Monday, 17 March 2014

Tasawwur Islam oleh Dato' Dr. Haron Din






Nama Dato' Dr. Haron Din bukanlah asing dalam negara ni..dia adalah seorang ilmuwan dan ulama’ yang besar, disegani dan dihormati. Saya mula mengenali ketokohannya bila menonton Forum Perdana Ehwal Islam sekitar tahun-tahun 1993-1996. Memang kalau beliau bercakap, ilmu yang disampaikan cukup mengesankan.  

Buku Tasawwur Islam ini merupakan salah satu buku yang cukup bermanfaat untuk dibaca.  Beliau memasukkan banyak dalil-dalil teras dan fundamental untuk membantu pembaca memahami apakah yang dimaksudkan dengan Islam. Memang banyak info dan well researched. Antara yang dibincangkan adalah konsep aqidah, tauhid, mukjizat Al Quran, konsep-konsep penting yang perlu difahami seperti wasatiyah dan tawazun, dan lain-lain lagi.

Saya rasa sangat tertarik apabila penulis turut memasukkan petikan-petikan kata-kata golongan musuh Islam  yang membuat perancangan untuk menjatuhkan Islam. Selain itu, cara penulis menentukan tajuk dan bahan-bahan untuk dimuatkan juga berkesan.  Minda pembaca akan dibawa daripada satu topik kepada satu topik yang lain secara berkesinambungan, dan mengikuti perbincangan di dalam buku ini akan membantu kita mendapatkan pandangan alam Islam yang menyeluruh.


 Walaupun setebal 131 muka surat sahaja, tapi buku ni saya kategorikan sebagai heavy reading, dan perlu dibaca secara serius untuk menikmati manfaatnya. Sesuai dijadikan bacaan wajib untuk pendakwah, dan mungkin tak keterlaluan jika saya katakan bahawa  pemahaman Islam kita 'belum sempurna' selagi tak membaca dan mengkaji buku ni.......

Tuesday, 4 March 2014

The Malaysian Currency Crisis oleh Dr. Mahathir Mohamad






Ini bukan posting politik, sebab terus-terang saya akui, saya naif dan lebih suka menjadi seorang yang apolitical. Walau bagaimanapun, posting ini adalah catatan seorang yang suka membeli buku.

Buku ni saya beli sometime masa final year di UIA pada 2004. Antara sebab yang mendorong saya untuk membeli buku ni adalah untuk mengetahui kebenaran dan perkara sebenar tentang apa yang berlaku masa krisis kewangan pada tahun 1997 yang melanda negara-negara di Asia Tenggara sehingga memaksa Malaysia mengawal matawangnya. Sejak bertahun-tahun saya mendengar tuduhan yang mengatakan masa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, dia lebih cenderung untuk menggunakan preskripsi ekonomi yang diberikan oleh IMF. Malangnya, banyak negara yang menggunakan pendekatan IMF akhirnya menanggung hutang yang lebih banyak. 

Sebab inilah menyebabkan Tun Dr. Mahathir menyerang Datuk Seri Anwar dengan mengatakan bahawa dia sebenarnya hampir-hampir menjual kedaulatan negara.  Bagi saya buku ni walaupun ringkas, tetapi isinya padat dan straight forward. Kita boleh mengetahui bagaimana PM pada masa tu akhirnya membuat keputusan untuk meletakkan kawalan ke atas mata wang kita. Saya  ingat lagi, teruk mantan  PM kena serang dengan media Barat, menuduhnya dengan pelbagai tuduhan termasuklah heretic. 

Namun alhamdulillah Malaysia tak la teruk sangat  kena kegawatan ekonomi ni. 

Seperkara yang menarik, sampai sekarang saya dan mungkin ramai diluar sana menanti-nanti jawaban atau buku yang menjawab semua tuduhan yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar, sekurang-kurangnya satu pembelaan atas serangan dan tuduhan yang dibuat terhadapya ketika beliau mengurus tadbir ekonomi negara, namun rasanya belum ada. 

Nampaknya, berkemungkinan kem Datuk Seri anwar Ibrahim terlepas pandang  bahawa sesiapa yang menguasai hujah, dia-lah yang akan menang di pandangan khalayak ramai. 


Catatan : Kalau ada pandangan saya di sini yang silap dan perlu diperbetul, saya alu-alukan !


