Tuesday 10 March 2015

Meniti Maut oleh Eyman Hykal





Novel ini merupakan sebuah karya aksi-thriller-perisikan yang mengisahkan tentang seorang pegawai perisikan Malaysia, Fariz Zafar yang ditugaskan untuk memantau dan menghalang perancangan kuasa Barat untuk menguasai ekonomi dan kebebasan Malaysia . Kuasa Barat telah menghantar ejen-ejen mereka untuk memerangkap syarikat-syarikat utama di Malaysia ke dalam skim atau perjanjian yang akhirnya merugikan negara. Keadaan ini telah dapat dihidu oleh BISIK atau Biro Risikan Negara yang mula mengambil langkah tersusun dan terancang untuk menumpaskan ejen-ejen tersebut. 

Fariz menerusi penyamaran telah dihantar untuk mengawasi gerak geri seorang ejen Barat, Bruce McCallum yang telah dihantar untuk menjerumuskan sebuah syarikat tempatan Globest Corporation ke dalam jerangkap ekonomi mereka.  Dalam usaha beliau menjalankan tugas, Fariz bertembung dengan Tobias, seorang 'Jackal' atau pembunuh upahan yang juga mempunyai misinya tersendiri di Malaysia.

Penulis menggunakan dua tema besar untuk membina plot novel ini, iaitu isu Palestin dan sokongan masyarakat sedunia terhadap penentangan  kekejaman Israel-Yahudi. Selain itu, novel ini juga memaparkan  kehadiran individu-individu Economic Hit Man sebagaimana yang diterangkan di dalam buku John Perkins,  Confessions of an Economic Hitman. Kedua-dua tema besar ini digabungkan untuk mewujudkan plot yang baik dan saling berkaitan. 

Novel ini memaparkan banyak elemen aksi, pertarungan dan kejar-mengejar  yang menghiburkan pembaca. Saudara Eyman Hykal berjaya menggunakan deskripsi yang teliti dan penuh ketika menulis aksi-aksi pertarungan dan kombat antara watak-watak dalam novel ini. 

Penulis berjaya menggunakan gaya bahasa yang baik dalam  menulis novel ini. Dialog-dialog antara watak juga adalah matang dan pada tempat-tempat tertentu, sangat tepat sebagaimana yang kita gunakan pada setiap hari.

Selain itu, saya juga kagum dengan penggunaan pelbagai gadjet perisikan, sama ada oleh BISIK mahupun oleh ejen-ejen musuh terutamanya alat  Silent Dead. Gadjet-gadjet yang dipaparkan tidaklah far-fetched  dan mungkin sudah digunakan oleh komuniti perisikan dunia. 

Walau bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya, penulis masih lagi tidak dapat lari daripada latar belakang klise seperti watak 'datuk-anak datuk yang terlalu manja'  dan juga tema 'bibit-bibit cinta' untuk menyokong jalan cerita novel ini.

Syabas kepada penulis kerana berjaya menghasilkan sebuah karya yang baik, pasti sesiapa yang membaca novel ini dapat membayangkan bagaimana novel ini dapat mengisi keinginan kita untuk melihat 'Jason Bourne' atau 'James Bond' versi Malaysia.

1 comment:

  1. Salam Sdra Yusni Yussof,

    Terima kasih kerana membaca MENITI MAUT. Alhamdulilah kerana menikmatinya. Inti kupasan saudara itu tidak jauh daripada apa yang saya cuba saya sampaikan.

    Mengenai klise anak-anak datuk yang manja (dan gedik itu) memang saya selitkan sebagai jajan dalam karya.

    Semoga saudara dapat menikmati DETIK DEBAR pula nanti.

    Thanks.

    ReplyDelete