Saturday 5 December 2015

The 48 Laws of Power oleh Robert Greene






This is a very interesting book.

Untuk mereka yang berada di posisi yang menggunakan 'kuasa' dan untuk mereka yang ingin menyelamatkan diri masing-masing daripada kesan & pengaruh mereka yang memiliki 'kuasa', buku ini memberikan  48 hukum yang boleh diguna pakai.

Hukum pertama yang diletakkan di dalam buku ini sememangnya akan membuka mata kita. ; ‘ Never Outshine the Master ‘ - Jangan melampaui & membayangi Ketua anda! Inilah hukum yang paling benar yang selalu menyebabkan mereka yang memegang jawatan 'Timbalan' akhirnya dijatuhkan oleh ketuanya sendiri.

Tips-tips yang dicatatkan dalam buku ni memang praktikal, dan kadang-kadang bersifat immoral, penuh muslihat, licik, tanpa perikemanusian dan bersifat cunning serta shrewd....tapi bagi saya secara peribadi, itulah yang sebenarnya membayangkan tingkah laku dan perangai manusia apabila berada di puncak kekuasaan. Manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa dan mempertahankan kuasanya.

Penulis dalam membuktikan hujah-hujah beliau di dalam buku ini turut memberikan kisah-kisah sebenar yang telah berlaku di dalam lembaran sejarah tentang bagaimana 48 hukum-hakam kuasa ini diaplikasikan. Jadi, hukum-hakam yang dibentangkan di dalam buku ini sememangnya bersandar kepada fakta dan kejadian sebenar yang telah dikaji oleh penulis. 48 hukum-hakam ini ternyata proven and tested !


Sekiranya anda pernah terasa dianiaya dan menjadi mangsa kepada mereka yang berkuasa, pasti anda dapat mengaitkan pengalaman anda itu dengan salah satu daripada 48 hukum-hakam yang dimasukkan ke dalam buku ini. Maka, janganlah menjadi naif dan belajarlah daripada pengalaman.

Jika anda ingin menjadikan diri anda sebagai seorang yang berkuasa, bacalah buku ini. Jika anda ingin menyelamatkan daripada bahaya 'kuasa' yang dimiliki seseorang, bacalah buku ini. Jika anda ingin sekadar mengambil tahu sahaja pun, bacalah buku ini.

Monday 9 November 2015

Kekuatan SPECTRE







Ahad malam 8/11/2015 saya berpeluang menonton filem James Bond ke-24 iaitu SPECTRE. 

Pertamanya, sebelum menonton, saya sempat membaca komen-komen ringkas di FB tentang mereka yang telah menontonnya. Kebanyakannya memberi komentar yang tidak positif. Selepas menontonnya malam tadi, pandangan saya SPECTRE adalah filem Daniel Craig sebagai James Bond yang paling mantap dan bertenaga.

Sebab-sebabnya:

Penuh aksi dari awal hingga akhir, bukan mindless action tetapi aksi yang bersebab dan munasabah. Daripada  (1) pertarungan 2 lawan 1 dalam helikopter yang sedang terbang, (2) kejar-mengejar dengan kereta berkelajuan tinggi, (3) pergaduhan satu lawan satu dalam keretapi hinggalah (4) menyelamatkan damsel in distress di hujung-hujung filem daripada diletupkan bom.



Filem ini menghidupkan semula naratif filem Bond yang menentang entiti jenayah paling terancang dan licik iaitu SPECTRE atau Special Executive for Counter Intelligence, Terrorism, Revenge and Extorition. SPECTRE dalam abad ke -21 ternyata lebih berbahaya daripada sebelum ini.

Watak Bond juga semakin matang dan kuat, menjadi seorang yang lebih kompleks dengan segala peristiwa yang menghantuinya semenjak Casino Royale, Quantum of Solace dan Skyfall. Bond menahan dan ‘menyimpan dalam’ segala impak dan kesan daripada kisah-kisah terdahulu sehingga dia kelihatan seperti tidak lagi peduli tentang perasaan dan jiwa.



Watak M yang diteruskan pula oleh Ralph Fiennes juga memberikan sedikit kelainan daripada Judi Dench. ‘M’ yang  baru walaupun penuh sedar dia perlu mengikut peraturan dan birokrasi dalam menguruskan sebuah organisasi penting seperti M16, namun tetap memberikan ruang untuk tindakan-tindakan luar jangka dan necessary evils  yang perlu dilakukan oleh Bond kerana ancaman musuh tidak mengenal peraturan dan etika.