Tuesday, 11 February 2014

Kucing Misteri oleh Mohamad Firdaus Aris








Adakah anda seorang peminat kucing? Sekiranya ya, pastikan anda membaca novel grafik ‘Kucing Misteri’  oleh Mohamad Firdaus Aris.



'Kucing Misteri' mengisahkan perihal seekor kucing yang mengembara dan memberikan pertolongan bukan sahaja kepada kucing lain, malah juga kepada manusia. Tiada siapa menduga, menerusi ragam dan perangai manja yang biasa dilihat pada seekor kucing, sang kucing misteri tampil untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada ramai yang memerlukan, termasuklah menyelamatkan nyawa seorang pensyarah muda, ahli silap mata yang diserang sakit jantung malah menyelamatkan bumi daripada serangan makhluk asing!



Mohamad Firdaus berjaya menghasilkan sebuah novel grafik yang lucu dan menghiburkan serta  sarat dengan pelbagai pengajaran yang berguna kepada pembaca. Pengajaran penting yang boleh diambil menerusi karya ini adalah kita hendaklah sentiasa membantu mereka yang memerlukan, hormat-menghormati antara satu sama lain, usah sombong dan takbur dan jangan menzalimi dan menyakiti binatang.



Gaya lukisan Firdaus adalah ringkas namun mempamerkan ketekunan dan kesungguhan. Beliau menggunakan pelbagai ekspresi muka kepada watak-watak yang terdapat di dalam novel grafik ini dalam menghidupkan jalan penceritaannya.



Dapatkan novel grafik dalam format e-book ini dan hayatilah kisah ‘Kucing Misteri’  ini sama ada di computer, computer riba, telefon pintar mahupun computer tablet anda.


Untuk mendapatkan novel grafik ini, klik :

Wednesday, 5 February 2014

Program Motivasi Membaca di Sek Keb Batu Masjid, Temoh, Perak. ( 29 Jan 2014 )










29 Januari 2014 lalu saya telah diundang untuk bersama-sama memeriahkan program motivasi membaca yang telah diadakan di Sek Keb Batu Masjid, Temoh, Perak.  Terhimbau pula kenangan ketika berada di sekolah rendah kira-kira 22 tahun dulu. 










Berhadapan dengan anak-anak yang berada di sekolah rendah, memang satu cabaran untuk bercerita tentang kepentingan membaca , namun saya optimis dan yakin in sha Allah ada ilmu dan maklumat yang dapat diterima dan diserap oleh anak-anak untuk untuk dijadikan panduan hidup di masa hadapan.







Mudah-mudahan juga ilmu dan maklumat tersebut akan digunakan dan dijadikan pedoman hidup untuk mereka menempuh masa hadapan dan berjaya di dalam pelajaran.

Kepentingan membaca memang sewajarnya diserapkan di kalangan anak-anak semenjak di bangku persekolahan rendah lagi agar fikiran mereka dapat berkembang dengan ilmu dan maklumat bermanfaat. 






Terima kasih juga buat individu-individu yang telah sudi dengan ikhlas menaja 10 buku Iqra’: Membangunkan Potensi Diri Melalui Amalan dan Disiplin Membaca yang disumbangkan kepada perpustakaan sekolah.





Sunday, 2 February 2014

Virtually You - The Dangerous Powers of the E- Personality oleh Elias Aboujaoude

 
 
 
 
Buku ini ditulis oleh seorang ahli psikologi yang membuat kajian tentang kesan-kesan yang berlaku akibat penggunaan internet secara berlebihan. Dia mengupas tentang bagaimana watak dan perilaku sebenar kita berubah menerusi e-personality atau watak yang kita wujudkan untuk berinteraksi dengan individu lain menerusi internet. Antara yang menarik untuk difikirkan adalah bagaimana penggunaan internet khususnya laman sosial facebook mungkin boleh meningkatkan unsur-unsur narsisisme atau terlalu memuja diri sendiri apabila kita mungkin akan sentiasa update kan gambar-gambar diri kita untuk kelihatan hebat di kalangan orang lain atau sentisa memberi komen dalam setiap hal . 
 
