kelompok dewasa dan professional kerana usia yang masih muda.

Malah, kerana bersemangatnya saya dengan buku tersebut dan penulisnya, saya turut membeli sebuah lagi buku beliau, Principle Centered Leadership dengan  wang hadiah daripada kemenangan Pasukan Forum Bahasa Melayu Sekolah Alam Shah yang dianggotai saya. Buku tersebut masih saya miliki sehingga hari ini.

Ketika di UIA pula, ketika aktif dengan aktiviti pelajar, saya beberapa kali bercakap dan berbual dengan pensyarah undang-undang, Saudara Yusri Mohamed ( kini Dr. )berkaitan buku tersebut. Malah beliau mengesyorkan bahawa buku tersebut dibincang dan dikupas memandangkan saya sering menganjurkan aktiviti perbincangan buku. Namun, kerana kesibukan mengejar keutamaan-keutamaan yang lain , cadangan tersebut tidak terealisasi.



Mendiang Stephen R Covey


Kandungan buku tersebut sememangnya membantu jutaan orang untuk memperbaiki dan mempertingkat kualiti diri di dalam kehidupan harian. 7 sifat atau amalan yang dibincangkan dalam buku tersebut sememangnya boleh diaplikasikan di dalm kehidupan kita. Konsep  ‘Win-win situation’  sebagai contoh terus diucapkan sehingga ke hari ini oleh kita ketika membincangkan sesuatu yang berkaitan dengan penyelesaian konflik atau mengadakan kerjasama dengan pihak lain.

Stephen Covey mengambil masa bertahun-tahun membuat kajian dan penyelidikan merentasi pengetahuan amalan agama, ilmu pengurusan dan self-help dalam menyempurnakan buku tersebut. Ternyata usaha yang dicurahkan berhasil kerana sehingga ke hari ini (dan pastinya di masa hadapan) jutaan  orang akan terus merujuk buku tersebut untuk mempertingkat kualiti diri masing-masing.

Beberapa hari lepas, ketika mendapat tahu secara tidak sengaja bahawa Covey sudahpun meninggal dunia, saya mengkhabarkan berita tersebut kepada Dr. Yusri Mohamed dengan menggunakan sms . Ternyata beliau juga tidak mengetahui berita tersebut. Namun di dalam sms beliau kepada saya, beliau menyebut, ” I still believe that his book is the best for self change or motivation,”

Lahir sedikit penyesalan di hati saya kerana tidak berusaha membincangkan buku tersebut ketika masih di zaman kuliah kerana sibuk mengejar perkara-perkara lain yang ternyata tidak begitu penting dan hanya bersifat distractions di dalam kehidupan sebagai pelajar pada ketika itu. Terhimbau pula dengan salah satu sifat orang yang efektif sebagaimana disebut oleh Covey dalam buku tersebut ; Put First things first!

Sebuah buku yang hebat kandungannya ternyata boleh mengubah dunia. Terima kasih Covey kerana berkongsi ilmu anda dengan kami semua.



( Posting asal adalah daripada www.read-dynamics.com)

No comments:

Post a Comment