Kehadiran dua elemen musuh, iaitu Blofeld yang menggunakan akal-kelicikan-kepintaran dan Hinx yang menggunakan kudrat untuk memusnahkan Bond ternyata memaksa Bond untuk bekerja keras sepanjang masa untuk menumpaskan musuh. 




Lokasi-lokasi eksotik yang digunakan dalam latar belakang adventure Bond kali ini termasuklah Austria, Morocco, Mexico, Rome dan sebagainya benar-benar memberikan kepuasan kembara minda kepada sesiapa yang tak berkesempatan    untuk melawat negara-negara tersebut.

Namun, SPECTRE juga tetap mempunyai kelemahan. Saya secara peribadi tidak bersetuju tentang bagaimana Blofeld dan Bond mempunyai titik pertemuan di dalam sejarah kehidupan mereka. Terlalu kebetulan. 

Di akhir filem, saya tertanya-tanya .....kekuatan dan apa yang dipersembahkan di dalam SPECTRE lebih mewajarkan filem ini menjadi filem terakhir Daniel Craig sebagai Bond kerana di dalam filem ini  sepertinya dia telah mencapai kemuncak dan klimaks di dalam pengembaraannya meliputi 3 filem sebelum ini. Dia telah menemui jawapan kepada semua persoalan. Dia juga telah berjaya menumpaskan musuh yang selama ini mengheretnya ke lembah kedukaan dan penyiksaan mental dan emosi.

Sunday 16 August 2015

Menziarahi karya klasik ' The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order'



Ketika buku ni mula-mula diterbitkan dulu dalam era awal dekad 1990-an, satu dunia mengalami  polemik kesan daripada hujah-hujah yang diketengahkan oleh penulisnya.  Samuel P Huntington berhujah bahawa selepas tamatnya era Perang Dingin, bentuk model konflik lama yang berpaksi pertembungan Komunis Kapitalisme akan digantikan dengan model Clash of Civilizations, iaitu pertembungan tamadun.

Mengapa dia berhujah begitu? Huntington berhujah mengatakan bahawa agama merupakan satu elemen yang mula bangkit kerana manusia mula mencari identiti dan tujuan hidup yang makin hilang dengan perkembangan modenisasi dan kemajuan hidup di barat. Selain itu, kebangkitan ekonomi negara-negara di Asia juga menyuntik keyakinan mereka untuk maju dan moden dengan cara sendiri tapa menjadi Barat. Apabila faktor-faktor ini berkumpul, maka risiko pertembungan antara tamadun Barat, Islam dan Konfusianisme  diramal akan berlaku.


Wednesday 29 July 2015

The Colour of Inequality oleh Muhammed Abdul Khalid








Pandangan saya, golongan muda bumiputera dan Melayu di Malaysia perlu membaca buku ini.

The Colour of Inequality adalah sebuah karya terbaik dan jujur untuk kita memahami permasalahan sosio-ekonomi yang sedang melanda Malaysia. Dengan sorotan penulis tentang bagaimana sejarah  masalah ketidak adilan ekonomi, ketaksama rataan dan jurang ekonomi bermula di negara, penulis mengakhiri buku ini dengan beberapa cadangan yang boleh dipraktikkan bagi memperbaiki masalah ini. 

Saya tidak mahu mengupas secara terperinci tentang perkara yang diketengahkan, sebaliknya pembaca beli & bacalah sendiri hujah-hujah yang diketengahkan oleh Muhammed Abdul Khalid yang disokong dengan fakta dan perangkaan serta hasil-hasil kajian yang dilakukan. 

Menerusi buku ini, sesuatu stereotaip seperti Melayu malas, tidak pandai berniaga ataupun Dasar Ekonomi Baru itu gagal telah disanggah dengan fakta dan angka. Maka, persepsi dan salah tanggapan yang tidak pernah dibuktikan perlu dinilai semula. 


Tuesday 14 April 2015

Infeksi oleh Ehsan El Bakri





Novel-novel berkaitan 'apokalips zombi'  kini semakin banyak berada di pasaran. Sejak filem Night of the Living Dead mula ditayangkan pada 1968, konsep zombi kini terus diteroka dan dikembang. Lebih penting, kehidupan manusia dalam era 'apokalips zombi', atau period kehidupan di mana zombie bermaharajalela terus menjadi subjek penulis-penulis tempatan mahupun antarabangsa. Di dalam suasana huru-hara dan kacau-bilau, novelis-novelis cuba mempamerkan perilaku dan tingkahlaku manusia terhadap satu sama lain. Persoalan yang senantiasa cuba dijawab adalah adakah di dalam kacau-bilau, huru-hara dan kesengsaraan, manusia akan hilang nilai-nilai insaninya?