Menurut Elias juga, budaya berinternet ini juga akan menghakis keinginan kita untuk membaca dan menekuni ilmu secara mendalam kerana kita lebih banyak membaca secara sekali lalu sahaja atau skim, di samping kecenderungan untuk pelajar-pelajar membuat tugasan mereka secara cut & paste sahaja. Melihat rakaman-rakaman video yang dimuat naik di youtube , khususnya video-video yang mengandungi paparan-paparan ganas mungkin juga menyebabkan kita mati rasa dan tidak merasa sensitif lagi pada perkara-perkara yang sepatutnya . Dalam kajian-kajian yang dilakukan, terdapat juga individu-individu yang mengalami ketagihan internet, seperti berjudi dan membeli belah secara online dan tidak mampu mengawal ketagihan mereka sehingga menanggung hutang berjuta-juta ringgit. 

Banyak lagi gejala-gejala negatif akibat penggunaan internet yang keterlaluan yang dipaparkan dalam buku ini. Pada pandangan aku, walaupun kesan-kesan negatif yang dimuatkan di dalam buku ni mungkin belum terkena pada kita, tapi mungkin bagus juga kita beringat dan berhati-hati. Buku ni antara buku yang bagus untuk dibaca dan aku cadangkan sesiapa yang berminat, sila lah beli buku ni. Harganya RM 89.90 sahaja.

Tuesday, 7 January 2014

47 Ronin Story oleh John Allyn












Syukur Alhamdulillah. Tahun 2014 telah tiba bersama pelbagai azam yang ingin dicapai.

Buku pertama yang berjaya saya habiskan pada tahun ini adalah buku 47 Ronin Story, karya John Allyn.  Saya berjaya menghabiskan pembacaan kira-kira dalam masa 2 hari secara santai. Terus-terang dinyatakan, minat saya terhadap kisah 47 Ronin atau samurai tidak bertuan  ini kembali dihidupkan setelah menonton filem 47 Ronin yang dilakonkan oleh Keanu Reavees.

Buku ini memuatkan kisah ronin-ronin atau samurai-samurai tidak bertuan yang merancang usaha menuntut bela atas kematian tuan mereka, Lord Asano yang terpaksa melakukan seppuku ( ritual bunuh diri ) di atas perancangan dan muslihat Lord Kira. Lord Kira adalah seorang pegawai adat yang mengamalkan korupsi dan rasuah. Tindak tanduknya mengundang rasa marah dan tidak bersetuju  oleh Lord Asano yang tidak mahu terbabit dalam amalan korupsi. Apabila Lord Asano hilang kesabaran terhadap Lord Kira dan telah mencederakannya, Lord Asano telah melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh Shogun atau pemerintah tentera tertinggi Jepun.

Setelah kematian Lord Asano, Oishi ketua samurai yang dimiliki oleh Lord Asano telah mengatur perancangan untuk membalas dendam terhadap Lord Kira yang perlu dipertanggung jawabkan atas kematian Lord Asano. Namun begitu, usaha mereka tidak mudah, kerana wilayah Ako yang ditadbir oleh Lord Asano terpaksa diserahkan. Samurai-samurai Lord Asano juga telah diberi amaran agar tidak membalas dendam terhadap kematian ketua mereka.

Oishi, selaku ketua samurai-samurai yang dimiliki Lord Asano terpaksa membuat satu perancangan jangka masa panjang bagi menuntut bela kematian ketua mereka. Perancangan mereka terpaksa dilakukan dengan penuh teliti, memandangkan perisik-perisik Lord Kira juga membuat pengintipan dan perisikan kepada gerak-gerak ronin-ronin ini. Oishi dan rakan-rakannya bukan sahaja terpaksa berpura-pura menjadi gelandangan dan tidak lagi kelihatan sebagai samurai untuk meyakinkan Lord Kira bahawa mereka tidak akan membuat serangan balas.

Daripada jumlah yang besar yang bersetuju pada mulanya, bilangan ronin yang tinggal dan bersumpah setia untuk membalas dendam hanya tinggal 47 orang. Mereka menyedari bahawa jalan yang ditempuh  hanya akan berakhir dengan maut , namun kematian mereka akan bermaruah.

Selepas lebih setahun dan setelah perancangan rapi dilakukan, ronin-ronin yang dipimpin oleh Oishi akhirnya mengepung dan menyerang istana milik Lord Kira tanpa disangka-sangka. Mereka berjaya dalam menumpaskan Lord Kira dan mengembalikan maruah wilayah Ako mengikut prinsip-prinsip Bushido.