![]() |
Sekadar gambar hiasan |
Jam menunjukkan pukul 10.35 pagi ketika Luqman terjaga
dari tidurnya. Dia meniarap di atas katil. Tidurnya terjaga tiba-tiba tanpa
diketahui sebab. Setelah sedar, Luqman berpusing dan kini menelentang di atas
katil. Matanya memandang siling bilik dan kipas yang sedang berpusing dengan
laju. Buat beberapa ketika dia hanya terkebil-kebil. Rasa penat dan
sengal-sengal masih ada pada badannya akibat pertarungan pada malam tadi
menghadapi dua orang penjenayah yang telah menculik dan merogol seorang
eksekutif wanita. Kedua-duanya telah ditewaskan dan diikat.
Luqman hanya berseluar pendek boxer di atas katil. Dengan
malas, ia bangun dan duduk di sisi katilnya. Dari tingkat penthouse itu, Luqman
melepaskan pandangannya menerobos tingkap dan pintu gelangsar kaca ke arah
bandar yang dipenuhi bangunan-bangunan pencakar langit. Dari ruang kamar
tidurnya itu, dia dapat melihat hampir seluruh bahagian bandar yang gah itu.
Pandangan pada waktu hampir tengah hari memang tidak sama dengan pandangan pada
waktu malam. Waktu siang, pandangan pada kamarnya itu hanya menyerlahkan
kehidupan kota yang penuh sesak dan sibuk. Manusia dan kenderaan saling
memenuhi jalan dan kaki lima, bergerak menuju ke tujuan masing-masing. Pada
waktu malam pula, keindahan lampu-lampu pada bangunan yang terpasangan
mewujudkan suatu keindahan tersendiri.
Luqman lebih suka pemandangan pada waktu malam.
Dan pada waktu malam jugalah dia menjalankan tugasnya
untuk memerangi jenayah di bandar itu. Malam tadi, dua lagi penyangak berjaya
ditumpaskan. Semenjak dia mula menjalankan tugasnya hampir sebulan lalu,
kira-kira 23 orang penjenayah berjaya ditewaskan. Kebanyakannya adalah
perompak, kongsi gelap, kaki pukul dan penjenayah seks yang cuba mencari mangsa
mereka apabila malam menjelma. Kehadirannya di bandar itu kini menyebabkan
penjenayah-penjenayah mula berasa gentar. Kalau dulu mereka berleluasa dan
bermaharajalela, kini mereka lebih berhati-hati. Penduduk kota juga lebih rasa
selamat untuk keluar pada waktu malam, seolah-olahnya ada pelindung yang
bersedia untuk melindungi mereka apabila diperlukan.
Luqman bangkit dari katil dan menjejakkan kakinya di
lantai. Dia terus berjalan dan melangkah keluar dari kamar tidurnya sambil
mengenakan baju t. Dia luar bilik, dia segera mendapatkan sebuah monitor kecil
yang diletakkan di atas sebuah meja. Tangannya segera menekan butang pada
monitor tersebut. Monitor terpasang. Beberapa saat kemudian, Luqman menekan
pula skrin sesentuh monitor tersebut untuk menghubungi seseorang.
20 saat kemudian, wajah wanita berkaca mata tebal gaya
retro muncul di skrin monitor. Wajahnya tersenyum.
“Baru bangun?”
Luqman menguap namun sempat menutup mulunya. “Aaah.”
“Dua orang malam tadi tu polis dah tahan.”
“Ada masuk berita tv? Akhbar?”
“Ada. Tapi ceritanya sikit aje.You tak apa-apa malam tadi?”
Luqman tersenyum dengan rasa prihatin yang ditunjukkan
oleh wanita tersebut.
“I’m ok Seri, everything is ok.”
Jawapan Luqman tidak dijawab oleh Seri, Seri hanya
memandang kepadanya.
“You masih di sana ke Seri?”
“Ya, saya buat beberapa followup dan research dengan
maklumat-maklumat yang kita ada.......”
“Tentang Anarkis?” soal Luqman.
“Antaranya,”
“Bagus, nanti malam nanti bole la brief sikit,”
“You nak keluar malam ni?”
Luqman tertawa kecil. “Mestilah, penyangak ni bukan kenal
erti penat. Kita kena ofensif, serang mereka sampai mereka takut nak buat
jenayah lagi di bandar ni.”
“I think you should rest...”
“Pakai sut ekso ni, takdelah rasa teruk atau letih
sangat. So, rasanya tak ada masalah kalau saya nak kerja malam ni,”
“Ok,”. Dalam hati Seri, dia tidak berasa risau sangat
dengan kemampuan Luqman. Sebagai seorang atlet dan menguasai beberapa bentuk
cabang seni bela diri, Luqman dapat bertarung dengan baik. Sut ekso yang
digunakan juga membantu Luqman mengurangkan penggunaan tenaga.
“Ada fikir nama yang sesuai untuk hero kita ni?” . Luqman
merujuk kepada watak vigilante yang dihidupkannya bersama-sama Seri untuk
membanteras jenayah di kota Sinar.
“Emm....ada....,”
“Hah, apa dia?”
“LAKSAMANA. Ok tak?”
Luqman tidak menjawab serta-merta. Seri memandang
wajahnya menerusi skrin monitor. Kelihatan dahi Luqman berkerut sedikit gaya
seorang yang sedang berfikir.
“Kalau......,”
Ayat Seri tidak sempat dihabiskan dengan Luqman mencelah,
“Nama tu ok, ada jiwanya!”
Seri tersenyum.
Dan mulai malam ini, kelibat vigilante, hero atau adiwira
di bandar itu akan dikenali dengan nama ‘Laksamana’. Laksamana versus
penjenayah dan penyangak.
No comments:
Post a Comment