Novel  Infeksi karya Ehsan El Bakri ini merupakan satu lagi percubaan penulis-penulis Malaysia dalam menghasilkan fiksyen zombi di dalam latarbelakang Malaysia.  Novel ini menceritakan kisah lapan orang individu  yang masing-masing mempunyai kisah mereka sendiri dan akhirnya bertemu setelah kota diserang zombi-zombi.



Faris, Farah, Korperal Hafiz, Margaret, Razak dan Nina, Nash dan Anas adalah individu-individu yang bertemu di usaha untuk meneruskan hidup dalam malapetaka zombi yang melanda. Masing-masing dengan kisah hidup masing-masing, berusaha untuk selamat daripada juga menjadi zombi.



Penulis memilih untuk menggunakan jalan cerita yang mudah dan plot yang tidak terlalu kompleks. Watak-watak dalam novel ini bertemu dan kenal antara satu sama lain dalam usaha mereka melarikan diri ke kawasan-kawasan yang lebih selamat. Penulis juga memberi tumpuan kepada komunikasi dan interaksi antara watak-watak berbanding dengan peristiwa dan kejadian.



Daripada segi gaya bahasa, ada tempat-tempat tertentu stail penulisan penulis adalah begitu kompleks dan ‘pekat’  sehingga saya secara peribadi perlu membaca  perenggan tertentu  lebih daripada sekali untuk memahami pemerian penulis terhadap sesuatu perkara.



Jalan cerita novel ini bermula dengan flow normal di bahagian permulaan dan  di pertengahannya menjadi agak mendatar dan kurang excitement. Namun nasib watak-watak ini berubah dengan pantas di bahagian akhir cerita.  Daripada ketidak tentuan, nasib mereka ditimpa malang satu demi satu. Ini satu pengajaran penting kepada pembaca: tak semestinya novel akan berakhir dengan happy ending. Sebaliknya, kita perlu belajar untuk meneruskan hidup dan menjadi dewasa dengan suratan hidup yang ditetapkan. Belajarlah hikmahnya.



Novel ini mempunyai elemen-elemen 18 PL, jadi lebih sesuai dibaca oleh golongan-golongan berfikiran matang, dewasa dan berfikiran terbuka.

Sunday 29 March 2015

Tips No. 4 Nak Jadi Penulis Hebat ( Tapi belum tentu kaya!)

4. Ketahui Zon Efektif Menulis anda dan manfaatkan kuasanya!



Sekadar gambar hiasan/Gambar diambil dari sumber terbuka




Untuk menulis secara berterusan dan konsisten, seseorang penulis mesti tahu masa di dalam 24 jam sehari yang merupakan tempoh masa efektif untuk menulis, atau saya sebut di sini sebagai ‘Zon Efektif Menulis’. Dalam erti kata lain, seseorang itu perlu mengetahui masa di dalam kehidupan sehariannya di mana ia benar-benar mampu menulis dengan lancar. Pada waktu tersebut,


otaknya segar


mindanya  fokus


tidak mengantuk


tidak terlalu lapar & tidak kenyang keterlaluan


fikirannya lapang


badannya tidak terlalu penat


dan paling penting,  dirasakan seperti mindanya  terdampar padang yang luas untuk dijelajahi . Pada waktu tersebut juga tiada apa apa distraksi atau perkara-perkara yang mungkin boleh menggangu konsentrasi untuk menulis.


Pada waktu inilah seseorang itu mampu menulis perkataan demi perkataan, perenggan demi perenggan dan muka surat demi mukasurat tentang apa sahaja yang ingin ditulis. Usahanya dirasakan lancar dan mudah, seakan-akan arus air yang mengalir di sungai.


Kebanyakan penulis menemui zon efektif menulis mereka pada awal pagi, sekitar 3.30 pagi ke waktu Subuh. Sesetenganhya pula mungkin sekitar 9.00  pagi  hingga 12.00 tengahari. Ada yang mula menulis pada pukul 12 tengah malam, selepas pulang dari kerja dan mendapatkan rehat yang cukup. Zon efektif menulis ini akan berbeza antara satu sama lain kerana bergantung kepada gaya hidup anda.


Sebaik sahaja anda mengenal pasti Zon Efektif Menulis ini, maka gunakanlah sebaik-baiknya zon waktu ini untuk menulis dan berkarya. Disiplinkan diri anda untuk menulis dan mengarang pada waktu ini. Dengan menggunakan zon waktu ini secara berterusan dan konsisten, anda akan dapat membentuk tabiat menulis yang baik di dalam diri anda!