![]() |
Sebahagian daripada karya-karya Pak Samad yang disimpan di rumah, pastinya untuk diwariskan kepada generasi muda keluarga saya, temasuk anak-anak! |
Nama Sasterawan Negara (SN) Dato’ A. Samad Said bukanlah suatu nama yang
asing lagi di negara. Sebagai seorang tokoh sastera dan karyawan negara,
karya-karya beliau sememangnya dibaca oleh segenap lapisan masyarakat, sama ada oleh generasi muda dan tua.
Saya kurang pasti sejak bilakah saya benar-benar
mengenali beliau secara sedar di dalam kehidupan saya. Apa yang boleh saya
ingat, berkemungkinan saya mula mengenali beliau menerusi lagu Tetamu Senja nyanyian Kopratasa yang
mula tersiar di corong-corong radio pada sekitar pertengahan tahun-tahun
1980-an. Lirik lagu tersebut merupakan sajak yang dihasilkan beliau. Selanjutnya, saya juga masih ingat beliau
pernah dijemput ke program Hiburan Minggu Ini yang dipengacarakan oleh
Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad
juga pada sekitar waktu yang sama. Allahyarham secara berjenaka melukis gambar karikatur A. Samad Said sedang
bermain gitar di dalam rancangan tersebut. Seterusnya, saya juga pernah membaca
novel kanak-kanak beliau, Yang Berat Sama
Dipikul yang dibeli oleh abang pada sekitar period yang sama.
Ketika berusia 17 tahun ( ketika menanti keputusan SPM )
di rumah, barulah buat pertama kalinya saya berkesempatan membaca masterpiece Pak Samad yang pertama, Salina. Itupun buku novel tersebut
dihadiahkan oleh rakan sekolah, Azhar
Ayob yang kini merupakan seorang doktor di luar negara. Buat pertama kali
ketika membaca karya tersebut, saya benar-benar terpikat dengan jalan
ceritanya. Jujur, tidak berpura-pura dan
mengisahkan sikap manusia yang sebenarnya. Memang novel tersebut merupakan
novel bahasa Melayu yang bertaraf antarabangsa. Pastikan anda membaca novel
tersebut sekurang-kurangnya sekali dalam hayat ini.
Saya juga merasakan novel Hujan Pagi karya beliau sebagai salah
satu novel terbaik yang pernah ditulis oleh anak watan. Berkisar tentang kekusutan
jiwa seorang wartawan generasi sebelum perang
( Lokman ) yang tidak lagi memahami
dan menyesuaikan dirinya dengan
perubahan arah dan perkembangan akhbar
masa kini. Novel ini punya kekuatannya
tersendiri.
Selepas Salina dan Hujan Pagi, saya sentiasa mencari-cari
hasil karya Pak Samad. Setiap kali terdapat jualan gudang DBP, saya akan
bersegera ke sana untuk membeli karya-karya beliau dengan harga yang lebih
murah.
Selain daripada novel, drama-drama yang dihasilkan Pak
Samad turun mengesankan. Saya berkesempatan membaca Di Mana Bulan Selalu Retak dan Wira
Bukit. Catatan saya, karya-karya
tersebut memaparkan secara jujur tentang perilaku manusia.
Pak Samad merakamkan dengan baik gambaran kehidupan
masyarakat sekitar era Perang Dunia Kedua. Perkara ini banyak dilihat di dalam
cerpen-cerpen dan novel-novel seperti Salina, Di Hadapan Pulau
dan juga Sungai Mengalir Lesu.
Tentang Sungai Mengalir Lesu, saya
menghabiskan masa beberapa jam membaca novel tersebut di Perpustakaan Awam
Islam di Kuala Lumpur, barangkali ketika menanti panggilan masuk ke universiti
sekitar 1998-2000.
Selain daripada karya-karya tersebut, Pak Samad turut
menghasilkan sebuah lagi karya hebat tentang kembara
fizikal-spiritual-emosional-mental beliau ke nagara-negara Eropah menerusi
Warkah Eropah. Karya ini bagi saya begitu menginspirasikan dan Pak Samad
berjaya membawa kita mengembara bersama-sama beliau.
Sebuah lagi karya hebat Pak Samad, Al Amin juga bakal
menjadi khazanah karya agung negara, In
Sha Allah. Karya tersebut merupakan puisi panjang Pak Samad yang memerikan
perjalanan hidup Baginda Rasullullah SAW. Memang jarang kita dapat menemui
karyawan-karyawan tempatan yang mampu menghasilkan karya Islami sebegini untuk
bacaan umat.
Namun saya akui, beberapa karya terkenal Pak Samad tidak
sempat saya baca seperti Daerah Zeni
dan Lantai
T Pinkie. Lebih malang, secara jujur saya akui bahawa Cinta Fansuri merupakan satu-satunya karya Pak Samad yang langsung
tidak saya fahami-saya ulangi LANGSUNG SAYA TAK FAHAM! Mungkin saya perlu
kembali membaca novel tersebut yang pertama kali saya baca sekitar 5-6 tahun
dahulu.
Mengapa saya menulis semua ini? Saya sekadar ini berkongsi
dengan semua bahawa saya lebih mengenali sosok Pak Samad sebagai seorang
karyawan dan penulis yang hebat berbanding susuk aktivisme beliau. Semenjak
saya dilabelkan sebagai pseudo sufi
oleh seorang teman aktivis gerakan Islam,
saya semakin sedar yang saya tidak berminat lagi untuk mengikuti
gerakan-gerakan masa.
Saya sekadar ingin menyarankan anak-anak muda yang lebih
dekat dengan aktivisme beliau, mungkin anda perlu membaca karya-karya hebat
beliau. Selepas membaca tulisan Uthaya Sankar SB bertajuk Alahai Salina dan Pak Samad ( http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/10/22/alahai-salina-dan-pak-samad/ ) di portal Free Malaysian Today, Saya khuatir dan bersetuju dengan pandangan
Uthaya Sankar SB bahawa sebenarnya
ramai yang hanya berpura-pura menyokong
perjuangan Sasterawan Negara ini!
Sebagaimana yang lazim diucapkan orang dewasa ini, that’s my two cent-lah! Lol!