Monday 14 October 2013

Kanang- Cerita Seorang Pahlawan






Mendiang Temenggung Datuk Kanang Anak Langkau telahpun meninggal dunia pada 4 Januari lalu.

Mungkin ramai generasi muda yang tidak mengenali beliau. Namun saya mengenali beliau ketika usia saya 7-8 tahun lagi menerusi sebuah buku tentang beliau yang bertajuk Kanang-Cerita Seorang Pahlawan ( 1987) yang dihasilkan oleh Maznan Noordin dan diterbitkan  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Ada teman-teman sepejabat yang menyatakan bahawa buku Kanang adalah sebahagian daripada pengajian sastera di sekolah menengah, namun saya tidak dapat mengesahkan maklumat tersebut.

Buku berkaitan kisah Mendiang Kanang adalah antara buku-buku yang berlatar-belakangkan era ancaman pengganas Komunis di Malaysia.  Beliau adalah antara perajurit negara yang telah menerima dua pingat keberanian tertinggi negara, iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa ( SP) dan Pingat Gagah Berani ( PGB) oleh kerajaan.

Sebahagian daripada kisah Kanang yang dimuatkan dalam buku tersebut adalah:
  • Sewaktu berkhidmat dengan Pasukan 42 Komando Tentera British, beliau pernah menyelamatkan pegawai pemerintahnya daripada maut walaupun  pengorbanan ini tidak mendapat perhatian.
  • Beliau hampir ditawan tentera Siliwangi ketika era Konfrontasi
  • Beliau dikerahkan menyertai satu operasi pada hari perkahwinannya
  • Setiap kali beliau di dalam pertempuran, beliau akan bermimpi didatangi oleh seorang Pak Haji.
  • Bagi mengelakkan terkena badi, beliau telah memakan otak salah seorang pengganas yang telah dibunuh
  • Di dalam Gerakan Khas Setia pada awal tahun 1980, beliau telah mendapat kecederaan yang parah keranan keberaniannya merempuh pertahanan musuh  bagi menyelamatkan teman-temannya
  • Akibat kecederaannya, beliau tidak sedarkan diri selama seminggu, berada di Unit Kawalan Rapi selama sebulan dan setahun di wad biasa.

Buku ini adalah antara bacaan yang baik untuk generasi muda bagi mengetahui  pahit getir Malaysia menghadapi ancaman pengganas Komunis suatu ketika dahulu. Saya masih teringat kata-kata seorang Sarjan yang menjadi jurulatih sewaktu mengikuti latihan serangan hendap semasa menyertai Askar Wataniah hampir 10 tahun dahulu.

Ketika mengikuti latihan serangan hendap di dalam hutan yang menuntut kami menunggu lintasan musuh dan mendapat taklimat daripada Sarjan tersebut yang berusia hampir 40-an, beliau memberikan pelbagai teori dan ilmu peperangan yang berguna, namun di akhir taklimat tersebut beliau menyebut dengan penuh bersahaja:

“Apa yang kamu perolehi adalah sebahagian daripada teori dan ilmu untuk melakukan serang hendap. Malangnya, saya sendiri tidak pernah berkesempatan untuk menyerang hendap musuh kerana ketika saya menyertai ATM, pengganas Komunis telahpun menyerah dan meletakkan senjata,”

Ternyata ilmu dan teori tidak dapat menyaingi pengalaman sebenar menghadapi sesuatu.

( Posting asal daripada www.read-dynamics.com bertarikh  7 Januari 2013 )

No comments:

Post a Comment